Thursday, October 3, 2013

ISL: Isu Kesantunan Guru


  • Kesantunan  bermaksud tatacara, adat atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh sesuatu kelompok masyarakat tertentu sehingga kesantunan tersebut sekali gus menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. Oleh yang demikian, usaha membentuk kesantunan dalam kalangan murid bermula dengan kesantunan yang dipamerkan oleh guru terlebih dahulu.
  • Berdasarkan pengertian di atas, kesantunan guru dapat dilihat dari pelbagai segi dalam pergaulan dan perhubungan antara guru dengan murid, guru dengan rakan sejawat, guru dengan pihak pengurusan sekolah dan perhubungan guru dengan masyarakat setempat.
  • Berdasarkan perkembangan semasa dalam profesional keguruan, kesantunan dapat dibahagikan kepada tiga iaitu:
  1. Kesantunan berpakaian
  2. Kesantunan tingkah laku
  3. Kesantunan berbahasa

  • Dalam kesantuan berpakaian, beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh guru. Kesantunan berpakaian merujuk kepada  jenis pakaian yang digunakan, fesyen pakaian dan juga solekan. Guru haruslah berpakaian yang sopan sesuai dengan etika berpakaian yang disarankan dalam Peraturan Tatatertib dan Kelakaun bagi penjawat awam. Guru tidak boleh berpakaian yang merangsang orang lain terutamanya dari segi jantina yang berbeza contohnya berpakaian pakaian tembus pandang (transparence), menampakkan bahagian badan, blause yang terlalu mini atau terbelah terlalu tinggi.
  • Kesantunan tingkah laku adalah merujuk kepada tatacara bertindak atau gerak geri guru ketika menghadapi sesuatu dalam situasi tertentu. Contohnya: ibu bapa yang datang berurusan di sekolah, berkunjung ke sekolah yang atas sebab urusan, duduk di dalam kelas, berhadapan dengan orang yang kita hormati seperti guru besar atau pegawai dari jabatan, berjalan di tempat umum dan sebagainya.
  • Semua situasi yang dinyatakan di atas memerlukan tingkah laku yang berbeza. Sebagai contohnya pada waktu makan bersama misalnya, memerlukan kesantunan dalam cara duduk, cara mengambil makanan, cara makan atau mengunyah, cara menggunakan senduk, cara membersihkan mulut setelah makan dan  cara memakai tusuk gigi.
  • Kesantunan berbahasa tercermin dalam cara berkomunikasi  sama ada dari segi verbal atau cara berbahasa. Ketika berkomunikasi, guru perlu mengambil kira norma-norma budaya dan tidak hanya sekadar menyampaikan idea yang difikirkan sahaja. Cara berbahasa harus disesuaikan dengan unsur-unsur budaya yang ada dalam masyarakat setempat. Perkataan atau bahasa yang digunakan perlulah sesuai dengan situasi ketika berkomunikasi. Guru yang tidak dapat menggunakan kesantunan berbahasa dengan betul mungkin akan dianggap sebagai seorang yang sombong, angkuh, tak acuh, egois, tidak beradat, bahkan tidak berbudaya.
  • Cara berbahasa amat penting dikuasai oleh guru untuk kelancaran berkomunikasi. Dengan mengetahui cara berbahasa seseorang guru akan dapat menyampaikan mesej dengan jelas dalam komunikasi tersebut khususnya ketika melaksanakan pengajaran.
  • Kesantunan berbahasa ini perlu dikuasai oleh guru kerana melalui kesantunan ini guru akan mengetahui:-
  1. Apa yang  sebaiknya diucapkan pada waktu dan keadaan tertentu.
  2. Ragam bahasa yang sewajarnya digunakan dalam situasi tertentu.
  3. Bila dan bagaimana giliran berbual dimulakan.
  4. Bagaimana mengatur kelantangan suara ketika berkomunikasi.
  5. Bagaimana sikap dan gerak-geri ketika berkomunikasi
  6. Bila  seharusnya diam dan menamatkan perbualan.
  • Cara berbahasa seseorang guru dipengaruhi oleh norma-norma budaya atau kelompok masyarakat tertentu. Contohnya, orang Kelantan berbeza dengan cara berbahasa orang Pulau Pinang meskipun mereka sama-sama berbahasa Melayu. Hal ini menunjukkan kebudayaan yang menjadi darah daging pada seseorang itu berpengaruh pada pola bahasanya.Oleh itu seorang guru seharusnya mengetahui  dan memahami norma-norma bahasa sebelum menggunakannya ketika berhadapan dengan murid-murid. Perkara ini amat penting kerana cara berbahasa mengikut norma-norma budaya akan menghasilkan kesantunan berbahasa.
  • Selain itu kesantunan tutur kata, senyuman manis dan tulus serta sapaan berbentuk pujian merupakan aspek kesantunan yang diberi perhatian oleh seseorang yang berilmu dan terpuji akhlaknya. Guru menjadi sebahagian orang yang dimaksudkan tersebut. Guru seharusnya menjaga tutur katanya agar sentiasa mengamalkan kesantunan bahasa dan mampu memiliki bahasa yang santun dan sesuai kepada muridnya, walaupun murid menunjukkan tingkah laku yang bermasalah. Guru juga menjadi teladan bagi murid dengan menerapkan prinsip kesantunan dalam setiap tutur katanya.
  • Kesantuan berbahasa menjadi pemangkin kepada pembentukan keperibadian murid. Ciri-ciri kesantunan termasuklah:
  1. Ikhlas, jujur, baik hati, penyayang dan sanggup berjuang.
  2. Bersyukur dan berterima kasih.
  3. Berani, tegas dan mengelakkan perkara keji daripada berlaku .
  4. Menghargai dan menghormati pihak lain.
  5. Menggunakan kata-kata yang baik.
  6. Peramah, pemurah dan bersedia membaiki   kelemahan diri.
  • Antara sifat kesantunan yag perlu ada pada seorang guru adalah:
  1. Baik Hati: Sikap baik hati dan timbang rasa seseorang guru amat dihargai oleh murid-murid kerana mereka akan belajar dalam suasana yang tenteram, yakin dan senang hati.
  2. Jenaka: Sifat jenaka seseorang guru akan membawa suasana riang gembira kepada murid- murid dalam bilik darjah. Guru yang suka berjenaka adalah guru yang suka didekati oleh muridnya.
  3. Sabar: Seseorang guru yang mempunyai sifat sabar adalah guru yang boleh mengawal perasaan diri. Guru yang bersabar akan dapat menjalin perhubungan yang erat dengan murid- muridnya.
  4. Bertanggungjawab: Sifat bertanggungjawab akan sentiasa mendorongkan guru mementingkan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Beliau juga akan sentiasa berusaha mejalankan tugasnya dengan sempurna.
  5. Yakin: Guru yang mempunyai sifat yakin tidak akan merasa takut apabila perlu membuat sesuatu tindakan atau keputusan. Murid-murid akan lebih menghormati guru yang boleh mengambil tindakan dengan tegas.
  6. Kepimpinan: Murid-murid akan mematuhi segala tunjuk ajar dan arahan guru yang mewarisi sifat kepimpinan dan juga kualiti kepimpinan. Dengan kualiti kepimpinan ini, segala aktiviti pembelajaran akan dapat dijalankan dengan licin dan lebih berkesan.
  • Kesimpulannya, kesantunan bukanlah sesuatu yang dipelajari tetapi merupakan nilai yang perlu ada dalam diri seorang guru sebagai model kepada murid. Bagi menjaga imej profesion, setiap guru perlu patuh kepada etika profesionalisme, etika pengajaran, etika tingkah laku dan etika perkhidmatan awam (Abd. Rahim, 2007).

No comments:

Post a Comment