Friday, October 4, 2013

ISL: Isu Remaja Lari Dari Rumah

Kes 1:
(3 Mac 2013)
Seorang bapa merayu bantuan orang ramai untuk mengesan anak gadisnya yang didakwa menghilangkan diri sejak 15 Februari lalu.

Rizal Che Muda, 42, berkata, ini kali ketiga Nor Farhana Rizal, 15, keluar dari rumah tanpa diketahui puncanya.

Menurutnya, remaja itu berjanji untuk pulang ke rumah pada awal Mac iaitu selepas mendapat gaji namun sehingga kini Nor Farhana tidak muncul.

"Saya dan isteri berasa bimbang dengan keselamatan anak kami. Muka saya sudah tebal untuk membuat laporan polis kerana tindakan anak saya itu.

“Saya mahu dia pulang ke pangkuan keluarga kerana dia keluar sehelai sepinggang, tanpa membawa kad pengenalan diri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rizal berkata, ketika menghubungi Nor Farhana sebelum ini, anaknya itu memaklumkan bekerja di sebuah stesen minyak di Sungai Buloh namun maklumat diberikan tidak lengkap.

Katanya, anaknya itu pernah berhenti sekolah selama setahun sebelum menyambung semula pelajaran di tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini.

“Kali pertama dan kedua dia melarikan diri dari rumah adalah penghujung tahun lepas dan awal tahun ini. Ketika itu dia mendakwa tinggal di rumah kakak angkat sebelum berjaya dikesan abangnya,” katanya.

Rizal berkata, ketika kali terakhir dia bertemu dengan Nor Farhana, remaja itu meminta izin daripadanya untuk menemani rakannya menghantar barang ke Kampung Nakhoda.

Menurutnya, dia sudah mengambil pelbagai inisiatif untuk menjejaki anaknya itu namun sehingga kini menemui jalan buntu.

Katanya, orang ramai yang  mengenali atau terjumpa anaknya diminta menghubunginya di talian 03-61277501.


Kes 2:
(31 Januari 2013)
KUALA LUMPUR: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang baru-baru ini selepas memberitahu ibu bapanya bahawa dia pergi ke gimnasium dipercayai lari dari rumah.

Difahamkan M. Jethendran, 16, bertindak lari dari rumah kerana dia mahukan kebebasan memandangkan bapanya seorang yang tegas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, polis telah mengambil keterangan dan menghubungi ahli keluarga remaja lelaki terbabit tetapi lokasinya masih belum diketahui.

"Kita telah bercakap dengan ahli keluarganya dan setakat ini tidak menjumpai sesuatu yang luar biasa.

"Mereka hanya mahu remaja lelaki itu menghubungi mereka dan pulang ke rumah secepat mungkin," katanya.

Muhammad Azlee berkata, polis masih belum mengenal pasti wanita yang dilihat berbual dengan Jethendran selepas keluar dari gim tersebut.

"Kami tidak dapat memastikan sama ada wanita tersebut mempunyai kaitan dalam kes kehilangan remaja terbabit," katanya yang menggesa wanita tersebut supaya tampil ke balai polis berdekatan untuk diambil keterangan.

Terdahulu, Jethendran dilaporkan telah menghubungi ibunya kira-kira pukul 3.45 petang pada 25 Januari dengan memberitahu dia akan menggunakan teksi untuk balik ke rumah mereka di Sri Petaling selepas selesai kelas gim di Taman Desa yang terletak kira-kira 10km.

Apabila dia tidak muncul-muncul dan panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab, ibunya membuat dua laporan polis.

Sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berhampiran gim itu merakamkan imej seorang remaja lelaki keluar dari kelasnya.

Bapa remaja lelaki itu, R. Mahadheven, 49, seorang mekanik dipetik sebagai berkata, Jethendran akan pulang ke rumah mereka menggunakan teksi dari gim sejak beberapa bulan lalu.

"Saya selalu menghantarnya ke sana tetapi mahu dia belajar berdikari, oleh itu saya memintanya untuk menggunakan teksi balik ke rumah," kata Mahadheven kepada pemberita baru-baru ini.

__________________________________________________


    Terdapat pelbagai punca berlakunya kes remaja lari dari rumah. Antaranya adalah kekurangan kasih sayang ibu bapa, mengalami tekanan daripada ibu bapa, mengalami masalah kekeluargaan dan sebagainya. Menurut kajian yang dilakukan oleh Institut Sosial Malaysia(ISM) pada tahun 2012, terdapat sebanyak 66% remaja yang lari dari rumah datang dari keluarga sempurna. Faktor utama yang mendorong mereka meninggalkan rumah adalah kekurangan komunikasi serta kasih sayang ahli keluarga. Kebanyakan ibu bapa sangat mementingkan kemewahan kehidupan sehingga anak mereka diabaikan. Mereka sering bekerja dan tidak mempunyai masa untuk berkomunikasi dengan anak mereka.  Ada juga ibu bapa yang tiada masa untuk mengambil berat anak sendiri. Hal ini menyebabkan anak berasa tersisih dan mereka berasa kecewa terhadap kelakuan ibu bapa mereka. Mereka yang kekurangan kasih sayang ini akan keluar dari rumah untuk mencari keseronokkan dengan rakan-rakan dan mereka berasa seronok berada di luar berbanding dengan berada di dalam rumah. Natijahnya, mereka meninggalkan rumah semata-mata untuk mencari keseronokkan di dunia luar.
  Keruntuhan institusi keluarga atau rumah akibat pertelingkahan antara ibu bapa menyebabkan anak-anak lari dari rumah. Ketiadaan persefahaman dan kurangnya kemahiran mengurus rumah tangga di kalangan suami isteri sering menyebabkan konflik dan keretakan rumah tangga. Akibatnya, keharmonian dan kestabilan keluarga terjejas. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak menjadi bosan dan menanggung penderitaan jiwa lalu bertindak memberontak terhadap keadaan ini dengan melarikan diri dari rumah.
     Remaja lari dari rumah juga dianggap akibat unsur barat yang dipaparkan menerusi media massa terutama media elektronik. Remaja yang suka meniru akan melakukan perkara yang mereka tonton di televisyen tanpa sebarang keraguan lagi. Remaja tidak mampu membezakan lakonan dan realiti kehidupan yang jauh berbeza. Oleh itu, media massa menjadi faktor yang berupaya menimbulkan keinginan remaja untuk lari dari rumah mereka.

   Gejala sosial ini telah mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada masyarakat dan negara. Antara kesan kepada masyarakat adalah kita akan dipandang serong oleh masyarakat luar akibat keruntuhan akhlak dan kerosakan tingkah laku remaja Malaysia. Hal ini akan menyebabkan imej masyarakat dan negara terjejas di mata dunia. Selain itu, kerajaan kita terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi untuk membawa pulang remaja yang lari ke negara jiran seperti Indonesia. Hal ini kerana terdapat keluarga yang tidak mampu menguruskan pencarian anak serta menanggung kos pembiayaan kepulangan anak mereka ke Malaysia. Akibatnya, kos pengeluaran negara meningkat dan keadaan ekonomi negara terjejas.


    Memandangkan gejala sosial ini semakin hari semakin berleluasa berlaku di negara kita, maka kita perlulah mengambil tindakan bagi mengatasinya. Langkah mengatasi yang paling berkesan adalah ibu bapa perlulah memberi kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak mereka. Ibu bapa seharusnya meluangkan masa yang lebih untuk menemani anak mereka. Ibu bapa perlulah berkomunikasi dengan anak mereka supaya mereka dapat mengetahui perasaan, masalah serta kehendak anak-anak. Dengan ini, ibu bapa boleh memahami anak mereka secara mendalam manakala anak-anak boleh merasai kasih sayang dan keprihatinan daripada ibu bapa mereka. Dengan adanya kasih sayang, anak-anak gemar berada di dalam rumah memandangkan ibu bapa sentiasa menemani mereka pada bila-bila masa. Sebagai hasilnya,mereka tidak akan memberontak serta tidak akan lari dari rumah.
  Selain itu, sekolah juga memainkan peranan penting dalam usaha mengatasi gejala sosial ini. Pertamanya, PIBG perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dengan mengadakan pertemuan lebih kerap antara ibu bapa dan guru khasnya bagi pelajar yang bermasalah. Ibu bapa harus menerima teguran guru dengan sikap terbuka dan positif. Di samping itu, kaunseling diperingkat sekolah adalah penting dalam membantu remajamengatasi masalah mereka. Kaunselor - kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan perlaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut. Dengan adanya kaunseling, remaja akan dapat sedar bahawa tindakan mereka adalah salah.

   Kesimpulannya, masalah remaja lari dari rumah ini perlulah ditangani dengan secepat mungkin sebelum masalah ini berleluasa sehingga peringkat yang tidak boleh diubati. Hal ini kerana remaja merupakan aset yang terpenting bagi negara yang bakal menerajui kepimpinan negara kita. Oleh yang demikian,semua pihak termasuk pihak kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) haruslah memainkan peranan masing-masing serta berganding bahu supaya gejala sosial ini dapat dibanteras. 

No comments:

Post a Comment