Friday, October 4, 2013

ISL: Isu Perlumbaan Haram Dalam Kalangan Remaja

Dalam meniti arus kemodenan ini, gejala perlumbaan haram merupakan gejala yang kian meruncing di negara kita kini. Gejala ini berlaku di mana-mana tempat sahaja sama ada di kawasan bandar, di luar bandar mahupun di kawasan perindustrian pada waktu malam. Gejala ini dikatakan semakin kritikal memandangkan anak-anak remaja juga terlibat dalam aktiviti tidak santun ini. Remaja yang terlibat dalam aktiviti ini bersikap mementingkan diri sendiri kerana mereka tidak mempedulikan keselamatan orang lain di jalan raya. Mereka juga tidak menghargai nyawa sendiri. Menurut seorang pegawai polis Perak, Inspektor Wan Abdullah dalam sebuah temu bual pada tahun 2008, gejala perlumbaan haram kini telah menjadi masalah terbesar bagi polis trafik di seluruh Malaysia. Hal ini menunjukkan bahawa betapa serius masalah perlumbaan haram yang berlaku di negara Malaysia.

Terdapat pelbagai punca berlakunya gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja di negara kita. Faktor utama yang menyebabkan remaja hari ini terjebak dalam kegiatan negatif ini adalah naluri remaja sendiri yang ingin mencari kepuasan diri daripada kegiatan perlumbaan haram. Naluri untuk menunjukkan kehebatan diri mendorongkan mereka membuat pelbagai aksi berbahaya seperti “wheely”,“wekang”,“superman” dan sebagainya. Mereka mendapat kepuasan daripada kejayaan mereka melakukan aksi-aksi tersebut kerana dapat membuktikan kepada rakan-rakan bahawa mereka handal dan berani. Di samping itu, mereka ingin menjadi perhatian dan tumpuan  rakan-rakan rempit yang lain atau perempuan. Mereka tidak akan berasa malu dengan tingkah laku mereka yang tidak bersantun itu. Sebaliknya, mereka berasa bangga dan seronok apabila digelar “Mat Rempit” seperti yang dikatakan oleh Encik Mohamad Hussain yang menerajui Jabatan Psikiatari Universiti Malaya. Beliau menjelaskan bahawa label “Mat Rempit” yang diberi kepada mereka akan menjadikan mereka lebih seronok dan menganggapnya sebagai pengiktirafan oleh masyarakat terhadap kegiatan mereka.

 Selain itu,media massa juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan remaja melibatkan diri dalam gejala sosial ini. Pada masa kini, kebanyakan saluran media elektronik dan media cetak seperti televisyen, internet, majalah dan sebagainya memaparkan rancangan atau filem yang bertemakan lumba haram seperti Remp-It, Evolusi KL Drift, Adnan Sempit dan banyak lagi.  Filem-filem tersebut memaparkan "mat rempit" melakukan aksi-aksi berbahaya di atas jalan raya serta gejala sosial yang berlaku dalam dunia "mat rempit" seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.  Keadaan ini menyebabkan remaja mudah meniru aksi-aksi  berbahaya yang dipaparkan dalam filem-filem tersebut dan seterusnya mengaplikasikan aksi-aksi itu ketika mereka menunggang motosikal di jalan raya.  Hal ini demikian kerana pihak-pihak yang terlibat dengan industri perfileman tidak peka dengan keadaan sekeliling dan isu semasa yang melibatkan aktiviti tidak bermoral yang dilakukan oleh remaja, malah semakin rancak memaparkan isu lumba haram dengan menerbitkan banyak filem berkaitan dengan isu tersebut.  Keadaan ini boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.  Di samping itu, penerbit filem memberi alasan bahawa mereka menerbitkan filem bertemakan lumba haram supaya dapat memberi kesedaran kepada remaja agar tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram. Pada hakikatnya, filem-filem ini tidak memberi kesedaran kepada remaja malah merangsang mereka untuk terlibat dalam aktiviti ini.

Di samping itu, kesibukan ibu bapa dengan kerjaya masing-masing dan mencari rezeki juga merupakan punca remaja terlibat dalam perlumbaan haram. Ibu bapa ini tidak dapat  meluangkan masa bersama anak-anak serta mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.  Situasi ini akan menyebabkan anak-anak berasa kesunyian dan seterusnya memberontak untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka.  Apabila ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak, mereka akan mencari kawan untuk meluahkan perasaan serta tekanan yang dihadapi.  Mereka berpendapat bahawa  rakan-rakan lebih memahami perasan dan juga masalah mereka berbanding dengan ibu bapa kerana ibu bapa lebih mementingkan wang dan kerjaya masing-masing daripada mengambil berat terhadap anak-anak.  Namun demikian, sekiranya tersalah memilih kawan, mereka akan mudah terlibat dengan aktiviti sosial.  Oleh itu, kegagalan  ibu bapa  dalam mengawal dan kurang memberi perhatian  untuk mengikuti perkembangan anak-anak menyebabkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang boleh merosakkan masa depan mereka.  Di samping itu, ibu bapa juga tidak menitikberatkan pendidikan agama kepada anak-anak yang perlu diserap dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi supaya mereka dapat membezakan yang baik dengan yang buruk.  Oleh hal yang demikian, kurangnya pendidikan agama menyebabkan remaja pada masa kini mudah terjebak dengan masalah sosial.

Memandangkan gejala perlumbaan haram ini semakin berleluasa, kita haruslah mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah ini. Pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia merupakan pihak yang mempunyai tanggungjawab yang terbesar dalam usaha mengatasi masalah ini. Pihak polis perlulah mengadakan rondaan, sekatan dan pemantauan di kawasan tumpuan mat rempit. Contohnya, pihak polis membuat serbuan mengejut pada waktu malam untuk mengheret pelumba haram dan penonton ke balai polis melalui Operasi Rhino. Langkah ini akan menyebabkan golongan remaja ini mengurangkan kegiatan perlumbaan haram akibat bimbang ditangkap oleh pihak polis. Selain itu, golongan remaja di bawah umur 18 tahun ini sepatutnya dihantar ke sekolah-sekolah juvana seperti yang pernah dicadangkan oleh Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof. Samseng jalanan yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 19 tahun perlu ditahan di sekolah juvana selama suatu tempoh ditetapkan. Mereka hendaklah dikenakan hukuman dengan membuat kerja-kerja amal sehingga 100 jam supaya mereka insaf dan sedar akan kesalahan mereka serta tidak terlibat dalam kegiatan perlumbaan haram lagi.
Selanjutnya, media massa juga perlu memainkan peranan dalam membendung kegiatan mat rempit. Keupayaan media massa dalam mempengaruhi hati dan minda manusia tidak dapat disangkal lagi. Media elektronik seperti televisyen pula boleh memainkan peranan dengan membuat iklan yang dapat memberikan kesedaran kepada remaja tentang keburukan gejala merempit dan lumba haram. Namun begitu, iklan-iklan dan kempen-kempen yang diadakan mestilah dipelbagaikan bentuk visualnya supaya dapat memberi kesedaran yang berpanjangan dan mendalam kepada mat rempit dan golongan remaja.

Akhirnya, ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab mereka dalam usaha untuk membantu remaja menghindari gejala sosial ini. lbu bapa adalah pihak yang patut memainkan peranan dalam menangani masalah mat rempit di kalangan anak-anak mereka. Kita sedia maklum bahawa banyak masa anak-anak berada di samping ibu bapa di rumah. Jika ibu bapa membelikan anak-anak motosikal, pastikan pergerakan mereka dipantau pada setiap masa. Oleh yang demikian, bagi ibu bapa yang selalu sibuk dengan pekerjaan, mereka sepatutlah meluangkan masa untuk menemani anak-anak serta memberi perhatian terhadap kelakuan anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa yang dapat memberi kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak pasti dapat menghindarkan anak mereka daripada terlibat dalam gejala mat rempit.

Kesimpulannya, kita haruslah sedar bahawa golongan remaja merupakan generasi yang akan menyambut tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Oleh yang demikian, semua pihak tidak sepatutnya mengabaikan masalah sosial ini yang mampu menjejaskan masa depan pemuda pemudi kita. Sebaliknya,semua rakyat jelata haruslah mengamalkan sikap “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” serta memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak kerajaan terutamanya pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi mengatasi masalah kebejatan sosial ini.

4 comments:

  1. oi kalau tak bagi copy...mcm mana nak belajar masa exam...kalau u nak belikan komputer untuk say blh la..heeeiihhh

    ReplyDelete
  2. oi kalau tak bagi copy...mcm mana nak belajar masa exam...kalau u nak belikan komputer untuk say blh la..heeeiihhh

    ReplyDelete
  3. Top 3 slots and casino games to play in Norway - Airjordan13
    A list of top 3 slots what is the best air jordan 18 retro men red from get air jordan 18 retro men blue online what is the best air jordan 18 retro racer blue casinos. Play on top casino 영앤 리치 토토 games that are 토토 사이트 창업 샤오 미 very popular.

    ReplyDelete