Friday, October 4, 2013

ISL: Isu Buli Dalam Kangan Remaja

Kes 1:
(11 April 2013)
KUALA LUMPUR: Tindakan tiga pelajar samseng membelasah seorang ketua kelas di sebuah sekolah di Pulau Pinang berbalas apabila mereka dikenakan hukuman buang sekolah.

Polis Diraja Malaysia dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook memberitahu, kes yang berlaku pada 4 Mac lalu telah diselesaikan oleh pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah.

“Hasil semakan dan maklumat orang awam, pihak PDRM mendapati bahawa klip video kes buli yang tersebar menerusi media sosial yang berlaku pada 4 Mac lalu telah diselesaikan pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah.

“Tiga pelajar terbabit telah dibuang sekolah,” kata kenyataan itu.

Semalam Kosmo! melaporkan, perbuatan samseng tersebut terbongkar selepas video mengenai kejadian buli itu tersebar di laman sosial YouTube dan Facebook hingga mendapat kecaman orang ramai.

Video berdurasi satu minit 32 saat bertajuk ‘Ketua tingkatan kena belasah’ itu dimuat naik sejak Isnin lalu memaparkan mangsa dipukul dan diterajang oleh empat pelajar di dalam sebuah bilik darjah.

Kepala mangsa turut dihentak dengan tong sampah.

Kes 2:
(4 April 2013)
MIRI 17 April - Polis sudah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes buli pelajar di sebuah sekolah menengah di negeri ini, dipercayai berlaku dua hari lalu yang video rakamannya kini tersebar di laman sosial.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, pihaknya telah menerima laporan kes tersebut dan akan mengenal pasti sama ada ia berlaku di Miri atau daerah lain.

"Polis akan bekerjasama dengan pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kejadian tersebut.

"Kalau benar ada berlaku (kejadian buli), maka perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana ia merupakan gejala yang tidak sihat di kalangan pelajar sekolah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini semalam.
Rakaman video selama satu minit 40 saat itu kini tersebar luas di media sosial termasuk Facebook dan YouTube sejak Isnin lalu serta mengundang kemarahan banyak pihak.
Rakaman tersebut memaparkan sekumpulan pelajar menampar pipi, menumbuk dan menendang mangsa berulang kali di sebuah asrama sekolah.

Mangsa yang memakai baju kemeja T berwarna biru dilihat tidak mampu melawan apabila diserang bertubi-tubi oleh kumpulan pelajar berkenaan.

__________________________________________________


    Terdapat pelbagai faktor berlakunya gejala buli dalam kalangan remaja di sekolah. Antara punca yang paling ketara adalah pengabaian pihak sekolah terhadap gejala buli dalam kalangan pelajar. Menteri Pendidikan Amerika Syarikat, Arne Duncan pernah mengadakan persidangan Brainstorming pada bulan Ogos tahun 2010 yang bertujuan untuk mengumpulkan pandangan pakar-pakar pendidikan, pakar-pakar profesional, pengetua dan guru besar mengenai cara-cara mengatasi gejala buli di sekolah. Kebanyakan pakar-pakar profesional berpendapat bahawa punca utama yang menyebabkan kes buli meningkat secara berterusan di sekolah adalah dasar sekolah yang mengabaikan gejala buli di sekolah. Kebanyakan sekolah hanya mementingkan keputusan akademik pelajar dan mengabaikan keselamatan pelajar-pelajar di sekolah. Sikap pihak sekolah yang endah tak endah ini telah menyebabkan kumpulan gengster di sekolah semakin berani membuli pelajar-pelajar lain memandangkan pihak sekolah tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka. Akibatnya, gejala buli ini akan terus berleluasa dan menjadi lebih teruk di sekolah.

  Selain itu, ibu bapa juga merupakan faktor yang menyebabkan anak mereka terlibat dalam kes buli.Dalam mengejar hal dunia, ibu bapa terlalu sibuk sehinnga tiada masa untuk mendidik anak-anak. Bagi keluarga yang berpendapatan tinggi, hal penjagaan anak diserahkan kepada pembantu rumah yang sudah pasti berasal dari negara asing. Hal ini menyebabkan anak mereka berasa tersisih dan ini menyebabkan mereka membuli orang lain supaya mendapat perhatian ibu bapa. Ibu bapa seharusnya sedar penerapan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak lebih berkesan jika dididik dari awal. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing tidak mempunyai masa terluang untuk berkomunikasi dan memahami anak-anak mereka.Kelemahan institusi kekeluargaan juga menyebabkan anak-anak dibiarkan bebas dan kurang permantauan daripada ibu bapa. Kesannya, ibu bapa gagal memberikan didikan agama dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Ada antara pelaku-pelaku kegiatan buli ini menganggap perbuatan mereka sekadar hobi semata-mata. Ini menujukkan bahawa masyarakat yang semakin maju dan berpendidikan tinggi tidak melahirkan insan yang berfikiran waras. 
     Gejala buli juga boleh terjadi disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Lazimnya, golongan pembuli berfikiran kurang matang dan gagal membezakan baik buruknya sesuatu tindakan. Sebaliknya, mereka sentiasa terikut-ikut akan perangai dan tindakan rakan sebaya. Apabila individu itu tersalah memilih rakan, mereka kemungkinan besar akan terjebak dengan gejala buli ini. 
  Gejala buli di sekolah akan membawa pelbagai kesan buruk kepada masyarakat dan negara kita. Antara kesan buruk yang dibawa kepada masyarakat Malaysia adalah gajala buli ini akan melahirkan generasi yang memiliki sifat-sifat keganasan yang akan terbawa-bawa kepada generasi akan datang. Para remaja yang melibatkan diri dalam kes buli berkemungkinan besar akan menjadi ibu bapa atau suami yang ganas serta kasar apabila mereka sudah besar. Hal ini kerana sifat-sifat keganasan telah tertanam dalam jiwa golongan remaja ini. Mereka akan cenderung menindas atau mendera orang lain terutamanya suami, isteri serta anak mereka. Tingkah laku yang tidak berperikemanusiaan ini akan membawa kesan kepada generasi akan datang dan mereka akan mencontohi tingkah laku orang dewasa ini apabila mereka sudah besar. Hal ini akan menyebabkan kes buli serta kes penderaan terus berleluasa dalam kalangan masyarakat pada masa yang akan datang. Perbuatan buli juga akan membawa kesan buruk kepada negara kita. Isu buli mampu merencatkan agenda pembangunan negara mengikut konteks pendekatan Islam Hadhari yang dicanangkan oleh kerajaan Malaysia. Hal ini kerana banyak wang akan diperuntukkan oleh kerajaan kita untuk mengadakan pelbagai kempen pembentukan sahsiah pelajar. Modal yang diperuntukkan terlalu besar menyebabkan negara menjadi mundur.
    Bagi memastikan para pelajar boleh menimba ilmu dalam keadaan yang selamat dan selesa dengan tiadanya gejala buli di sekolah, pihak sekolah memainkan peranan yang paling penting. Pihak sekolah sepatutnya menguatkuasakan peraturan-peraturan sekolah serta mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang terlibat dalam kes buli. Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah apabila beliau ditemubual oleh wartawan Borneo Post, pembuli di sekolah wajar dikenakan hukuman supaya mereka sedar bahawa perbuatan buli merupakan perbuatan yang salah. Antara hukuman yang wajar dikenakan kepada pembuli ialah tindakan disiplin, merotan, dan buang sekolah. Dengan adanya hukuman-hukuman ini, para pelajar akan berasa takut dan tidak berani untuk membuli pelajar lain. Sebaliknya, mereka akan lebih akur dan patuh dengan peraturan yang ditetapkan.
    Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan utama dalam memberi pendidikan awal kepada anak-anak sama ada dalam bentuk nasihat dan contoh yang baik.Bak kata pepatah," bapa borek anak rintik". Oleh itu, ibu bapa juga mesti menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak pada setiap masa. Malah, pendidikan berbentuk agama juga penting kepada anak-anak agar mereka dapat berkelakuan baik dengan sesiapa sahaja. Di samping itu, teguran secara berhikmah juga wajar dilakukan kepada anak-anak yang berkelakuan negatif sejak kecil lagi.
    Kesimpulannya, semua pihak termasuklah rakyat dan kerajaan perlu berganding bahu bagi membendung serta membanteras gejala buli ini supaya persekitaran sekolah menjadi aman dan damai. Dalam hal ini, masyarakat haruslah mengikis sikap “bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” apabila ternampak gejala buli ini berlaku di mana-mana tempat. Masyarakat haruslah  menghalang gejala ini daripada berlaku dengan menasihati pembuli atau melaporkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa. Dengan adanya kerjasama daripada masyarakat, gejal buli dalam kalangan remaja ini pasti dapat diatasi.

1 comment: