Tutorial 4: Cara penjagaan muka yang sesuai (santun) semasa kita berkomunikasi
- Muka dalam masyarakat Melayu merujuk kepada air muka. (Asmah , 2000:101)
- Air muka dalam Bahasa Melayu pula bermaksud:
- Rupa, Wajah Seseorang
- Maruah Seseorang
- Penjagaan muka semasa berkomunikasi bermaksud menjaga wajah diri ataupun menjaga maruah diri serta maruah orang lain semasa berkomunikasi dengan orang lain.
Penjagaan Muka Diri Sendiri (Penjagaan Maruah Diri Sendiri)
- Menjaga maruah diri semasa berkomunikasi dengan orang lain dengan tidak melakukan perbuatan yang memalukan diri serta menggunakan cara yang sopan santun.
- Menggunakan perkataan atau ayat yang tidak mengandungi unsur-unsur yang memalukan diri semasa bertutur . Contoh: Mimi tidak menggunakan bahasa yang kesat dan kasar semasa bertutur kerana dia mengetahui bahawa perkataan-perkataan tersebut memalukan diri sendiri.
- Bertutur dengan lemah lembut, halus, tidak meninggikan suara semasa bercakap untuk menjaga muka sendiri (maruah diri). Contoh: Mina selalu menggunakan nada suara yang rendah dan lembut semasa bertutur dengan orang lain supaya orang lain selesa mendengar. Hal ini secara tidak langsungnya akan menjaga muka Mina kerana dia bersopan santun.
- Tidak bercakap bohong kerana hal ini boleh menjejaskan kepercayaan orang lain terhadap kita. Contoh: Kim seorang yang tidak suka bercakap bohong dan dia selalu berkomunikasi dengan orang lain secara jujur dan iklhas. Dengan ini, Kim telah memperoleh kepercayaan ramai kawannya. Rakan-rakan selalu memuji personaliti Kim dan mereka suka bergaul dengannya. Secara tidak langsung, muka (maruah) Kim dapat dijaga.
- Bersifat merendah diri dan tidak sombong semasa manjalankan perbualan dengan orang lain supaya tidak dibenci oleh orang lain. Contoh: Abu disukai oleh rakan-rakannya kerana dia tidak bersikap sombong semasa dipuji oleh orang lain walaupun dia selalu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Sebaliknya, dia bersikap rendah diri. Sikap merendah diri dapat membantunya untuk menjaga muka (maruah) Abu kerana rakan-rakan suka bergaul dengannya.
Penjagaan Muka Diri Sendiri (Penjagaan Wajah Diri Sendiri)
- Menjaga mimik muka sendiri semasa berkomunikasi dengan orang lain.
- Kita tidak sepatutnya menunjukkan emosi kita yang negatif seperti murung, sedih dan sebagainya apabila berkomunikasi dengan orang lain. Contoh: Raju tidak menunjukkan emosi negatif terhadap orang lain apabila menjalankan perbualannya. Sebaiknya, dia selalu bersenyum apabila menjalankan perbualannya supaya sentiasa menyenangkan hati orang lain. Hal ini membuktikan bahawa dia merupakan seorang yang bersopan santun dan mampu menjaga air muka sendiri.
- Kita sepatutnya selalu bersenyum apabila berkomunikasi dengan orang lain. Contoh: Lily selalu bersenyum apabila dia bertutur dengan orang lain. Hal ini menunjukkan dia pandai menjaga muka diri sendiri dengan menunjukkan muka yang manis kepada orang lain.
- Semasa dimarahi oleh orang lain, terutamanya orang yang lebih tua daripada kita, kita seharusnya pandai menjaga mimik muka kita dengan tidak menunjukkan muka yang gembira atau seronok. Hal ini adalah untuk menghormati orang lain. Sebaliknya, kita haruslah menunjukkan muka yang serius. Contoh: Camelia menunjukkan muka yang serius apabila dia dimarahi oleh ibunya. Dia tidak menunjukkan muka yang pelik seperti gembira atau seronok.
Penjagaan Muka Orang Lain (Penjagaan Maruah Orang Lain)
- Selain menjaga maruah diri, kita juga haruslah menjaga maruah orang lain semasa berkomunikasi dengan orang lain supaya hati orang lain tidak tersinggung dan mereka boleh merasai diri mereka dihormati.
- Mengelakkan diri daripada menghina dan merendah-rendahkan peribadi seseorang untuk menghormati orang lain. Contoh: Tina selalu menjaga hati orang lain dan di tidak akan menghina atau merendah-rendahkan peribadi orang lain kerana dia tahu perbuatan ini akan menjatuhkan maruah orang lain.
- Menolak permintaan daripada orang lain secara bersopan santun. Contoh: Ali meminta pertolongan daripada Salim untuk mengajarnya Matematik tetapi Salim sedang sibuk membantu ibunya menjaga adik di rumah. Oleh itu, Salim meminta maaf daripada Ali dan menyatakan sebab-sebab tidak dapat memberi bantuan dengan jujur kepada Ali dan dia menolak permintaan secara bersopan santun.
- Memanggil seseorang itu dengan gelaran yang sesuai dan tepat. Contoh: Mary dan Siti telah berjumpa dengan Cikgu Lily di pasar raya. Mary memanggil “Mak Cik” kepada gurunya manakala Siti menggelar gurunya sebagai “Cikgu”. Siti telah menggunakan gelaran yang betul iaitu “Cikgu”. Hal ini menunjukkan Siti pandai menjaga muka gurunya. Manakala Mary telah menggunakan gelaran yang salah iaitu “Mak Cik”.Hal ini menunjukkan Mary tidak menghormati gurunya dan tidak pandai menjaga muka gurunya.
- Kita haruslah bertegur sapa dengan orang yang dikenali supaya mereka berasa diri mereka dihormati. Contoh: Rahayu akan bertegur sapa dengan jiran-jirannya terutamanya jiran yang lebih tua daripadanya pada setiap pagi sebagai tanda penghormatan kepada mereka. Tindakan ini akan menggembirakan jiran-jirannya walaupun ia merupakan tindakan yang kecil.
- Kita haruslah menjadi pendengar yang baik dengan memberi perhatian terhadap percakapan orang lain untuk menghormati penutur. Contoh: Omy selalu melatih diri untuk menjadi seorang pendengar yang peka supaya dia boleh memberi perhatian terhadap percakapan penutur. Omy akan melihat mata penutur apabila berkomunikasi dengan orang lain. Selain itu, dia juga akan meletakkan kerja-kerja di tepi dan menumpukan perhatian terhadap percakapan orang lain. Hal ini kerana dia tahu bahawa menjadi seorang pendengar yang baik merupakan satu tingkah laku yang mampu menjaga muka orang lain.
- Memberi salam dahulu kepada orang lain sebelum memulakan sesuatu perbualan terutamanya apabila kita bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kita. Contoh: Fatimah selalu memberi salam kepada orang yang lebih tua daripadanya seperti ibu bapa sebelum memulakan pertuturannya. Fatimah berbuat demikian kerana dia menghormati mereka dan ingin memelihara air muka mereka.
- Berfikir baik-baik sebelum mengeluarkan perkataan atau ayat. Kita haruslah mengambil kira sama ada percakapan kita akan menyinggung perasaan orang lain atau tidak. Dengan cara demikian, kita dapat menjaga muka orang lain. Contoh: Hafiz selalu berfikir secara rasional dan dengan sebaik-baiknya sebelum mengeluarkan ayat dan perkataan supaya tidak mengeluarkan ayat yang menyakiti hati orang lain.
- Tidak mengatakan gosip di belakang orang lain. Contoh: Famidah selalu menjaga nama baik orang lain dengan tidak mengatakan gosip orang lain dengan sebarangan. Hal ini kerana dia tahu setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing.
- Kita sepatutnya menjaga muka dan perasaan orang lain sebelum kita memarahi seseorang. Kita haruslah bersikap sabar dan menegur orang tersebut dengan lembut dan bersopan santun. Contoh: Cikgu Lily tidak akan memarahi anak muridnya dengan sebarangan kerana dia tahu untuk menjaga muka muridnya. Dia akan menegur murid yang telah melakukan kesalahan dengan lembut serta bersopan santun.
- Kita perlulah menghormati pendapat orang lain walaupun pendapat kita berbeza daripada pendapat orang lain kerana setiap orang melihat sesuatu perkara dari sudut yang berlainan. Contoh: Adam tidak ingin mendengar dan menerima pendapat Rashid kerana pendapatnya tidak sama dengan Rashid. Hal ini telah menyinggung perasaan Rashid. Sebenarnya, Adam perlu mencuba untuk mendengar pandangan orang lain sebagai tanda penghormatan kepada orang lain.
No comments:
Post a Comment