Strategi Verbal
(Nota Tambahan)
(Nota Tambahan)
- Kesantunan verbal bermaksud kesantunan yang diperlihatkan secara lisan atau bukan bertulis.
- Bahasa halus digunakan dengan meluas dalam ungkapan bertatasusila.
- Bahasa halus ini digunakan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain semasa berkomunikasi.
- Contoh:
- Terima kasih, selamat datang, sila masuk, jemput duduk, tolong hulurkan bantuan, minta kerjasama
- Penggunaan bahasa halus juga melibatkan intonasi yang sesuai,iaitu ditandai nada pengucapan yang rendah ,lembut, dan sesuai,walaupun sewaktu menyindir,tidak akan menyinggung perasaan orang lain.
- Kesantunan dalam berbahasa juga dapat dilihat daripada penggunaan kata panggilan atau rujukan kehormat yang betul dan sesuai.
- Kesilapan dalam penggunaan kata panggilan atau rujukan kehormat boleh menyebabkan seseorang berasa tersinggung dan marah.
- Dalam Bahasa Melayu, penggunaan kata ganti nama diri orang berkait rapat dengan bentuk sapaan yang mengambil alih kata ganti nama untuk memberikan penghormatan atau kemuliaan kepada seseorang.
- Contohnya, sekiranya seseorang itu pensyarah yang berpangkat doktor falsafah, adalah menjadi kesilapan besar sekiranya kita memanggil beliau dengan panggilan encik.
Strategi Kesantunan Non-Verbal
- Kesantunan bukan verbal merupakan bahasa komunikasi bukan lisan yang melibatkan isyarat tangan, air muka dan gerakan badan.
- Kesantunan bukan verbal mampu menggambarkan personaliti, tujuan dan status sosial seseorang individu.
- Komunikatif lisan yang disepadukan dengan bahasa tubuh akan lebih berkesan dan maksud yang disampaikan lebih jelas.
- Gerakan anggota badan kita mampu menyampaikan mesej yang akan difahami oleh orang lain.
- Contohnya, gerakan mata ke sana dan ke mari menunjukkan seseorang itu tidak berminat melihat dan mendengar sesuatu yang disampaikan kepadanya.
- Mata dan dahi berkerut menunjukkan seseorang itu berminat tetapi tidak percaya.
- Mata berkelip lebih laju daripada biasa menunjukkan seseorang tersebut sedang berdusta dan sekiranya seseorang itu tidak memandang mata seseorang yang berbual dengannya, ini menunjukkan bahawa dia sedang malu.
- Mimik muka mempunyai pelbagai maksud yang tersirat yang dapat diterjemahkan maknanya dalam komunikasi bukan lisan.
- Air muka boleh menggambarkan emosi, perasaan, harapan, menambat hati seseorang atau perasaan kurang senang.
- Jalinan komunikatif yang mesra bermula dengan air muka yang jernih.
- Dalam interaksi keluarga dalam masyarakat Melayu, interaksi tidak selalu bergantung kepada pemilihan perkataan dan struktur ayat.
- Penekanan utama dalam konteks kesantunan berbahasa, dalam penggunaan bahasa yang sesuai dalam bahasa Melayu ialah cara perkataan atau frasa diucapkan dan sering kali disertai oleh gerak badan yang melibatkan air muka, isyarat tangan serta gaya dan kedudukan badan pihak yang bercakap.
- Anak-anak Melayu sentiasa diajar menggunakan tangan kanan untuk memegang makanan dan apabila memberi dan menerima sesuatu.
- Penggunaan tangan kiri hendaklah dielakkan. Memberi dan menerima sesuatu daripada seseorang dengan menggunakan tangan kiri ialah perbuatan yang tidak sopan dan tidak selari dengan ajaran Islam.
- Jika seseorang itu terpaksa menuding kepada sesuatu semasa bercakap atau berinteraksi terutamanya dengan pihak yang lebih tua atau yang dihormati dengan tujuan untuk menunjukkan seseorang atau arah, jari telunjuk tidak boleh digunakan.
- Lebih sopan jika ibu jari kanan digunakan. Dalam masyarakat Melayu, menuding dengan jari telunjuk dalam situasi tertentu boleh dianggap sebagai perbuatan meninggikan diri, yakni dalam pengertian mengarah atau memerintah pihak yang mendengar.
- Apabila seseorang itu harus lalu di hadapan pihak yang lebih tua, yang lebih tinggi tarafnya atau pihak yang lebih dihormati seseorang itu hendaklah meminta izin terlebih dahulu dengan melafazkan ungkapan “minta lalu” atau “tumpang lalu”.
- Ucapan meminta izin ini boleh digantikan dengan perlakuan bukan verbal, antaranya menundukkan kepala dan membongkokkan badan sedikit ketika lalu sambil meluruskan tangan kanan ke bawah.
- Perbuatan ini dianggap sopan dalam masyarakat Melayu.
No comments:
Post a Comment