Tuesday, August 6, 2013

Kuliah 4: Penjagaan Muka Sebagai Asas Kesantunan

Konsep Kesantunan

  • Menurut Lakoff (1975:64), kesantunan merupakan perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. 
  • Menurut Farser dan Nolah (1981:96), kesantunan adalah usaha mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa konflik.
  • Leech menyatakan kesantunan adalah perlakuan yang mewujudkan pengiktirafan diri dalam sesuatu interaksi sosial.
  • Kesantunan diukur berdasarkan penggunaan kata-kata dan perlakuan seseorang individu.


Kesantunan Penggunaan Kata-kata

  1. Kesantunan yang diukur berdasarkan penggunaan kata-kata juga dikenali sebagai kasantunan berbahasa.
  2. Definisi: Sifat lemah-lembut, bersopan santun dan kehalusan budi pekerti yang dimiliki oleh seseorang penutur apabila bertutur atau berkomunikasi dengan orang lain menggunakan bahasa yang sopan dan beradab.
  3. Penggunaan kata-kata mempunyai peraturan-peraturannya. Menurut Asmah Haji Omar dalam karya beliau iaitu Setia Dan Santun Bahasa (2002), terdapat tiga jenis peraturan penggunaan bahasa: peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik.
  4. Ketiga-tiga peraturan itu merupakan asas kesantunan bahasa.
  5. Peraturan Linguistik: Peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa. Bentuk dan binaan sesuatu bahasa diwakili oleh beberapa aspek utama, iaitu sebutan, intonasi, kosa kata, ejaan serta tatabahasa.
  6. Peraturan Sosiolinguistik: Peraturan penggunaan kata-kata yang menitikberatkan hubungan sosial antara penutur dengan pendengar. Sebagai contohnya, penggunaan kata sapaan yang tepat, (kata ganti diri, kata panggilan hormat) yang telah ditentukan menurut sistem dalam masyarakat.
  7. Peraturan Pragmatik: Peraturan penggunaan kata yang perlu disesuaikan dengan tujuan komunikasi.
  8. Terdapat lima kepentingan aspek kesantunan berbahasa, iaitu:

  • Mengandungi nilai hormat yang tinggi
  • Kosa kata halus dan bertatasusila
  • Tidak menyinggung perasaan orang lain apabila bertutur
  • Melambangkan kesantunan budi, kehalusan dan kesopanan tingkah laku penutur.
  • Mencerminkan akal budi seseorang.



Kesantunan Perlakuan
  • Definisi: Tingkah laku yang halus, sopan santun dan lemah lembut supaya pergeseran dalam sesuatu interaksi dapat dielakkan.
  • Terdapat banyak sifat yang boleh menunjukkan kesantunan seseorang. Antaranya adalah:

  1. Kasih Sayang (Kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.)
  2. Hemah Tinggi (Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.)
  3. Harga Diri (Keupayaan dan keyakinan diri agar mampu memulia dan menjaga maruah diri dalam kehidupan.)
  4. Baik Hati (Sikap yang sentiasa mengambil berat perasaan dan kebajikan orang lain dengan ikhlas.)
  5. Bekerjasama (Keinginan untuk melakukan sesuatu aktiviti dengan orang lain secara koperatif serta berusaha ingin menjadi sebahagian daripada sebuah kelompok.)
  6. Kesederhanaan (Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan, atau perlakuan tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain.)
  7. Toleransi (Kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.)
  8. Menghormati Orang Lain (Menjunjung, memuja serta menghargai orang lain)
  9. Prihatin (Mengambil berat dan perhatian terhadap sesuatu perkara.)
  10. Ikhlas (Melakukan sesuatu perkara atau melayan seseorang dengan hati yang benar dan tidak hipokrit.)




Konsep Penjagaan Muka Sebagai Asas Kesantunan
  • Muka dalam masyarakat Melayu merujuk kepada air muka. (Asmah, 2000:101)
  • Air muka dalam bahasa Melayu pula bermaksud:
    • rupa, wajah seseorang 
    • maruah seseorang.
  • Dalam perkataan "penjagaan muka", kita boleh mendapati bahawa kita sepatutnya menjaga mimik wajah kita supaya tidak menyinggung perasaan orang lain serta menjaga maruah sendiri.
  • Muka sangat berkait rapat dengan maruah diri sehingga tercipta pelbagai peribahasa yang berkaitan dengan muka.
  • Antara peribahasa tersebut ialah:
  1. Muka Tembok 
  2. Muka Talam 
  3. Muka Tebal 
  4. Muka Tarpal 
  5. Muka Papan 
  6. Muka Pot 
  7. Muka Sengkalan 
  8. Muka Batu
  9. Muka Bantal 
  • Semua peribahasa di atas ditujukan kepada seseorang yang tidak tahu malu. (Mohd. Tajuddin Haji Abd. Rahman, 1999: 149).
  • Penjagaan peribahasa yang banyak itu mempunyai satu makna menunjukkan bahawa orang Melayu sangat mementingkan "malu" dan "air muka".
  • Bagi insan yang mempunyai maruah diri sendiri, mereka mesti mempunyai perasaan malu yang tertanam dalam jiwa mereka. Hal ini kerana orang yang mempunyai maruah diri malu untuk melakukan perbuatan, tingkah laku atau aktiviti yang akan menjatuhkan imej diri.
  • Malu dapat difahami sebagai suatu nilai suci dan murni yang menjadi asas kepercayaan yang diterima sebagai mutlak dan luhur yang merupakan maruah bangsa (Mohamed Mansor Abdullah, 1993:249).
  • Menurut Islam, malu ialah perasaan yang mendesak seseorang supaya menghindarkan segala yang keji dan melaksanakan segala yang terpuji.
  • Konsep malu dalam masyarakat Melayu begitu luas serta menjadi asas didikan anak-anak. Anak-anak yang dididik untuk memupuk perasaan malu dalam jiwa mereka dapat menghindari daripada pelbagai aktiviti negatif terutamanya gejala sosial yang boleh menjatuhkan maruah sendiri serta keluarga.
  • Menurut Zainal Kling (1980), konsep malu itu meliputi pelbagai segi pengertian termasuklah yang paling tinggi yang berkaitan dengan akhlak dan maruah individu, keluarga dan masyarakatnya.
    Datuk Prof Dr Zainal Kling
  • Dalam masyarakat China, sifat malu ini sudah dipraktikkan oleh nenek moyang masyarakat Cina sejak beribu-ribu tahun yang lalu. 
  • Menurut Confucius, seseorang perlulah mempunyai perasaan malu dalam kehidupan seharian apabila melakukan segala perbuatan(行己有耻).
  • Menurut Mencius (Sebelum Masihi 372- Sebelum Masihi 289), setiap insan mestilah mempunyai perasaan malu. Seseorang itu dapat menghindari perbuatan yang memalukan sepanjang hayatnya jikalau dia boleh memupuk sifat malu dalam jiwanya(人不可以无耻。无耻之耻,无耻矣).
    Mencius (Meng Zi)
  • Menurut masyarakat Cina, sifat malu merupakan salah satu tatatertib yang harus dimiliki oleh seluruh rakyat. Jika tatatertib ini tidak dapat diamalkan oleh rakyat, maka negara berkenaan akan musnah. (礼、义、廉、耻,四国之维;四维不张,国乃灭亡。)
  • Dalam sebuah karya Liew On (Sebelum Masihi 179 - Sebelum Masihi 122), masyarakat yang tidak mempunyai perasaan malu merupakan masyarakat yang sukar untuk dikawal dan ditadbir(民无廉耻,不可治也). Hal ini kerana masyarakat yang tidak tahu malu akan melakukan pelbagai perbuatan negatif yang bukan sahaja menjejaskan imej seseorang malah juga akan membawa pelbagai keburukan kepada orang lain. Sebagai hasilnya, sesebuah negara akan menjadi huru-hara dan sukar untuk ditadbir.
  • Oleh yang demikian, seseorang perlu mengelakkan dirinya daripada menerima malu atau memberi malu kepada orang lain.
  • Orang yang menerima malu, lazimnya akan berasa tertekan dan mudah hilang pertimbangan. Hal ini akan menyebabkan seseorang itu untuk melakukan perbuatan yang tidak rasional.
  • Dalam hikayat sastera klasik, terdapat beberapa peristiwa peperangan, pergaduhan, pembunuhan, dan amuk yang berlaku disebabkan seseorang itu dimalukan.
  • Contohnya, balas dendam Hang Jebat ke atas Sultan Melaka kerana telah memalukan Hang Tuah yang dijatuhi hukuman bunuh kerana bermukah (zina) dengan perempuan istana.
  • Dalam masyarakat Melayu, malu itu bukan sahaja perasaan sendiri bahkan sesuatu tindakan kita boleh juga memalukan keluarga dan masyarakat.
  • Oleh itu, seseorang tidak harus melakukan perbuatan yang jahat dan negatif kerana dia akan mendapat malu besar jikalau perbuatan negatif yang dibuat diketahui oleh orang lain seperti peribahasa "pecah tempayan pekasam, muka berconteng arang" serta "ditepuk air didulang, terpercik muka sendiri".
  • Selain memalukan diri sendiri, perbuatan-perbuatan yang tidak santun juga akan memalukan keluarga serta masyarakat. Oleh itu, lahirlah peribahasa "menconteng arang di muka" yang bermaksud sesuatu perlakuan yang mendatangkan malu dan aib kepada keluarga.
  • Antara sesuatu tindakan yang terkeluar daripada kehendak dan norma masyarakat adalah seperti seorang gadis "kahwin lari", maka tindakannya dikatakan tindakan yang tidak santun kerana telah melanggar adat masyarakatnya.
  • Selain itu, gejala sosial seperti penagihan dadah, gengsterisme, perlumbaan haram dan sebagainya  yang sering dilibatkan oleh golongan remaja hari ini juga dianggap perbuatan yang tidak sopan serta memalukan keluarga dan masyarakat.
  • Anggota masyarakat yang sanggup memalukan diri sendiri dan ahli keluarganya dianggap tidak berhemah.
  • Maruah dan harga diri seseorang perlu dijaga dengan berpegang kuat pada konsep malu (penjagaan air muka).
  • Konsep malu dalam masyarakat Melayu adalah bertujuan untuk menjaga maruah dan air muka.
  • Bagi masyarakat Cina pula, konsep malu juga bertujuan untuk menjaga air muka sendiri serta air muka ahli keluarga.
  • Selain perbuatan seharian, perasaan malu juga boleh berpunca daripada penggunaan bahasa.
  • Sewaktu berinteraksi, orang Melayu ditegah sama sekali menghina dan merendah-rendahkan peribadi seseorang.
  • Perkataan yang keluar dari bibir hendaklah santun, tidak boleh mengandungi unsur-unsur yang memalukan diri, keluarga dan pihak lain walaupun sewaktu menyatakan sesuatu yang benar.
  • Di samping itu, masyarakat Melayu juga dinasihati supaya tidak meninggi-ninggikan diri, memuji-mujikan sendiri, bercakap dengan sombong dan ego. Hal ini kerana orang yang sombong dan ego dianggap tidak mempunyai sifat kemaluan serta bermuka tebal.
  • Tambahan pula, kita juga tidak boleh bercakap bohong, bercakap besar serta bercakap dengan sebarangan kerana orang yang selalu berbohong akan mendapat malu jika pembohongannya terbongkar.
  • Mulut merupakan salah satu anggota badan yang sangat perlu dijaga memandangkan mulut adalah bahagian anggota yang mengungkapkan kata dan anggota yang paling hampir dengan muka.
  • Mulut boleh mendatangkan malu kepada diri sendiri dan orang lain jika mulut tidak dikawal dengan elok.
  • Oleh itu, penggunaan mulut pada setiap hari perlu dikawal dan orang Melayu sangat memberatkan perkara ini.
  • Ini jelas dengan penciptaan peribahasa seperti "kerana pulut santun binasa, kerana mulut badan binasa". Peribahasa ini bermaksud perkataan yang dikeluarkan dari mulut akan menyusahkan diri sendiri jikalau mulut tidak dikawal dengan baik.
  • Orang Melayu juga tidak boleh menerima orang yang menggunakan mulutnya untuk menyampai-nyampaikan cerita orang lain daripada seseorang kepada seseorang yang lain sehingga dia dikatakan seperti "mulut tempayan", iaitu orang yang tidak pandai menyimpan rahsia.
  • Percakapan seseorang juga tidak boleh berlebih-lebih kerana ini boleh menimbulkan kebosanan orang lain terhadapnya sehingga dianggap seperti "mulut murai", iaitu orang yang suka bercakap dan kadang-kadang percakapannya dianggap tidak berfaedah.
  • Masyarakat Melayu juga tidak menyukai orang yang bermulut berus, iaitu orang yang suka mengeluarkan kata-kata yang kesat.
  • Orang Melayu juga memberatkan penggunaan lidah kerana lidahlah yang membentuk kata-kata.
  • Penjagaan lidah adalah sama penting dengan penjagaan mulut kerana masyarakat Melayu mempunyai peribahasa yang berkaitan dengan lidah yang buruk seperti "lidah bercabang", "lidah biawak", "lidah tidak bertulang".
  • Orang yang mempunyai lidah bercabang atau lidah biawak adalah orang yang percakapannya tidak dapat dipercayai.
  • Selain itu, peribahasa "lidah tidak bertulang" digunakan untuk menggambarkan orang yang mudah berjanji tetapi mudah pula mengubah janjinya itu.
  • Namun, sekiranya lidah itu digunakan secara positif (santun), maka dikata "lidah manis" dan "lidah pendeta". (Mohd. Tajuddin Haji Abd. Rahman, 1999:127).
  • Orang yang mempunyai lidah manis adalah orang yang bercakap dengan perkataan yang baik, halus dan bersopan santun.
  • "Lidah pendeta" didefinisikan sebagai kata-kata hikmat  (kata-kata yang mempunyai pengertian yang tinggi dan berguna untuk sebagai panduan hidup) daripada orang yang bijaksana .
  • Dalam membincangkan tugas mulut dan lidah, kita tidak boleh mengabaikan soal hati.
  • Ini adalah kerana hatilah yang mendorong sesuatu ungkapan yang ditugaskan kepada lidah dan mulut. Setiap perkataan atau ayat yang dikeluarkan dari mulut kita adalah berasal daripada pemikiran kita.
  • Oleh itu, kata-kata menggambarkan hati.
  • Hati yang baik akan mengungkapkan bahasa yang santun dan sebaliknya. Jikalau hati atau pemikiran kita adalah baik dan positif, maka percakapan kita juga adalah baik.
  • Kita boleh mengelakkan pelbagai masalah jika percakapan kita baik. Antaranya adalah pergeseran, pertelingkahan ataupun perselisihan faham dapat dielakkan. Selain itu, persekitaran yang aman damai dan harmoni dapat diwujudkan jika seluruh masyarakat bertutur dengan sopan dan santun.
  • Perkara ini ada disebut oleh Raja Ali Haji (2000:8) di dalam gurindamnya seperti yang berikut:

"Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah."



  • Maksudnya adalah kita dapat memperoleh pelbagai faedah jika kita boleh mengawal lidah kita iaitu percakapan kita.
  • Manakala mengenai hati pula, Raja Ali Haji seterusnya berkata:
" Hati itu kerajaan di dalam tubuh,
Jikalau zalim, segala anggota pun roboh."
  • Maksudnya adalah hati merupakan anggota badan yang menguasai dan mengawal segala tingkah laku serta percakapan kita. Seandaiya hati kita jahat, maka tingkah laku serta percakapan kita pun jahat juga.

"Tapi sayang
Tatkala bahasa disalah guna
Oleh lidah bercabang dua
Segala yang indah menjadi nista
Binasalah badan seluruh anggota
Bagai bunga kembang tak jadi"
(Sajak Bahasa,Norlila Abdul Ghani)
  • Rangkap sajak ini membawa maksud menggunakan kata-kata yang salah dalam percakapan akan membawa binasa kepada seseorang itu. Penulis sajak ini menasihati pembaca supaya bercakap dengan berhati-hati dalam kehidupan seharian.

"Ke tanah seberang satu purnama,
Duduk bertamu rumah saudara;
Kalau bertutur dengan sempurna,
Nahu tersusun santun terjaga."
(Pantun Bahasa)
  • Penulis menasihati pembaca supaya bertutur dengan sempurna iaitu dengan sopan santun, halus dan menggunakan kata-kata yang baik supaya kesantunan kita terjaga.

No comments:

Post a Comment