Thursday, August 1, 2013

Kuliah 1: Konsep Budi Bahasa Dalam Masyarakat Malaysia

Pengertian Dan Konsep


  • Budi
  • Bahasa
  • Budi Bahasa

Pengertian Budi

  • Dengar dengan teliti lagu ini. Berikan pandangan anda tentang maksud lagu ini.

Oleh : Azian Mazwan Sapuan

Sepasang kaki melangkah
Meniti usia
Hati yang berlalu pergi
Takkan kembali
Seiring dengan masa aku dewasa
Dan kini kufahami ertinya budi

Ku sedar kau sejak dulu
Menatangiku
Tak pernah diriku ini
Engkau kasari
Terisi tiap waktu permintaanku
Diriku kebanjiran kasih dan sayang

Walau tak kuucapkan
Walau tak kupamerkan
Di hatiku selalu menghargaimu
Tunggulah tiba waktu
Di saat tika perlu
Ku pasti akan berada di sampingmu
Akulah embun... akulah hujan
Pada ketika kau hangat kegersangan

Semakin kumengenali ertinya budi
Semakin kau kusanjungi di dalam hati
Sedaya upayaku akan ku cuba
Membahagiakan mu setiap masa

(Ulang 1 hingga akhir)

  • Renungi Pantun di bawah:
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Maju bangsa kerana bahasa.

Banyak ubi perkara ubi,
Ubi Daik saya tanamkan;
Banyak budi perkara budi,
Budi baik saya kenangkan.

Pengertian Budi

  • Hati yang menjadi panduan kepada akal untuk membuat pertimbangan yang baik
  • Tabiat/ akhlak/ watak
  • Fikiran
  • Perbuatan baik
  • Daya upaya baik
  • Pertimbangan akal yang baik

  • Kamus Dewan (2002: 488) mencatatkan bahawa yang dimaksudkan indah ialah cantik, bagus, benar, elok dan molek.
  • Menurut Kamus Dewan (2002: 180), budi ialah 

  1. akal dan kebijaksanaan,
  2. perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan, watak, dan
  3. sifat baik, perbuatan baik, kebajikan, bicara dan daya upaya.

  • Mustafa Haji Daud (1995: 1) merumuskan definisi budi yang dikemukakan oleh Yunus Maris, Kamus Dewan dan Kamus Umum Bahasa Indonesia sebagai lambang pekerti yang baik atau akhlak yang terpuji.
  • Bagi masyarakat Melayu amnya, perkataan budi itu membawa pelbagai maksud antaranya jasa dan sumbangan yang diberikan kepada individu yang lain.
  • Lazimnya, orang yang menaburkan budi tidak mengharapkan balasan.
  • Budi atau sumbangan itu baik dari segi tenaga atau material, mestilah diberi dengan ikhlas jika ingin diberkati Allah SWT.
  • Orang yang menerima budi pula tidak dituntut untuk membalas budi yang diterima, memadai budi diterima dengan penuh ikhlas dan kesyukuran.
  • Budi bahasa merupakan satu sifat atau perbuatan yang merujuk kepada perbuatan yang menyenangkan hati orang lain.
  • Maka secara khususnya, budi bahasa merupakan satu elemen wajib bagi setiap individu untuk lahir sebagai insan yang sempurna dari mata masyarakat.

Pengertian Bahasa
  • Kamus Dewan (2002: 87) mencatatkan maksud bahasa ialah:
  1. sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia, dan
  2. percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, dan sopan santun.

  • Wilhelm Von Humboldt seorang sarjana Jerman, mendefinisikan bahasa sebagai sintesis bunyi.
  • Ferdinand de Saussure seorang sarjana linguistik Swiss pada awal abad ke-20 menyatakan bahasa sebagai sistem isyarat.
  • Charles F. Hockett memperkatakan bahasa dari sudut psikologi behaviurisme, iaitu sistem tabiat-tabiat sangat rumit.
  • John B. Carol juga meninjau bahasa dari sudut linguistik yang merupakan sistem bunyi vokal berstruktur dan urutan-urutan bunyi.
  • Bloch dan Trager mendefinisikan bahasa sebagai satu lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan anggota masyarakat untuk berkomunikasi.
  • Bahasa ialah semua bunyi bahasa yang dihasilkan oleh alat-alat sebutan manusia seperti rongga mulut, hidung, paru-paru dan artikulator-artikulator lain.
Alat Artikulasi



  • Setiap bahasa mempunyai susunan tertentu, sama ada dalam bentuk bunyi-bunyi perkataan, susunan perkataan, tatabahasa atau sintaksis yang dikatakan bersistem.
  • Tiap-tiap bahasa mempunyai bentuk-bentuk tertentu seperti perkataan, frasa, klausa dan ayat.
  • Setiap pertuturan dalam bahasa mempunyai makna bagi penutur dan pendengar.
  • Bahasa berubah dan berkembang selagi wujudnya interaksi antara penutur.
  • Bunyi-bunyi bahasa dihasilkan satu demi satu (satu lambang mewakili satu bunyi) oleh pergerakan alat-alat sebutan secara linear.
  • Bahasa ialah kebolehan semula jadi manusia yang berupa satu sistem simbol bunyi suara yang arbitrari, yang telah dipersetujui dan digunakan oleh sekelompok manusia untuk berkomunikasi.
  • Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996: 87) menjelaskan bahawa bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu yang lain dan sebagainya.)
  • Menurut Asmah Hj. Omar ( 1983:376) bahasa hanyalah bunyi yang dihasilkan oleh alat-alat ujaran yang terdapat dalam rongga mulut  dan rongga tekak manusia. Di sebalik ciri fizikal ini terdapat makna. Suatu urutan bunyi atau kata itu mempunyai makna. Tegasnya, ikatan antara bunyi dan makna yang diisyaratkan oleh pelbagai satuan itulah yang memungkinkan orang bukan sahaja berkomunikasi, tetapi juga mencipta.
Profesor Dr. Asmah Haji Omar



  • Fungsi bahasa:

  1. Penghubung: interaksi jelas, luas, tanpa sempadan
  2. Pernyataan perasaaan: ekspresi dan luahan
  3. Pernyataan fikiran: neurologi



Pengertian Budi Bahasa

  • Budi bahasa bermaksud mempunyai budi bahasa yang baik yang merangkumi pekerti, akhlak, watak dan kelakuan yang baik, sopan, pemurah dan sebagainya yang disebut sebagai nilai-nilai murni.
  • Amalan budi bahasa bukan sahaja penting dalam masyarakat Melayu, malahan dalam semua masyarakat sememang-memangnya mengajarkan cara hidup yang baik.
  • Tujuan mengamalkan cara hidup berbudi bahasa adalah untuk mewujudkan suasana aman, harmoni, kerjasama, hormat- menghormati, kasih sayang, dan kesejahteraan.
  • Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi ketiga cetakan keenam 2002(m/s 180), budi didefinisikan sebagai akal, kebijaksanaan atau sifat baik, perbuatan baik dan kebajikan.
  • Budi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tatatertib, akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan tercantum dalam kata-kata mulia, dengan kata lain, setiap gerak laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain.
  • Orang Melayu menjunjung tinggi nilai budi dan bahasa. Mereka menganggap budi dan bahasa sebagai satu entiti yang bertaut dan saling melengkapi. Tautannya menjadi pegangan nilai yang daripadanya terpancar unsur fizik dan unsur metafizik seseorang. Orang yang dianggap sempurna ialah orang yang kaya budi bahasa, sebagaimana gambaran pantun di bawah:

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia kerana tidak berbudi.

Di sana padi di sini padi,
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
Baru sempurna menjadi orang.

Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit dipandang orang,
Budi bahasa rangkaian hati.

Puyu-puyu konon namanya,
Di dalam kolam konon tempatnya;
Cantik manis barang lakunya,
Serta dengan budi bahasanya.
  • Pantun di atas jelas pertautan budi dengan bahasa.
  • Menurut Mustafa Haji Daud (1995: 1) seringkali perkataan budi ditambah dengan awalan "ber-" atau akhiran " -man" menjadikannya berbudi atau budiman.
  • Penambahan itu selain menyedapkan bunyi, adalah juga sebagai petanda orang Melayu menjunjung tinggi peranan budi dan bahasa.
  • Orang berbudi atau orang budiman pada persepsi orang Melayu ialah orang yang mengamalkan percakapan baik, elok atau halus dalam bertutur kata, beradab, bersopan-santun dan sentiasa mengerjakan kebajikan. Orang berkenaan dianggap memiliki sifat peribadi yang sempurna.
  • Nilai budi bahasa sangat penting kepada diri seseorang, bangsa, negara dan terutama agama.
  • Walaupun manusia berlainan bangsa, etnik, negara dan agama, namun nilai budi bahasa tetap diharapkan menjadi amalan.
  • Dikatakan bahawa orang yang diingati, dikenangi dan disayangi oleh seseorang ialah orang yang berbudi bahasa, sebagaimana gambaran pantun di bawah:
Anak merpati disambar helang,
Terbang ketitir di dalam huma;
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama.

______________________________________________________

Nota Tambahan:


Pengertian Budi



Pantun Budi

Terang bulan terang di paya,
Anak kambing memakan rumput;
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak tersebut.

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Sri Rama;
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.

Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.

Maksud rangkap:
Rangkap 1: Pantun ini disampaikan sebagai pesanan secara tidak langsung bahawa orang yang berbudi hendaklah dikenang.
Rangkap 2: Orang yang berbudi pasti akan disebut-sebut namanya walaupun dia telah meninggal dunia.
Rangkap 3: Jasa dan budi orang sentiasa dikenang. Biarpun kecil, budi itu tetap dihargai.
Rangkap 4: Seseorang yang mengasihi orang lain, apabila kasihnya diterima, hubungan tersebut akan berterusan untuk jangka masa yang panjang.

  • Budi merupakan sifat baik, perbuatan baik atau kebajikan yang boleh membawa faedah dan kebaikan kepada orang lain.
  • Budi dilakukan kepada sesiapapun tanpa mengira kaum, budaya, adat resam, agama dan kepercayaan. Oleh itu, budi ditakrifkan sebagai perbuatan mulia yang didorong oleh akal dan pertimbangan seseorang yang baik.
  • Budi merupakan sumbangan dan jasa yang dilakukan untuk membantu orang yang berada dalam kesusahan oleh seseorang dengan hati yang ikhlas serta tidak mengharapkan balasan daripada orang yang dibantu.
  • Seseorang yang melakukan budi dengan hati yang ikhlas akan diberkati dan dilindungi oleh Tuhan.

Pengertian Bahasa:

Sajak Bahasa
Ditulis oleh: Norlila Abdul Ghani

Bahasa menunjuk ajar
Boleh juga kepalang ajar
Bahasa boleh menunjuk
Boleh juga merajuk
Ada juga dibuat pujuk

Bahasa adalah indah
Terbina dalam sekata
Terhurai dalam fikiran
Terjelma dalam ucapan
Hingga membentuk tamadun bangsa

Tapi sayang
Tatkala bahasa disalah guna 
Oleh lidah bercabang dua
Segala yang indah menjadi nista
Binasalah badan seluruh anggota
Bagai bunga kembang tak jadi


Pantun Bahasa

Pagi-pagi menganyam ketupat,
Jangan berongga biarlah tumpat;
Gunakan bahasa secara tepat,
Jiwa Melayumu semakin mampat.

Pergi mengundang rumah Pak Haji,
Buat jamuan mendapat restu;
Jiwa Melayumu hendak menjadi,
Gunakan bahasamu setiap waktu.

Hendak menangkap ikan siakap, 
Masuk ke jala si ikan sepat,
Gunakan bahasamu secara kerap,
Lambat laun bertambah tepat.

Waktu pagi ke rumah teman,
Ke rumah teman dengan sampan;
Hendak mengenal arif budiman,
Sulamlah bahasa dengan ungkapan.

Pergi ke dapur membeli cuka,
Cuka setitik pencecah lidah;
Pantun gurindam syair seloka,
Jadi perencah bahasa nan indah.

Ke tanah seberang satu purnama,
Duduk bertamu rumah saudara;
Kalau bertutur dengan sempurna,
Nahu tersusun santun terjaga.

Pergi berdagang emas suasa,
Bawa sekali pasu tembikar;
Kalau sebangsa tak tahu bahasa,
Umpama pohon tidak berakar.

Sedang berehat di tepi anjung,
Jiran tetangga datang berkunjung;
Bahasa budaya kalau dijunjung,
Pusaka bangsa tetap tersanjung.

Rentak bergema disambut tari,
Tak mak inang di tengah laman,
Jika bahasa terus dilestari,
Hayat usianya menerobos zaman.

Terbang rendah si burung camar,
Turun hinggap bersama tekukur;
Jika bahasa selalu tercemar,
Maksud tujuan menjadi kabur.

  • Bahasa adalah penggunaan kod yang merupakan gabungan fonem sehingga membentuk kata dengan aturan sintaks untuk membentuk ayat yang memiliki erti. Bahasa merupakan kebolehan semula jadi manusia yang digunakan oleh kelompok masyarakat yang tertentu untuk berkomunikasi. Bunyi-bunyi, perkataan atau ayat yang ditutur adalah diwarisi secara turun-temurun dan boleh diperbaharui, diubahsuai serta diperkembangkan dari semasa ke semasa asalkan golongan masyarakat berkenaan bersetuju dengan perubahan atau pengubahsuaian tersebut.
  • Bahasa merupakan: 
  1. Satu sistem untuk mewakili benda, tindakan, gagasan, keadaan dan sebagainya.
  2. Satu peralatan yang digunakan untuk menyampaikan konsep seseorang ke dalam pemikiran orang lain.
  3. Satu kod yng digunakan oleh pakar linguistik untuk menyelidik tentang bahasa sesebuah masyarakat.
  4. Satu sistem pertuturan yang dapat difahami oleh masyarakat linguistik.
  • Takrifan Bahasa Dalam Kamus:
  1. Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996:87):                           "Bahasa ialah lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia."
  2. Kamus Besar Bahasa Indonesia Edisi Kedua Cetakan Kesepuluh (1999:77):                                                      "Bahasa sebagai sistem lambang bunyi yang arbitrari, yang digunakan oleh para anggota suatu masyarakat untuk bekerjasama, berinteraksi dan mengidentifikasikan diri."
  • Takrifan Bahasa Oleh Tokoh-Tokoh Dunia:
  1. Abdullah Hassan (1984:14):                                                      "Dalam memberi definisi bahasa ini, pentinglah kita mengetahui ciri-ciri bahasa tersebut. Ciri-ciri bahasa tersebut akan hanya menjadi jelas apabila kita melihat bahasa dari segi guna dan sifatnya sebagai alat perhubungan."
  2. Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985:40):           "Banyak dasar yang boleh dijadikan asas untuk mendefinisikan bahasa. Sesetengah orang mendefinisikan bahasa dari sudut fungsi bahasa itu sendiri. Bagi mereka, bahasa merupakan alat perhubungan atau komunikasi."                                       "Bahasa sebagai alat untuk menyatakan perasaan, pendapat, fikiran dan sebagainya."
  3. Arbak (1983:7):                                                                         "Bahasa merupakan bahan langsung yang menjadi tumpuan pengkajian, terutamanya dalam usaha memperlihatkan fungsinya sebagai alat yang dipakai oleh manusia untuk perhubungan."
  4. Edward Sapir:                                                                          "Bahasa ialah suatu sistem lambang pertuturan yang digunakan oleh manusia secara arbitrari untuk menyampaikan fikiran dan perasaan."
  5. Raja Mukhtaruddin(1980:25):                                                   "Ahli-ahli bahasa terlebih dahulu mendefinisikan bahasa sebagai suatu sistem lambang-lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh ahli-ahli sesebuah masyarakat."
  6. Lutfi Abas (1975:4):                                                                   "Bahasa ialah data yang dianalisis dalam bentuk linguistik. Bahasa ialah suatu sistem simbol yang terdiri daripada bunyi-bunyi yang diucapkan dalam atau melalui mulut manusia, yang dipersetujui bersama, dipelajari oleh sekelompok manusia dan dengan simbol-simbolnya pula sekelompok manusia itu berkomunikasi."
  7. Asmah Omar (1983:376):                                                           "Bahasa hanyalah bunyi yang dihasilkan oleh alat-alat ujaran yang terdapat dalam rongga mulut dan rongga tekak manusia. Di sebalik ciri fizikal ini terdapat makna."
  8. Hall, dikutip Lyons (1981:4):                                                     "Language is the institution whereby humans communicate and interact with each other by means of habitually used oral-auditory arbitrary symbols."                                               Maksud:                                                                                   "Bahasa merupakan institusi di mana manusia menggunakannya untuk berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain dengan menggunakan simbol arbitrari oral-pendengaran secara lazim."
  9. Robins, dikutip Lyons (1981:6):                                                     "Languages are simbol systems...almost wholly based on pure or arbitrary convention.                                                             Maksud:                                                                                        "Bahasa merupakan sistem simbol...hampir keseluruhannya adalah berdasarkan konvensyen tulen atau konvensyen arbitrari."
  10. Algeo (2005:2):                                                                           "A language is a system of conventional vocal signs by means of which human beings communicate. This definition has several important terms, each of which is examined in some detail...Those terms are system, signs, vocal, conventional, human, communicate."                                                                  Maksud:                                                                               "Bahasa merupakan satu sistem tanda vokal konvensional dengan cara komunikasi antara manusia, Definisi ini mempunyai beberapa istilah yang penting, setiap istilah diperiksa secara terperinci...Istilah-istilah tersebut adalah sistem, tanda-tanda, vokal, konvensional, manusia, dan komunikasi."
  • Fungsi Bahasa:
  1. Bahasa merupakan alat perhubungan bagi sesebuah masyarakat untuk berinteraksi dan berkomunikasi secara luas, jelas dan tanpa sempadan. 
  2. Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh manusia untuk mengekspresikan dan meluahkan perasaan sendiri supaya boleh difahami oleh orang lain.
  3. Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh manusia untuk menyatakan fikiran, pandangan, pendapat dan sebagainya.

Pengertian Budi Bahasa

Pantun Budi Bahasa

Kalau terpijak pisau belati,
Tentu terluka teramat bisa;
Bahasa yang cantik anugerah Ilahi,
Berbudi bahasa pusaka bangsa.

Pergi Peramu membeli gergaji,
Jalannya teruk berlopak berbatu;
Orang berilmu tak minta dipuji,
Baik buruk sahabat yang tahu.

Jalan teruk berlopak berbatu,
Musim mengundi baru di turap;
Tingkah perangai sahabat yang tahu,
Sopankah atau tidak beradab.

Pantun gurindam pusaka bangsa,
Wajib diwarisi setiap generasi;
Seloka dan mudah hiasan kata,
Tanda beradab pelengkap diri.


Pencipta: Pak Ngah Suhaimi
Senikata: Hbasah Hassan
Gubahan: Asnawi Mutaal
Penyanyi: Gemersik Chorus
Terbitan: Bahagian Perkhidmatan Muzik

Ibu bapa dan kaum keluarga
Saudara terdekat jiran tetangga 
Sayang menyayangi bertegur sapa
Ketelusan ikatan sepanjang usia

Para guru rakan sekolah
Turut warnai kehidupan kita
Ilmu ditimba pengalaman bertambah
Pergaulan sihat peribadi ceria

Bangsa Malaysia berhemah tinggi
Ramah dan mesra elok pekerti
Yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi
Bertimbang rasa hormat menghormati

Kita berkhidmat jujur dan ikhlas
Mencurah bakti tak minta dibalas
Harapan rakyat satu amanah
Budi bahasa budaya kita

Pengertian Budi Bahasa
  • Budi bahasa bermaksud tingkah laku dan pertuturan yang baik, berhemah tinggi, serta bersopan santun yang boleh mewujudkan keadaan harmoni, aman dan damai antara masyarakat.
  • Budi bahasa boleh diperlihat dalam dua bentuk:
  1. Tingkah laku atau perbuatan                                        
  2. Pertuturan atau bahasa
  • Tingkah laku atau perbuatan
  1. Tingkah laku yang boleh menyenangkan hati orang, tidak menyinggung perasaan orang lain, menjaga kepentingan orang lain, berhemah tinggi serta bersopan santun.
  2. Tingkah laku yang berbudi bahasa seharusnya diamalkan dalam kehidupan seharian.
  3. Contohnya:
  • Memberi tempat duduk kepada wanita yang mengandung serta orang tua apabila di dalam kenderaan awam seperti bas.
    Memberi Tempat Duduk Kepada Orang Tua
  • Beratur semasa membeli barang di pasar raya, kedai runcit atau kantin.
    Beratur Di Kantin

  • Membantu orang tua atau orang buta untuk melintas jalan.
    Membantu Orang Buta Untuk Melintas Jalan.
  • Membuang sampah ke dalam tong sampah yang telah disediakan.
    Membuang Sampah Ke Dalam Tong Sampah.

  • Bahasa
  1. Bahasa dikira sebagai budi, jasa dan bakti sekiranya ditutur secara baik dan mengandungi nasihat yang baik, tunjuk ajar serta simpati kepada masyarakat. Bertutur dengan bersopan santun, menjaga perasaan orang lain serta tidak menyinggung perasaan orang lain.
  2. Bahasa yang berbudi bahasa seharusnya diamalkan dalam kehidupan seharian:
  3. Contohnya: 
  • Meminta maaf daripada orang lain apabila melakukan kesalahan.
    Meminta Maaf Apabila Membuat Kesalahan
  • Bersopan santun dan berlemah lembut apabila bertutur dengan orang lain.
    Bersopan Santun Apabila Berbual-bual
  • Tidak mengeluarkan perkataan atau ayat yang kasar semasa bercakap.
  • Selalu menjaga perasaan dan hati orang lain apabila bertutur dengan orang lain supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.


4 comments:

  1. salam sejahtera...sy pljr SEM 1 PPISMP BIMBINGAN DAN KAUNSELING di IPG KAMPUS PERLIS....sy nk mohon izin utk Copy paste boleh x??@send kan pd email sy di : imlihluzdamha_96@yahoo.com....PM FB : Ahmad Zulhilmi Zulhilmi.....@ no tel : 0192557987....klau private x pelah kak....

    ReplyDelete
  2. assalam dan salam sejahtera..mohon share sis..

    ReplyDelete