Sunday, August 4, 2013

Tutorial 2: Contoh Amalan Berbudi Bahasa Dan Contoh Amalan Tidak Berbudi Bahasa Yang Terdapat Dalam Video

Tutorial:
Tugasan anda pada kali ini ialah:

Setiap kumpulan dikehendaki menonton sebuah drama atau filem Melayu dan sebuah drama atau filem satu kaum lain di Malaysia dan buat  analisis tentang amalan budi bahasa yang terdapat dalam drama/filem tersebut. Amalan budi bahasa yang hendak dianalisis merangkumi semua aspek termasuk verbal dan bukan verbal.

                                                                                                            

Filem Melayu:

Tajuk Filem: Kasut Kelopak Jantung

Sinopsis:

  Video ini mengisahkan cerita tentang seorang guru, Cikgu Haron dengan seorang anak murid beliau yang miskin, Ahmad. Ahmad yang tidak mempunyai wang untuk membeli kasut sekolah sering berkaki ayam semasa di dalam kelas. Cikgu Haron yang tidak mengetahui keadaan Ahmad berasa sangat marah dengan Ahmad kerana menganggap dia tidak mendengar teguran beliau. Pada suatu hari, Cikgu Haron menyuruh Ahmad memakai kasut yang diperbuat daripada kelopak jantung yang dipetik. Perbuatan ini telah melukai hati Ahmad.
  Pada keesokkan harinya, Ahmad tidak pergi ke sekolah dan Cikgu Haron mendapat tahu bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah. Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, Cikgu Haron telah mengunjungi rumah Ahmad. Beliau mendapati bahawa Ahmad tidak mempunyai wang untuk membeli kasut sekolah. Beliau amat kesal akan perbuatan sendiri yang tidak menyiasat keadaan Ahmad terlebih dahulu sebelum mendenda Ahmad. Beliau pun membeli sepasang kasut sekolah untuk Ahmad supaya dia boleh meneruskan pelajarannya di sekolah. Selepas 30 tahun, Ahmad memiliki sebuah kedai kasut sendiri dan dia telah menghadiahkan sepasang kasut kepada Cikgu Haron bagi membalas budi Cikgu Haron.

Contoh Amalan Budi Bahasa:

1.Masa:00:40-01:18
**Ahmad mengenang budi kerana dia telah menghadiahkan sepasang kasut kepada Cikgu Haron sebagai tanda penghargaan terhadap  tindakan Cikgu Haron yang pernah membantunya untuk meneruskan pelajarannya di sekolah dengan menghadiahkan kasut sekolah kepadanya.
(Kita seharusnya pandai mengenang budi orang yang pernah membantu kita.)



2.Masa:01:50-02:00
**Para pelajar mengucapkan selamat pagi kepada Cikgu Haron yang masuk kelas serta mengucapkan terima kasih  apabila diminta duduk.
(Kita sebagai pelajar sepatutnya menghormati guru kita.)




3.Masa:07:50-08:18

**Cikgu Haron dan ibu Ahmad bersopan santun apabila menjalankan perbualan mereka. Cikgu Haron memberi salam kepada ibu Ahmad dan bertanya tentang kepergian Ahmad dengan sopan. Ibu Ahmad pula membalas salam Cikgu Haron dengan bersopan santun.
(Kita seharusnya bersopan santun dan berbudi bahasa apabila bercakap dengan orang lain.)







4.Masa:08:20-08:41
**Ahmad bersopan santun kerana dia memberitahu ibunya bahawa dia telah balik.Dia juga memberi salam kepada ibu dan Cikgu Haron dengan sopan.
(Kita mestilah menghormati orang yang lebih tua daripada kita seperti ibu bapa dan guru.)









5.Masa:09:40-09:50

**Cikgu Haron meminta maaf daripada Ahmad kerana beliau selalu memarahinya sebelum menyiasat sebab-sebab Ahmad selalu tidak memakai kasut sekolah.
(Kita seharusnya berani mengaku kesalahan dan meminta maaf daripada orang lain apabila kita telah melakukan kesalahan.)



6.Masa:09:50-10:00
**Ahmad berterima kasih kepada Cikgu Haron apabila dia menerima kasut sekolah baharu yang dihadiahi oleh Cikgu Haron.
(Kita mestilah mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah membantu kita.)



Contoh Amalan Tidak Berbudi Bahasa:

1.Masa:02:10-02:15/02:30-02:32/02:54-02:56/03:04-03:06

**Rakan sekelas Ahmad mentertawakannya apabila dia dimarahi oleh Cikgu Haron.
(Rakan sekelas Ahmad tidak sepatut ketawa dalam keadaan ini sebaliknya mereka seharusnya menghormati Ahmad.)






2.Masa:02:28-02:30
**Cikgu Haron menggunakan bahasa kasar semasa menegur Ahmad, iaitu “aku bagi kang”.
(Sebagai seorang guru, Cikgu Haron tidak sepatutnya menggunakan bahasa kasar dalam memberi teguran kepada Ahmad yang tidak memakai kasut sekolah di dalam kelas malah beliau perlu menegur Ahmad secara berbudi bahasa.)




3.Masa:04:30-06:00
**Cikgu Haron telah melakukan perbuatan yang menyinggung perasaan Ahmad iaitu menyuruh Ahmad memakai kasut yang diperbuat daripada kelopak jantung. Hal ini menunjukkan Cikgu Haron tidak pandai menjaga hati anak murid kerana perbuatan beliau telah menyebabkan Ahmad berasa amat sedih.
(Cikgu Haron sepatutnya menyiasat sebab-sebab Ahmad tidak memakai kasut sekolah terlebih dahulu sebelum beliau mendenda Ahmad untuk memakai kasut kelopak jantung supaya dapat menjaga hati Ahmad dan menghormatinya.)



4.Masa:06:00-06:31
**Rakan-rakan Ahmad mentertawakannya yang terpaksa memakai kasut kelopak jantung. Perbuatan rakan-rakan ini telah menyebabkan Ahmad berasa rendah diri dan sedih.
(Rakan-rakan Ahmad tidak sepatut mentertawakannya apabila dia didenda untuk menjaga maruah Ahmad.)



Filem India:

Tajuk Filem:Guru

Video:Guru

Sinopsis:


  Video Tamil ini mengisahkan cerita tentang seorang guru yang telah bersara, Encik Shenbaga Perumal dengan seorang anak murid lelaki beliau yang suka bermain bola kriket. Pada suatu hari, budak itu sedang bermain bola kriket dan malangnya bola kriket itu terlepas masuk ke dalam rumah Encik Shenbaga Perumal. Bola itu terkena cenderamata yang sangat istimewa bagi Encik Shenbaga. Cenderamata tersebut jatuh ke atas lantai dan terpecah. Beliau berasa sangat sedih kerana cenderamata tersebut merupakan hadiah yang dianugerahkan oleh pihak sekolah sebagai tanda penghargaan terhadap beliau yang mengajar di sekolah selama 30 tahun.
  Beliau pun keluar dari rumah untuk mengetahui siapa pemilik bola kriket tersebut. Beliau mendapat tahu bahawa budak yang menunggu di depan rumah beliau merupakan orang yang memecahkan cenderamata. Encik Shenbaga Perumal juga  mengetahui bahawa budak tersebut suka bermain kriket dan tidah pernah lulus dalam mata pelajaran Matematik sebelum ini melalui pemberitahuan ibunya. Beliau turut sudi membantu budak tersebut bagi mengatasi kelemahannya dalam mata pelajaran Matematik. Beliau mendapat idea untuk menggunakan bola kriket sebagai bahan pengajaran supaya budak lelaki tersebut lebih memahami secara mendalam dengan apa yang telah diajar oleh beliau. Akhirnya, Encik Shenbaga Perumal dan budak lelaki tersebut dapat memahami antara satu sama lain secara mendalam.



Contoh Amalan Budi Bahasa:

1.Masa:00:11-00:20/01:05-01:32

**Pihak sekolah  mengenang jasa Encik Shenbaga Perumal dengan menganugerahkan sebuah cenderamata sebagai tanda penghargaan terhadap beliau yang mengajar para pelajar di sekolah selama 30 tahun.
(Kita seharusnya pandai mengenang jasa guru yang mengajar kita.)



2.Masa:02:30-02:37
**Ibu budak lelaki bersopan santun apabila menjalankan perbualan dengan Encik Shenbaga Perumal. Ibu budak lelaki meminta pertolongan daripada Encik Shenbaga Perumal untuk mengajar anaknya mata pelajaran Matematik.
(Kita mestilah bersopan santun apabila bertutur dengan orang lain terutamanya apabila kita hendak meminta pertolongan daripada orang lain.)





3.Masa:02:38-02:40

**Encik Shenbaga Perumal berbaik hati kerana beliau bersetuju dengan serta-merta apabila ibu budak lelaki tersebut meminta pertolongan daripada beliau.
(Kita sepatutnya menolong orang lain yang memerlukan pertolongan kita secara ikhlas dan sukarela.)





4.Masa:03:45-04:15

**Encik Shenbaga Perumal bersikap sabar kerana walaupun beliau tahu bahawa budak lelaki itu bermain bola kriket dan tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, beliau masih tidak memarahinya. Malah beliau mencari jalan untuk menarik perhatian budak lelaki itu di dalam kelas.
(Kita perlulah bersikap sabar dan toleransi dengan perbuatan orang lain yang tidak menyenangkan kita.)




5.Masa:04:16-04:22
**Budak lelaki tersebut bersopan santun apabila menanya Encik Shenbaga Perumal tentang soalan mengenai mata pelajaran Matematik.
(Kita sepatutnya menanyakan soalan dengan bersopan santun dan berlemah lembut untuk menghormati orang lain.)





6.Masa:04:34-04:58

**Encik Shenbaga Perumal beramah mesra dengan budak lelaki tersebut semasa beliau menggunakan bola kriket sebagai bahan pengajaran bagi menerangkan salah satu topik daripada mata pelajaran Matematik.
(Kita sepatutnya bersifat ramah mesra apabila bergaul dengan orang lain.)






7.Masa:05:02-05:04

**Budak lelaki tersebut bersopan santun apabila menanya Encik Shenbaga Perumal tentang sama ada dia akan lulus dalam ujian Matematik atau tidak.
(Kita seharuslah bersopan santun apabila menanyakan sesuatu perkara terutamanya apabila menanya guru kita dan ibu bapa kita tentang sesuatu perkara.)





Contoh Amalan Tidak Berbudi Bahasa:

1.Masa:00:21-00:50

**Encik Shenbaga Perumal tidak membalas teguran isteri beliau dan beliau hanya mengangguk kepala sahaja apabila isteri beliau bertanyakan soalan.
(Encik Shenbaga Perumal sepatutnya membalas teguran isteri beliau serta menjawab soalan isteri beliau untuk menghormati isteri beliau.)




2.Masa:01:56-02:11

**Budak lelaki tersebut tidak menghormati Encik Shenbaga Perumal kerana dia meminta balik bola kriketnya daripada Encik Shenbaga Perumal dengan biadap.
(Budak lelaki seharusnya bersopan santun apabila berhadapan dengan orang yang lebih tua daripadanya.)






3.Masa:03:20-03:37

**Budak lelaki tersebut tidak bersopan kerana semasa Encik Shenbaga Perumal mengajar mata pelajaran Matematik di dalam kelas, budak tersebut tidak menumpukan perhatian.
(Budak lelaki  tersebut sepatutnya menumpukan perhatian di dalam kelas apabila Encik Shenbaga Perumal sedang mengajar untuk menghormati gurunya.)








No comments:

Post a Comment