Saturday, August 3, 2013

Kuliah 2: Ciri-ciri Budi Bahasa

(Nota + Nota Tambahan)


Konsep Budi Bahasa
  • Budi bahasa merujuk kepada tutur kata dan kelakuan yang diaplikasikan oleh seseorang semasa berkomunikasi atau berinteraksi dengan orang lain secara:


  1. Tertib (Peraturan tingkah laku atau disiplin seseorang)
  2. Bersopan Santun (Budi bahasa yang baik)
  3. Berhemah Tinggi (Hemah bermaksud budi pekerti. Berhemah tinggi bermakna budi pekerti yang tinggi dan luhur.)

  • Sebagai contohnya:

  1. Menghormati orang yang lebih tua.
    Menghormati Orang Tua
  2. Memberi salam sebagai tanda penghormatan.
    Memberi Salam Kepada Ibu Bapa
  3. Membantu orang yang memerlukan pertolongan secara ikhlas.
    Menderma Wang

    Menderma Darah
  4. Mengucapkan terima kasih kepada orang yang membantu kita.
    Mengucapkan Terima Kasih
  5. Meminta maaf apabila bersalah.
    Meminta Maaf



  • Menurut Amat Juhari Moin (1989), apabila seseorang itu hendak bercakap atau bertegur sapa dengan seseorang yang lain, bahasa yang hendak digunakan mestilah difikirkan dan diteliti dengan halus terlebih dahulu.
  • Maksudnya adalah kita perlulah berfikir secara rasional dan berhati-hati sebelum kita mengeluarkan perkataan atau ayat yang kita hendak cakap supaya kita tidak tersalah cakap.
  • Kesimpulannya, budi bahasa merujuk kepada:


  1. Tutur Kata (Percakapan yang bersopan dan lemah lembut.)
  2. Kelakuan (Tingkah laku yang baik dan hemah tinggi)
  3. Sopan Santun (Budi pekerti yang luhur, mulia dan baik.)
  4. Tatatertib (Peraturan yang perlu diikuti oleh seseorang dalam kelakuan serta tingkah laku.)
  5. Akal ( Boleh berfikir dengan rasional dan baik sebelum bertutur.)
  6. Kebijaksanaan (Pandai dalam memilih perkataan atau ayat untuk bertutur.)
  7. Perbuatan Kebajikan (Memberi bantuan kepada orang yang berada dalam kesusahan.)

  • Semua aspek ini boleh bergabung atau bercantum dalam bentuk kata-kata yang mempunyai nilai akhlak yang mulia supaya kita berbudi bahasa.
  • Setiap gerak laku (tingkah laku), tutur kata (percakapan), tata hidup (sistem kehidupan), pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa.
  • Justeru, semua nilai murni yang diterima dan diamalkan oleh masyarakat dan negara merupakan nilai sejagat yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat istiadat dan kebudayaan sesuatu masyarakat yang bertamadun.

Ciri-Ciri Budi Bahasa
  • Menurut Mustafa Hj Daud (1995), seseorang yang berbudi bahasa mempunyai ciri-ciri berikut:




  • Ikhlas

  1. Dalam konteks Islam, ikhlas bermaksud melaksanakan taat semata-mata kerana Allah, bukan dimaksudkan memperoleh kebesaran dari manusia, ataupun penghormatan. Dan bukan pula untuk memperolehi sesuatu keuntungan dunia atau menolak sesuatu bencana keduniaan.
  2. Dalam masyarakat Cina, keikhlasan sudah menjadi amalan yang harus diamalkan sejak zaman dahulu lagi. Menurut seorang ahli falsafah negara China sebelum Masihi, iaitu Xunzi, keikhlasan terhadap setiap perkara serta manusia merupakan perwatakan yang paling diperlukan bagi seseorang itu untuk menjadi seorang yang mulia. (君子养心莫善于诚。)
    Xunzi

  • Jujur
  1. Jujur bermaksud keselarasan antara perkara yang ditutur dengan kenyataan yang sedia ada. Seseorang yang jujur tidak akan bercakap bohong. Dia hanya akan mengeluarkan ayat seperti yang diperlihatkan oleh kenyataan dan dia tidak akan mereka cerita dengan sebarangan.
  2. Selain dari segi pertuturan, jujur juga boleh diperlihatkan dari segi kelakuan. Seorang yang jujur akan mempunyai sikap amanah dan tidak akan melakukan perbuatan seperti mencuri barang, menipu orang dan perbuatan lain yang akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadapnya.
  • Benar
  1. Benar bermaksud sifat yang tidak berpura-pura dan tidak berbohong sama ada dalam percakapan seharian ataupun tingkah laku. Benar merangkumi sifat amanah, jujur dan ikhlas yang boleh menimbulkan kepercayaan orang lain.
  2. Sifat benar atau juga dikenali sebagai Siddiq merupakan salah satu sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW. Sifat mulia ini dapat diperlihatkan semasa baginda menyampaikan ajaran agama Islam dengan jujur dan ikhlas.
  • Merendah Diri
  1. Seseorang yang mempunyai sifat merendah diri akan tidak sombong, angkuh, serta membangga-banggakan diri.
  2. Dalam Surah Luqman (ayat 13-19), Luqman Al-Hakim telah memberi nasihat kepada anak-anaknya supaya menjadi insan yang merendah diri.
  3. "Dan janganlah engkau memalingkan wajah engkau dari manusia (kerana takbur) dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan lagak yang angkuh. Sesungguhnya Allah tidak sukakan sekalian orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."
Sentiasa Merendah Diri

  • Pemurah
  1. Pemurah bermaksud orang yang tidak kedekut dan lokek. Orang yang memiliki sifat ini suka memberi, menyumbangkan atau mendermakan apa sahaja yang mampu diberi olehnya dengan hati yang ikhlas.
  • Suka Menolong
  1. Suka menolong merupakan suatu sifat yang mulia. Seseorang itu akan selalu menolong serta membantu orang yang berada dalam kesusahan atau memerlukan pertolongan tanpa mengira kaum, kepercayaan, agama dan sebagainya.
  2. Seseorang itu akan berasa gembira selepas membantu orang terutamanya apabila masalah orang yang mendapat bantuan seseorang itu dapat diatasi.
  • Berjasa Dan Berbakti
  1. Seseorang yang berjasa atau berbakti adalah orang yang memberi sumbangan kepada orang lain dan orang lain dapat memperolehi manfaat daripada orang tersebut.
  2. Orang yang berjasa dan berbakti ini biasanya mempunyai sifat dedikasi, iaitu sanggup memberi sumbangan dan berkorban supaya orang lain dapat memperoleh kebaikan.
  • Ciri-ciri lain yang perlu dimiliki oleh orang yang berbudi bahasa ialah:

  • Pemaaf
  1. Pemaaf mampu memaafkan orang yang melakukan kesalahan dengan cepat dan senang. Mereka tidak akan menyimpan dendam dan rasa benci dalam hati mereka walaupun terdapat orang yang menyinggung perasaan mereka.
  • Bertimbang Rasa
  1. Orang yang bertimbang rasa sering memikirkan kepentingan orang lain apabila melakukan sebarang tindakan.
  2. Mereka berfikir dari sudut orang lain supaya menjaga hati orang dan tidak menyinggung perasaan orang lain.
  3. Mereka juga sanggup belajar untuk menyesuaikan diri dengan orang lain dalam segala situasi serta persekitaran.
  • Bertoleransi
  1. Bertoleransi bermaksud bersikap sabar dan boleh mengawal diri dalam apa jua keadaan untuk mengelakkan perselisihan faham serta pertelingkahan.
  2. Orang yang bertoleransi menerima pendapat, fikiran, kepercayaan, adat resam, budaya serta agama orang lain dengan hati terbuka.
  • Ramah mesra
  1. Orang yang ramah mesra senang didampingi dan didekati oleh orang lain.
  2. Ciri-ciri orang yang ramah mesra adalah selalu senyum dengan orang lain secara bersopan santun, pandai mengawal emosi diri serta tidak cepat marah.
  • Tidak Mementingkan Diri Sendiri
  1. Orang yang memiliki sifat ini selalu menjaga kepentingan orang lain selain menjaga kepentingan diri sendiri.
  2. Mereka sering berfikir dari sudut orang lain dalam segala keadaan dan mereka rela untuk menolong orang yang memerlukan bantuan.
  • Kasih Sayang
  1. Kasih sayang merupakan perasaan yang peka dan mendalam terhadap seseorang dan perasaan ini lahir daripada hati yang ikhlas.
  2. Orang yang penyayang selalu berprihatin, mencintai, menyayangi serta mengambil berat orang lain.
  • Bekerjasama
  1. Orang yang mempunyai semangat bekerjasama suka melakukan sesuatu tindakan, pekerjaan, keputusan atau perbuatan lain secara bersama-sama.
  2. Mereka akan saling menolong dan membantu dalam melakukan sesuatu aktiviti.
  3. Mereka suka menyertai aktiviti organisasi atau permuafakatan secara sukarela bagi kepentingan serta kebaikan orang ramai.
  • Bersifat Sabar
  1. Sifat sabar dalam konteks Islam merupakan salah satu daripada sifat mahmudah yang wajib dimiliki oleh setiap umat Islam. Hal ini kerana sifat sabar adalah perkara asas dalam akhlak Agama Islam serta ibu kepada segala akhlak di dunia.
  2. Nabi Muhammad SAW pernah memberi wasiat kepada Saidina Ali bin Abu Talib yang berkaitan dengan sifat kesabaran.
  3. "Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkan mengenai kekuasaan serta kesabaran Allah ke atas hamba-Nya. Pertahankan diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran."
  4. Daripada Sabda Nabi Muhammad SAW, kita boleh mendapati bahawa kesabaran merupakan sifat seseorang yang mampu mengawal emosi sendiri serta mengawal kemarahan dalam apa-apa keadaan atau situasi. 
  • Memiliki Kesantunan Yang Tinggi Semasa Berinteraksi
  1. Seseorang yang mempunyai kesantunan yang tinggi dalam pergaulan seharian akan selalu bersifat sopan santun, lemah-lembut, menghormati orang lain, ramah mesra, pandai menjaga mimik muka sendiri dan sebagainya supaya boleh mengelakkan sebarang perselisihan faham dan pertelingkahan.
  • Bersopan Santun
  1. Bersopan santun bermaksud kelakuan, tingkah laku, budi bahasa yang baik serta luhur. 
  2. Seseorang yang bersopan santun akan sentiasa menjaga tingkah laku, perbuatan, pertuturan atau perbualannya dalam kehidupan seharian supaya boleh menjaga maruah diri selain mengelakkan perselisihan faham dengan orang lain.
  • Ciri-ciri murni budi bahasa berkait rapat dengan hati seperti kata Raja Ali Haji:


Hati itu kerajaan di dalam tubuh,

jikalau zalim segala anggota pun roboh.

-Gurindam Fasal Yang Keempat
  • Budi bahasa bukan sekadar pertuturan sahaja, malah ia juga melibatkan tingkah laku. Za’ba (1950) memberikan beberapa contoh tingkah laku yang baik:
  1. Bersalam.

    Bersalaman
  2. Menunjukkan muka yang manis.
    Menunjukkan Muka Yang Manis
  3. Cara duduk yang tertib.
    Duduk Dengan Tertib
  4. Melayan tetamu dengan menghidangkan juadah.
    Menghidangkan Juadah Kepada Tetamu
  5. Membongkokkan badan ketika melintas di hadapan orang lain.
  6. Menggunakan ibu jari apabila menunjuk sesuatu.
    Isyarat Tangan Yang Betul Untuk Menunjukkan Barang 
  • Budi Bahasa Dalam Masyarakat Malaysia:
  1. Kata Sapaan (Kata yang digunakan oleh sesuatu masyarakat atau bangsa untuk menegur atau menyapa seseorang, baik dalam konteks rasmi ataupun tidak rasmi.)
  2. Kata Gelaran (Kata awalan atau akhiran yang ditambah kepada nama seseorang sama ada bagi menandakan darjah kebesaran atau kedudukan seseorang secara rasmi.)
  3. Panggilan (Satu perkataan yang digunakan untuk menggelar seseorang  dan menggantikan nama orang tersebut.)
  4. Memberi Salam
  5. Bersalam 
  6. Bertanya Khabar
  7. Melayan Tetamu. (Contohnya, melayan tetamu untuk menjamu makan.)
  8. Menghormati Orang Tua
  • Budi Bahasa Dalam Masyarakat Malaysia Yang Berbilang Kaum:

  • Masyarakat Melayu:
  1. Berpegang kuat pada adat resam dan agama.
  2. Contoh :
  • Tidak manis/ tidak sopan anak dara duduk bersila.
    Duduk Bersila
  • Memberi salam apabila bersua.
  • Tidak menyampuk semasa orang tua bercakap.
  • Menggunakan tangan kanan semasa makan dan tidak boleh menggunakan tangan kiri semasa makan.
    Menggunakan Tangan Kanan Untuk Makan
  • Tidak boleh mengangkat pinggan semasa makan.
  • Pakaian yang menutup aurat dan bersopan apabila bersembahyang.
    Berpakaian Sopan Apabila Bersembahyang
  • Memberi zakat atau sedekah kepada orang yang miskin.
    Memberi Sedekah
  • Memberi salam kepada orang lain dan selalu membalas salam kepada orang yang memberi salam.
    Memberi Salam
  • Lelaki dan perempuan yang belum berkahwin tidak dibenarkan berdamping-dampingan.
  • Memakai pakaian tradisional sepeti baju kurung apabila menjalankan sesuatu upacara atau jamuan penting.
    Memakai Pakaian Tradisional

  • Masyarakat Cina:
  1. Contoh:
  • Tunduk ketika memberi salam.
    Tunduk Apabila Bertemu
  • Orang tua makan dahulu dan diikuti dengan orang muda.
  • Menunggu semua ahli keluarga ketika makan.
  • Bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kita dengan lemah lembut dan bersopan santun.
  • Menggelar saudara mara dengan menggunakan gelaran yang bersesuaian dan bersopan seperti “pak cik”, “mak cik”, “kakak”, “abang” dan sebagainya.
  • Tidak boleh memakai kasut masuk ke dalam kuil.
    Tanggalkan Kasut Di Luar Kuil
  • Tidak boleh memakai topi semasa bersembahyang.
  • Tidak boleh menyanyi dan bercakap semasa makan.
  • Tidak boleh menuding dengan menggunakan jari telunjuk kepada sesuatu semasa bercakap terutamanya dengan pihak yang lebih tua atau yang dihormati. Ibu jari sepatutnya digunakan untuk menunjuk sesuatu.

  • Masyarakat India:
  1. Contoh:
  • Duduk ketika makan.
  • Tidak membazirkan makanan.
  • Senyap semasa bersembahyang.
  • Mengucap “vanakkam” sebagai tanda memberi salam.
  • Duduk bersila ketika makan.
  • Tidak bercakap ketika menguah makanan.
  • Memakai pakaian tradisional apabila pergi ke kuil.
  • Mengucap selamat malam kepada ahli keluarga sebelum tidur.
  • Sentiasa bersenyum apabila bersua dengan orang lain.
  • Ibu bapa memberi restu kepada anak-anak mereka setiap hari.
  • Tidak boleh berbual-bual dengan orang lain semasa berada di upacara kematian.

No comments:

Post a Comment