Tuesday, August 13, 2013

Kuliah 11 : Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia

Isu Teknologi Maklumat Dan Komunikasi

    Pada zaman moden ini, para remaja hidup dalam dunia yang penuh dengan kemudahan teknologi dan maklumat seperti komputer, televisyen, telefon bimbit, dan sebagainya. Kemajuan teknologi dan maklumat yang pesat ini telah membawa banyak manfaat kepada anak muda kita. Contohnya, mereka boleh mengetahui isu-isu semasa di seluruh dunia dengan mudah dan pantas. Walau bagaimanapun, kemajuan ini juga telah membawa pelbagai keburukan kepada anak remaja kita. Salah satu daripadanya adalah budaya barat yang terdedah kepada anak muda melalui teknologi yang canggih ini.
    Budaya barat banyak ditemui di laman web dan laman sosial seperti Facebook, Twitter, Google + dan sebagainya. Selain itu, budaya ini juga boleh diperoleh melalui tontonan wayang negara barat. Sebagai akibatnya, remaja terikut-ikut trend budaya Barat. Mereka akan meniru cara pergaulan, berpakaian, berkomunikasi atau cara berhibur yang ditonton di televisyen atau dilayari melalui internet.
    Kita sedia maklum bahawa budaya barat merupakan budaya kuning yang bertentangan dengan budaya timur. Budaya barat ini mempunyai banyak tingkah laku yang tidak senonoh seperti pergaulan bebas, homoseksual, black mental, merokok, cara pemakaian atau fesyen yang tidak bersesuaian dengan budaya timur dan sebagainya. Selain itu, unsur-unsur keganasan seperti buli, pembunuhan, pergaduhan  juga banyak terdapat dalam wayang serta laman web atau laman sosial. Perkara ini secara tidak langsung akan mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran remaja. Sebagai akibatnya, golongan muda yang tidak matang ini akan terikut-ikut aksi-aksi serta tingkah laku yang dilihat oleh mereka memandangkan media massa amat memberi pengaruh yang besar kepada para remaja.
    Bagi remaja yang terdedah kepada budaya pergaulan bebas atau homoseksual, mereka akan mengikut tingkah laku orang Barat dan mereka akan melakukan perbuatan ini dengan tidak mempunyai rasa malu. Hal ini kerana mereka telah dipengaruhi oleh budaya barat dan mereka menganggap bahawa perbuatan ini merupakan tingkah laku yang normal dan biasa sahaja.
    Bagi mereka yang selalu menonton filem aksi atau bermain permainan komputer yang penuh dengan keganasan, perangai mereka akan menjadi panas baran dan selalu menggunakan keganasan untuk menyelesaikan masalah. Mereka akan meniru aksi-aksi yang ditonton seperti menumbuk, memukul, menendang dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan mereka terlibat dalam kes buli dan seterusnya mereka berkemungkinan besar akan terlibat dalam gengsterisme.
    Selain itu, mereka yang dipengaruhi oleh cara pemakaian atau fesyen masyarakat barat, mereka akan terikut-ikut trendnya. Gadis-gadis yang sepatutnya memakai pakaian yang sopan akan mengikut cara pemakaian orang Barat. Mereka sanggup memakai pakaian yang menjolokkan mata untuk  menunjukkan tubuh badan mereka. Remaja juga terpengaruh dengan budaya seperi "punk", "gothik" dan budaya tidak sopan yang lain. Mereka ini telah kehilangan rasa malu dan sifat kesantunan  telah hapus dalam jiwa mereka. 
     Di samping itu, kebanyakan anak muda zaman sekarang meminati muzik ‘Black Metal’ dan meniru gaya pemuzik itu. Ada yang menjadikan pemain muzik, penyanyi atau pelakon itu sebagai idola mereka hingga meniru fesyen rambut dan gaya berpakaian yang menjolok mata. Malahan, mereka sanggup bertindak liar hingga tidak lagi mengamalkan budaya hormat-menghormati atau bersopan-santun. Sebaliknya, mereka kerap mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan perlakuan lucah.
    Sebagai akibatnya, budaya timur yang penuh dengan sopan santun telah diketepikan dan ia digantikan oleh budaya barat yang tidak sopan santun ini. Hal ini bertentangan dengan nilai-nilai dan norma budaya yang bertunjangkan kepada agama masyarakat setempat. Sebagai akibatnya, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja berlaku memandangkan budaya luar tidak mementingkan budaya budi bahasa dan tingkah laku budaya barat tidak sopan.
        Dengan tiadanya sifat kesantunan dan kesopanan, remaja akan terlibat dalam pelbagai masalah gejala sosial yang dipengaruhi oleh budaya barat. Masalah sosial seperti penagihan dadah, pembunuhan, pergaulan bebas, buli, bunuh diri, gengsterisme dan sebagainya pasti akan dilibat oleh para remaja yang pemikiran mereka dipengaruhi oleh budaya barat. Hal ini kerana mereka sudah kehilangan rasa malu dan tidak akan berasa malu untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
         Di bawah merupakan sebuah sajak yang ditulis oleh Wan Nazihah Wan Abdullah. Dalam sajak ini, penulis telah menyatakan kepiluannya disebabkan oleh perubahan adat tradisi akibat kemasukan budaya barat.
Adat Sezaman
Peradaban zaman semakin berlalu
Meninggalkan kesan yang mendalam
Terlalu indah apabila dipandang
Terlalu mulia apabila diselidik
Santun si dara jadi idaman
Warak si teruna jadi ikatan
Si tua tersenyum mesra
Memandang teruna dara
Sama cantik sama padan
Berganding bersama
Di singgahsana…

Masa itu telah berubah
Zaman sudah berlalu
Santun sang dara
Dan warak sang teruna telah lenyap
Si tua berduka lara
Memandang teruna dara
Berganding tanpa silu
Tanpa hormat
Tanpa batasan

Adat sezaman ditinggal jauh
Adat agama dipandang remeh
Adat kuning jadi ikutan.

Annyss Sophillea, 1997
Dewan Bahasa dan Pustaka

    Dalam sajak ini, penulis telah menggambarkan pemuda pemudi pada zaman dahulu bersifat sopan santun serta berpegang kepada ajaran agama. Tetapi malangnya, sifat kesantunan yang dimiliki oleh para remaja ini telah mulai lenyap ditelan oleh arus globalisasi. Budaya kuning iaitu budaya barat telah mempengaruhi para remaja dan hal ini menyebabkan budaya ini menggantikan budaya timur yang penuh dengan kesantunan itu.
   Dalam hal ini, setiap remaja perlulah mempunyai kesedaran bahawa budaya barat ini tidak seharusnya diikuti oleh mereka memandangkan budaya ini tidak mempunyai kesantunan serta budi bahasa. Mereka haruslah mempunyai iman yang kukuh serta harga diri yang tinggi agar tidak mudah terpengaruh oleh budaya ini.
 Selain itu, setiap remaja mestilah mengamalkan adab berlandaskan Islam, bersikap lemah lembut dan berbudi bahasa. Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Taala itu lemah lembut dan suka kepada lemah lembut. Dan Ia memberi hasil kerana lemah lembut itu apa yang tidak Ia berikan atas tindakan yang kasar atau tindakan lainnya”. Kelembutan dalam tindakan yang dimaksudkan adalah satu perkara yang sangat baik dan patut dilaksanakan, perkataan yang dituturkan dengan lemah lembut itu amat berkesan di lubuk hati.
  Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membendung masalah ini. Ibu bapa wajar memainkan peranan penting untuk memantau anak masing-masing agar tidak terpengaruh dengan trend yang kurang baik. Ibu bapa haruslah memantau anak-anak mereka agar tidak menonton filem yang mempunyai unsur budaya barat, melayari internet yang mempunyai unsur budaya barat atau bermain permainan komputer yang mempunyai budaya ini. Pemantauan ibu bapa dapat membantu anak-anak untuk memilih filem, permainan komputer atau laman web yang sesuai untuk mereka. Dengan cara demikian, mereka dapat mengelak daripada budaya barat ini. 
   Selain itu, ibu bapa perlulah memberi didikan agama dan didikan moral yang sempurna sejak anak masih kecil lagi. Bak patah pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Ajaran agama dan didikan moral dapat mengajar anak-anak tentang sifat-sifat kesantunan yang perlu ada dalam jiwa remaja. Hal ini dapat mengelakkan remaja daripada dipengaruhi oleh budaya barat yang tidak santun ini memandangkan sift kesantunan telah tertanam dalam jiw mereka. 
    Sebagai kesimpulannya, tanpa usaha membendung pengaruh negatif itu, dikhuatiri suatu hari nanti masyarakat negara ini akan menganggap nilai-nilai yang negatif itu sebagai nilai-nilai yang baik untuk dijadikan contoh dan seterusnya diamalkan. Oleh yang demikian, semua pihak haruslah berganding bahu untuk membendung masalah dalam kalangan remaja yang ditimbulkan oleh teknologi dan maklumat yang canggih ini. 




Isu Pengaruh Politik

  • Isu pengaruh politik merupakan salah satu isu yang melibatkan kesantunan masyarakat Malaysia.
  • Di Malaysia, ahli Dewan Rakyat adalah dipilih oleh rakyat Malaysia melalui pilihan raya daripada wakil-wakil rakyat. Mereka memegang jawatan menjalankan pilihan raya selama 5 tahun dan selepas 5 tahun, pilihan raya yang baru diadakan semula.
  • Pilihan raya umum Malaysia diadakan secara berkala bagi melantik wakil-wakil rakyat ini. Dan sekiranya berlaku kekosongan di antara tempoh pilihan raya umum, pilihan raya kecil boleh diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut.
  • Dalam proses pilihan raya di Malaysia, kempen-kempen akan dijalankan oleh ahli-ahli politik ini sebelum hari mengundi. 
  • Kempen
    • Kempen poster
      • Poster-poster akan dikeluarkan oleh parti-parti politik. Dalam poster-poster ini, parti-parti politik akan mengeluarkan janji-janji mereka bahawa mereka akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negara. Mereka berjanji mereka akan menunaikan janji mereka selepas mereka menang dalam pilihan raya. Walau bagaimanapun, mereka tidak menunaikan janji yang diberikan kepada rakyat selepas mereka menang dalam pilihan raya. Perbuatan ini sebenarnya tidak santun kerana mereka membohong rakyat. Mereka sepatutnya menunaikan janji mereka untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
      • Selain itu, dalam poster-poster parti politik ini, terdapat juga parti politik yang mengutuk dan mengkritik parti-parti politik yang lain. Mereka memburukkan parti-parti politik yang lain dengan sebarangan tanpa apa-apa bukti. Perbuatan ini adalah untuk mendapat sokongan rakyat serta memburukkan imej parti politik yang lain dalam hati rakyat. Sebenarnya, mereka haruslah bersikap sopan santun supaya tidak memburuk-burukkan orang lain dengan sebarangan.
    • Ceramah-ceramah pilihan raya / Kempen-Kempen pilihan raya
      • Dalam ceramah atau kempen pilihan raya, terdapat ahli politik yang tidak bersantun gemar memburuk-burukkan ahli politik yang lain dengan sebarangan. Mereka berbuat sedemikian untuk mempengaruhi rakyat supaya membenci ahli politik yang lain dan mendapat sokongan daripada rakyat. Hakikatnya, mereka tidak boleh memburuk-burukkan ahli politik yang lain dengan sebarangan. Mereka haruslah mempunyai kesantunan berbahasa.
      • Selain itu, mereka juga mengeluarkan janji untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, mereka tidak menunaikan janji mereka selepas mereka menang dalam pilihan raya malah terdapat ahli politik yang tidak menjaga kebajikan rakyat selepas menang dalam pilihan raya. Sebenarnya, mereka haruslah menepati janji mereka dengan penuh santun.

Monday, August 12, 2013

Kuliah 10 : Strategi Kesantunan Lisan

Strategi Kesantunan Lisan


  • Teori Kesantunan Brown dan Levinson (1978 : 1987) mengutarakan andaian bahawa setiap individu yang kompeten mempunyai air muka (face), dan menyedari bahawa individu yang lain juga mempunyai air muka.
  • Konsep air muka bermaksud imej diri dan penutur di tempat awam (public self image).
  • Kita perlu memahami air muka seseorang supaya interaksi berkesan.
  • Mengutamakan dua jenis air muka iaitu
    • air muka positif 
    • air muka negatif.
  • Strategi berinteraksi akan berbaza-beza mengikut jenis air muka pendengar.
  • Masyarakat Melayu menganggap amat memberatkan perlakuan yang menjaga air muka atau maruah pendengar.
  • Oleh itu , mereka akan cuba mengelak daripada berhadapan dengan konflik semasa berinteraksi secara lisan. 
  • Justeru , orang Melayu menggunakan pelbagai strategi semasa berinteraksi.
  • Strategi kesantunan yang digunakan :
    1. Strategi ikhlas
    2. Strategi merendah diri
    3. Strategi maaf
    4. Strategi penyelesaian
    5. Strategi memberi peluang
    6. Strategi penghargaan dan pujian
    7. Strategi berterima kasih
    8. Strategi kiasan 
    9. Strategi berhemah dan lemah-lembut
    10. Strategi bersalam dan memperkenalkan diri
    11. Strategi kecindan 
    12. Strategi menyapa/ menegur
    13. Strategi ungkapan Rabani
  • Strategi ikhlas
    • Menegur secara tidak langsung sesuatu perbuatan yang tidak disukai.
    • Contoh: Aku harap hang tak marah, aku ikhlas kerana Allah SWT nak bagi tahu ni, tak elok lelaki dan perempuan duduk berdua-dua.
  • Strategi merendah diri
    • Menggunakan ungkapan-ugkapan membawa maksud penutur merendah diri dengan mengaku kelemahan dan kekurangan diri.
    • Contoh: Aku ni tak pandai sangat, itu sajalah yang aku dapat tolong.
  • Strategi maaf
    • Meminta dengan baik untuk bercakap atau berbuat sesuatu.
    • Contoh: Maaf ya! Boleh saya bercakap sikit.
  • Strategi penyelesaian
    • Mengambil keputusan memudahkan sesuatu urusan supaya penyelesaian cepat dicapai tanpa mendapat banyak bangkangan. 
    • Contoh: Saya rasa untuk menjimatkan masa, Kita setuju sajalah cadangan yang dibuat oleh Pak Mat tadi iaitu kita akan mengutip derma untuk membiayai program ini.
  • Strategi memberi peluang
    • Memberi peluang kepada yang lebih berumur atau berjawatan dalam masyarakat untuk bersuara.
    • Contoh: Kita dah banyak memberikan cadangan, apa kata kalau kita dengar pula pandangan orang lama dalam kampung ni iaitu Pak Ali untuk memberikan pendapat.
  • Strategi penghargaan dan pujian
    • Urusan yang menunjukkan seseorang itu dihargai kerana sesuatu tindakan yang disenangi.
    • Contoh: Kita ucapkan tahniah dan syabas kepada Pak Samad kerana telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.
  • Strategi berterima kasih
    • Penghargaan secara ucapan terima kasih terhadap seseorang yang telah membuat sesuatu kebaiankan atau pertolongan.
    • Contoh: Aku sangat berterima kasih kepada hang, Ali sebab telah membantu aku tadi.
  • Strategi kiasan
    • Ujaran yang diucapkan secara tidak langsung untuk menjaga air muka seseorang.
    • Contoh: Kalau kamu hendak melakukan sesuatu, kamu mesti bersungguh-sungguh supaya berjaya, jangan hangat-hangat tahi ayam.
  • Strategi berhemah dan lemah-lembut
    • Menggunakan ujuran yang halus dan tidak kasar untuk membuat teguran atau nesihat supaya pendengar tidak berkecil hati.
    • Contoh: Oleh sebab Mat telah melakukan kesalahan tu, tak pa lah, benda telah berlaku, nak buat macam mana. Tapi Pak Cik harap Mat insaf dan bertaubat dan tidak akan buat lagi pada masa akan datang.
  • Strategi kecindan
    • Menggunakan ujuran dalam bentuk jenaka untuk menimbulkan perasaan gembira.
    • Contoh: Assalamualaikum, saya Ahmad bin Hassan, saudara pula siapa nama?
  • Strategi menyapa/menegur
    • Ujaran yang dibuat apabila bertemu dengan seseorang untuk menunjukkan keramahan walaupun telah mengetahui apa yang dibuat oleh seseorang. 
    • Contoh: Ha! Jangan marah Pak Mat, nanti lekas tua...
  • Strategi ungkapan Rabani
    • Menggunakan ujaran seperti Bismillah , Alhamdulillah , doa untuk menunjukkan kekuasaan Allah.
    • Contoh: Pak Cik! Baca surat khabar ka? Boleh saya sembang sikit?
  • Strategi Ungkapan Rabani
    • Menggunakan ujaran seperti Bismillah, Alhamdulillah, doa untuk menunjukkan kekuasaan Allah.
    • Contoh: Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izinnya dapat kita berjumpa pada majlis ini.

Sunday, August 11, 2013

Kuliah 9 : Strategi Kesantunan Verbal Dan Non-Verbal

Strategi Verbal
(Nota Tambahan)



  • Kesantunan verbal bermaksud kesantunan yang diperlihatkan secara lisan atau bukan bertulis.
  • Bahasa halus digunakan dengan meluas dalam ungkapan bertatasusila. 
  • Bahasa halus ini digunakan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain semasa berkomunikasi.
  • Contoh:
    • Terima kasih, selamat datang, sila masuk, jemput duduk, tolong hulurkan bantuan, minta kerjasama 
  • Penggunaan bahasa halus juga melibatkan intonasi yang sesuai,iaitu ditandai nada pengucapan yang rendah ,lembut, dan sesuai,walaupun sewaktu menyindir,tidak akan menyinggung perasaan orang lain. 
  • Kesantunan dalam berbahasa juga dapat dilihat daripada penggunaan kata panggilan atau rujukan kehormat yang betul dan sesuai. 
  • Kesilapan dalam penggunaan kata panggilan atau rujukan kehormat boleh menyebabkan seseorang berasa tersinggung dan marah. 
  • Dalam Bahasa Melayu, penggunaan kata ganti nama diri orang berkait rapat dengan bentuk sapaan yang mengambil alih kata ganti nama untuk memberikan penghormatan atau kemuliaan kepada seseorang. 
  • Contohnya, sekiranya seseorang itu pensyarah yang berpangkat doktor falsafah, adalah menjadi kesilapan besar sekiranya kita memanggil beliau dengan panggilan encik.


Strategi Kesantunan Non-Verbal

  • Kesantunan bukan verbal merupakan bahasa komunikasi bukan lisan yang melibatkan isyarat tangan, air muka dan gerakan badan. 
  • Kesantunan bukan verbal mampu menggambarkan personaliti, tujuan dan status sosial seseorang individu. 
  • Komunikatif lisan yang disepadukan dengan bahasa tubuh akan lebih berkesan dan maksud yang disampaikan lebih jelas. 
  • Gerakan anggota badan kita mampu menyampaikan mesej yang akan difahami oleh orang lain. 
  • Contohnya, gerakan mata ke sana dan ke mari menunjukkan seseorang itu tidak berminat melihat dan mendengar sesuatu yang disampaikan kepadanya. 
  • Mata dan dahi berkerut menunjukkan seseorang itu berminat tetapi tidak percaya. 
  • Mata berkelip lebih laju daripada biasa menunjukkan seseorang tersebut sedang berdusta dan sekiranya seseorang itu tidak memandang mata seseorang yang berbual dengannya, ini menunjukkan bahawa dia sedang malu. 
  • Mimik muka mempunyai pelbagai maksud yang tersirat yang dapat diterjemahkan maknanya dalam komunikasi bukan lisan. 
  • Air muka boleh menggambarkan emosi, perasaan, harapan, menambat hati seseorang atau perasaan kurang senang. 
  • Jalinan komunikatif yang mesra bermula dengan air muka yang jernih.
  • Dalam interaksi keluarga dalam masyarakat Melayu, interaksi tidak selalu bergantung kepada pemilihan perkataan dan struktur ayat. 
  • Penekanan utama dalam konteks kesantunan berbahasa, dalam penggunaan bahasa yang sesuai dalam bahasa Melayu ialah cara perkataan atau frasa diucapkan dan sering kali disertai oleh gerak badan yang melibatkan air muka, isyarat tangan serta gaya dan kedudukan badan pihak yang bercakap. 
  • Anak-anak Melayu sentiasa diajar menggunakan tangan kanan untuk memegang makanan dan apabila memberi dan menerima sesuatu. 
  • Penggunaan tangan kiri hendaklah dielakkan. Memberi dan menerima sesuatu daripada seseorang dengan menggunakan tangan kiri ialah perbuatan yang tidak sopan dan tidak selari dengan ajaran Islam.
  • Jika seseorang itu terpaksa menuding kepada sesuatu semasa bercakap atau berinteraksi terutamanya dengan pihak yang lebih tua atau yang dihormati dengan tujuan untuk menunjukkan seseorang atau arah, jari telunjuk tidak boleh digunakan. 
  • Lebih sopan jika ibu jari kanan digunakan. Dalam masyarakat Melayu, menuding dengan jari telunjuk dalam situasi tertentu boleh dianggap sebagai perbuatan meninggikan diri, yakni dalam pengertian mengarah atau memerintah pihak yang mendengar. 
  • Apabila seseorang itu harus lalu di hadapan pihak yang lebih tua, yang lebih tinggi tarafnya atau pihak yang lebih dihormati seseorang itu hendaklah meminta izin terlebih dahulu dengan melafazkan ungkapan “minta lalu” atau “tumpang lalu”. 
  • Ucapan meminta izin ini boleh digantikan dengan perlakuan bukan verbal, antaranya menundukkan kepala dan membongkokkan badan sedikit ketika lalu sambil meluruskan tangan kanan ke bawah. 
  • Perbuatan ini dianggap sopan dalam masyarakat Melayu.

Saturday, August 10, 2013

Kuliah 8: Peraturan Berbahasa



Peraturan berbahasa
(Nota + Nota Tambahan)
  • Menurut Asmah Haji Omar (2002:8), santun bahasa ialah penggunaan bahasa berpandukan peraturan-peraturan yang tertentu.
  • Apabila seseorang penutur mematuhi peraturan tersebut, bermaksud seseorang itu mengamalkan santun bahasa.
  • Peraturan tersebut terdiri daripada tiga iaitu :
  1. Peraturan linguistik
  2. Peraturan sosiolinguistik
  3. Peraturan pragmatik
1. Peraturan linguistik
  • Peraturan linguistik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa.
  • Aspek utama yang mewakili bentuk dan binaan bahasa sesuatu bahasa ialah sebutan, intonasi dan tatabahasa.
  • Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih ketara dan ditekankan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan urusan dan majlis rasmi, berbanding dengan urusan tidak rasmi.
  • Bagi urusan tidak rasmi kadang-kadang pengaruh dialek bahasa akan digunakan oleh penutur.
  • Peraturan tatabahasa yang betul merupakan sebahagian daripada peraturan linguistik yang mesti dipatuhi terutama dalam majlis rasmi.
  • Contohnya, penggunaan tanda baca seperti tanda soal, koma, titik dan sebagainya mestilah dipatuhi dalam komunikasi bertulis seperti kata ganti diri yang tepat terhadap seseorang.
  • Begitu juga penggunaannya dalam komunikasi lisan seperti kata ganti diri yang tepat terhadap seseorang.
 
Tanda Baca

  • Intonasi percakapan hendaklah rendah apabila bercakap dengan ibu bapa atau orang yang lebih tua.
  • Intonasi yang tinggi tidak dianggap biadap jika berinteraksi dengan sahabat handai yang rapat.
  • Sebutan perkataan hendaklah jelas dan tepat serta halus supaya dapat menjelaskan mesej dengan baik serta santun.
  • Sebab pertama peraturan linguistik dipatuhi adalah untuk menjaga kesempurnaan perjalanan urusan atau majlis yang bergantung pada kejelasan mesej yang disampaikan.
  • Sebab kedua ialah untuk memastikan bahawa semua yang hadir atau terlibat dengan urusan atau majlis rasmi itu dapat mengurangkan jurang komunikasi disebabkan kelainan dialek atau keragaman bahasa yang digunakan oleh sesuatu pihak. 
2. Peraturan sosiolinguistik
  • Peraturan sosiolinguistik berkaitan dengan penggunaan bahasa yang menitikberatkan hubungan sosial antara pembicara dengan pendengar (dalam konteks komunikasi lisan) dan antara penulis dengan pembaca (dalam konteks komunikasi lisan).
  • Peraturan sosiolinguistik merupakan peraturan yang mengawal ketertiban seseorang ketika bertutur dengan seseorang yang lain.
  • Contohnya ialah penggunaan kata sapaan yang betul, sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat.
  • Sebagai contoh, dalam urusan dan majlis rasmi, perlu dipatuhi penggunaan kata sapaan rasmi yang betul.
  • Penggunaan gelaran (seperti Tun, Tan Sri, Dato', Dato' Seri dan lain-lain, panggilan hormat (seperti Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat, Yang Amat Bahagia, Yang Berbahagia, Yang Berhormat Mulia dan sebagainya) serta kata ganti nama diri (seperti tuan dan puan) amat penting diberi perhatian sebagai salah satu adab atau unsur kesantunan bahasa.
  • Dalam suasana tidak rasmi juga masih diperlukan penggunaan gelar dan kata ganti nama diri yang menepati kedudukan seseorang dan juga hubungannya dengan orang yang berbicara.
  • Sebagai contoh, orang yang bergelaran tetap perlu disapa dengan gelaran yang dimilikinya.
  • Demikian juga kata sapaan yang mewakili sistem kekeluargaan perlu digunakan dengan betul sebagai tanda hormat.
  • Seorang anak saudara yang seusia atau lebih tua daripada ayah saudara atau ibu saudaranya itu dengan panggilan pak cik atau mak cik atau dengan panggilan lain yang setara dengannya, misalnya pak ngah, pak su, mak andak dan sebagainya.
  • Maksudnya komunikasi yang santun mestilah diambil kira faktor jarak sosial.
  • Jarak sosial ialah satu pemisahan sosial yang benar-benar wujud di antara individu-individu, individu dengan kelompok atau kelompok dengan kelompok.
  • Sekiranya kita berbual dengan orang yang jarak sosialnya rapat dengan kita seperti rakan-rakan, maka kita menggunakan perkataan, sebutan dan intonasi yang berbeza sama sekali sekiranya kita berbual dengan ibu bapa atau orang-orang yang lebih tua daripada kita.
  • Begitu juga jika kita berinteraksi dengan orang yang mempunyai status yang lebih tinggi seperti sultan, menteri, pengarah dan sebagainya sudah pasti berbeza sebutan, pemilihan kata, sebutan bahasa yang digunakan.
  • Faktor-faktor yang menentukan jarak sosial ialah darjah keakraban, perbezaan status, usia, jantina, pendidikan, kelas, pekerjaan dan etnik.
 
Taraf Pendidikan



Jantina

  • Aspek sosiolinguistik seterusnya ialah cara memula dan mengakhiri percakapan juga mempengaruhi kesantunan berbahasa.
  • Bagi masyarakat Melayu, percakapan yang santun mestilah dimulai dengan assalamualaikum dan salam sejahtera atau selamat pagi/selamat petang dan memberikan kata-kata hormat kepada hadirin, orang-orang yang berpengaruh dan orang-orang tua.
  • Manakala mengakhiri percakapan dengan mengucapkan terima kasih dan diakhiri dengan wabillahhitaufik warahmatullahhiwabaratuh.
  • Selain itu, masyarakat Melayu juga mementingkan giliran percakapan.
  • Masyarakat Melayu akan mendahulukan orang-orang tua semasa dalam perbualan.
  • Orang-orang muda hendaklah bercakap selepas orang-orang tua selesai bercakap.
  • Sekiranya hendak menyampuk perbualan orang-orang tua mestilah memastikan orang tua telah habis bercakap dan memulakan bicara dengan berkata "maafkan saya, bolehkah saya memberikan pandapat".
  • Begitu juga seorang anak dianggap biadab sekiranya memintas atau menyampuk percakapan ibu bapanya yang sedang bercakap. Jika hendak bercakap pastikan ibu bapa telah selesai bercakap.
  • Konteks percakapan juga sangat penting dalam mempengaruhi kesantunan berbahasa.
  • Misalnya jika konteks percakapan bertujuan untuk meminta sesuatu, maka penggunaan kata seperti "tolong, ambilkan buku itu kepada saya".
  • Sekiranya bertujuan untuk memberikan nasihat hendaklah menggunakan bahasa yang memujuk dan halus serta tidak meninggikan nada suara.
  • Sekiranya dalam majlis rasmi hendaklah menjaga protokol dan etika semasa berkomunikasi.
  • Sekiranya majlis tidak rasmi, etika dan protokol majlis tidaklah begitu ketat dipatuhi.
  • Namun begitu, kesantunan berbahasa dari segi konteks percakapan bergantung kepada perkara-perkara berikut:
  1. Pertama, berbahasa santun itu tidak hanya berkaitan dengan perkataan, tetapi juga berkaitan dengan perbuatan. Perkataan yang tergolong santun, tetapi apabila diiringi dengan perbuatan dan cara pengungkapan yang tidak santun, maka perkataan itu dikatakan tidak santun. 
  2. Kedua, perkataan santun atau tidak santun itu bergantung pada keadaan. Suatu perkataan diucapkan dalam keadaan tertentu mungkin dipandang santun, tetapi jika diucapkan pada keadaan yang lain mungkin dianggap tidak santun.
  3. Ketiga, aspek santun atau tidak santun itu bergantung sepenuhnya pada tujuan percakapan. Sebagai contoh, suami benar-benar bermaksud santun memuji masakan isteri dengan mengatakan 'Masakan sayang sedap!, tidak dianggap santun oleh isterinya sekiranya diinterpretasikan sebagai sindiran, misalnya dalam konteks suami menyindir isterinya yang tidak pandai memasak. 
3. Peraturan pragmatik
  • Peraturan ini dilaksanakan untuk mencapai matlamat interaksi secara sopan dan berkesan.
  • Dalam kehidupan seharian, interaksi ini berlaku dengan pelbagai perasaan dan perasaan tersebut digambarkan secara cara percakapan.
  • Percakapan dengan menggunakan bahasa yang halus dan sopan menunjukkan sikap baik, tetapi percakapan menggunakan cara kasar menunjukkan perasaan marah dan tidak puas hati seseorang.
  • Peraturan pragmatik menekankan penggunaan bahasa yang perlu disesuaikan dengan tujuan komunikasi.
  • Peraturan ini berkaitan dengan penggunaan bahasa yang sopan dan berkesan.
  • Oleh itu, dalam perundingan, jual beli, ceramah, dialog dan sebagainya diperlukan penguasaan peraturan pragmatik supaya tujuan atau hajat kita tercapai dan pada waktu yang sama kesopanan bahasa terpelihara  dan pembicara tidak menyakiti perasaan orang lain.
  • Antara aspek yang perlu dipatuhi termasuklah pemilihan kata, ungkapan dan wacana yang sesuai dengan tujuan pembicara.
  • Terdapat pelbagai jenis wacana seperti wacana penceritaan, pemaparan, penghujahan, pembujukan.
  • Setiap wacana tersebut memerlukan pemilihan kata yang berbeza yang sesuai dengan tujuannya dan matlamatnya.
  • Misalnya wacana jenis penceritaan seperti cerpen dan novel memerlukan bahasa yang halus, pemilihan kata yang puitis, serta penggunaan ayat-ayat yang menarik supaya menarik minat pembaca.
  • Jika kita menggunakan wacana lisan jenis memujuk penggunaan kata-kata pujian banyak digunakan seperti sayang, cinta, terima kasih supaya dapat mempengaruhi orang yang dipujuk.

Friday, August 9, 2013

Kuliah 7: Kesantunan Lisan Dan Penulisan

Kesantunan Lisan
(Nota + Nota Tambahan)

  • Kesantunan berbahasa ini dapat dilihat dalam aktiviti lisan seperti perbualan, wawancara, ucapan, pengacaraan majlis, pengumuman dan arahan dalam perhimpunan, mesyuarat, protokol pertemuan dengan murid, rakan setugas, guru besar atau pengetua, pekerja, ibu bapa, tetamu, dan seumpamanya. 
  • Kesantunan dalam komunikasi lisan melibatkan :
    • Penggunaan bahasa yang sopan, beradab dan halus.
    • Penggunaan bahasa tubuh yang beradab dan bertatasusila.
  • Dalam komunikasi lisan penggunaan bahasa dan gerak balas tubuh badan dapat didengar dan dilihat serta-merta.
  • Ini bermakna ia dinilai dengan dilihat serta-merta, dan dapat menimbulkan kesan yang serta-merta juga.
  • Baik budi bahasa kita, baik pula budi bahasa orang yang dilawan bercakap.
  • Buruk budi bahasa kita, buruk pulalah kemungkinannya tindak balas yang kita terima.
  • Dari segi bahasa, aspek-aspek kesantunan yang perlu diambil perhatian ialah :
    • Ciri-ciri sebutan yang sempurna menunjukkan sikap yang sopan.
    • Suara dan intonasi yang sopan.
    • Pemilihan kata dan ayat yang sopan dan halus.
    • Penggunaan kata sapaan yang betul dan sesuai.
    • Penggunaan sistem panggilan yang betul.
    • Gaya bahasa yang sesuai.
    • Isi perbincangan yang tidak sensitif.
  • Dari segi bahasa tubuh badan, aspek-aspek kesantunan yang perlu diambil perhatian ialah :
    • Gaya percakapan yang sopan
    • Pandangan mata yang sesuai
    • Gerak laku yang bertatasusila
    • Mimik muka yang positif
    • Hanyunan tangan yang sesuai
    • Imej diri
  • Komunikasi secara lisan terdapat dalam bentuk :
    • Rasmi/formal - mesyuarat, syarahan, ucapan, pidato, forum
    • Tidak rasmi/tidak formal - perbualan telefon, perbualan di kedai kopi, perbualan di majlis kenduri
  • Komunikasi lisan secara formal dan tidak formal mempunyai peraturan yang berbeza dari segi penggunaan bahasa, kata panggilan, kata sapaan dan gerak laku.
  • Sebagai contoh untuk urusan jual beli di pasar atau di kedai makan masih perlu dijaga kesesuaian penggunaan kata sapaan dan budi bahasa.
  • Dalam keadaan itu lebih baik digunakan sahaja sapaan yang neutral seperti 'cik' atau 'saudari', 'encik' dan 'saudara'. 
  • Orang tua pula belum tentu sesuai disapa dengan panggilan 'pak cik' atau 'mak cik' kerana ia mungkin tidak gembira disapa dengan cara itu. 
  • Maka 'encik' dan 'puan' lebih wajar digunakan untuk menyapa orang berumur yang tidak kita kenal.
  • Kesantunan berbahasa atau bahasa yang bersantun banyak bergantung pada pemilihan kata sapaan atau panggilan hormat yang tepat.
  • Semasa seseorang individu berkomunikasi dengan seseorang individu yang lain, pemilihan kata yang digunakan ditentukan oleh beberapa faktor seperti hubungan peribadi antaranya dengan  orang yang dilawan bercakap serta statusnya.
  • Dalam komunikasi seharian, seseorang itu akan menggunakan perbendaharaan kata tertentu dan berbeza-beza semasa berkomunikasi dengan orang lain. 
  • Penggunaan perbendaharaan kata yang salah, sama ada disengajakan ataupun tidak, boleh mengakibatkan terjadinya salah faham, pertengkaran ataupun menjatuhkan air muka kawan yang dilawan bercakap.
  • Masyarakat menggunakan perbendaharaan kata serta ungkapan yang dikatakan bahasa sapaan dengan betul dan sesuai mengikut konteks semasa berkomunikasi. 
  • Bahasa sapaan itu pula berkait rapat dengan kata ganti nama diri. 
  • Penggunaannya juga mesti sesuai dengan struktur masyarakatnya. 
  • Ada ketikanya, bahasa sapaan mengambil alih bentuk kata ganti diri untuk memuliakan seseorang yang dilawan bercakap.
  • Kesimpulannya, Bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan rujukan mengikut situasi dan konteks yang sesuai. 
  • Kesalahan penggunaan kata sapaan ini boleh menimbulkan hubungan yang tidak harmoni di antara penutur  dan pendengar. 
  • Ini disebabkan kata-kata ini membawa implikasi yang berbeza apabila digunakan dalam situasi yang berlainan. 
  • Kata sapaan ini juga berfungsi untuk memperlihatkan kesopanan seseorang dalam menggunakan bahasa tersebut. 
  • Situasi formal dan tidak formal mempunyai system sapaannya tersendiri dan setiap penutur tidak sewajarnya mencampuradukkan penggunaan kata-kata tersebut sesuka hati. 
  • Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu adalah bersopan-santun atau berbudi bahasa.   
  • Pemilihan kata, ungkapan, ayat dan gaya hendaklah sesuai dengan bentuk dan taraf sesuatu majlis atau urusan yang berkenaan.
  • Ragam bahasa perlu dirancang supaya sesuai dengan majlis atau urusan agar tujuan dan hajat tercapai dan pada waktu yang sama kesantunan bahasa tetap terpelihara.
  • Dalam semua suasana dan urusan rasmi, kesantunan bahasa hendaklah berasaskan ragam bahasa rasmi, iaitu ragam bahasa yang secara maksimumnya mematuhi peraturan-peraturan bahasa baik daripada sudut linguistik, sosiolinguistik mahupun pragmatiknya.
  • Penutur untuk majlis rasmi perlu menggunakan bahasa yang baik susunannya serta mematuhi sistem bahasa.
  • Bahasa yang digunakan hendaklah menepati adab sopan yang berkaitan dengan sistem sosial.
  • Sebagai contoh, penggunaan kata ganti dan kata panggilan hormat serta pangkat hendaklah menurut sistem yang telah disahkan oleh pihak berkuasa.
  • Kata ganti nama diri ialah perkataan yang digunakan untuk merujuk diri seseorang.  
  • Secara umum kata ganti nama diri terbahagi kepada tiga iaitu kata ganti nama diri orang pertama (tunggal dan jamak), kata ganti nama diri orang kedua (tunggal dan jamak) dan kata ganti nama diri orang ketiga (tunggal dan jamak). 
  • Masyarakat Melayu menggunakan satu sistem tertentu dan teratur apabila menyapa atau membuat panggilan terhadap seseorang ahli masyarakat. Kata ganti diri dan sapaan di luar keluarga juga digunakan berdasarkan kepada faktor umur, pangkat atau status dalam masyarakat.
  • Kata Ganti Nama Diri
    • Kata Ganti Nama Diri dengan Bahasa Santun dan Bahasa Kasar


Kesantunan Penulisan

  • Komunikasi bertulis ialah kegiatan merakamkan idea dan pendapat dalam bentuk lambang-lambang tulisan untuk dibaca atau digunakan pada masa akan datang.
  • Kesantunan berbahasa juga boleh dilihat dalam bahan bertulis seperti surat rasmi, memo, minit mesyuarat, laporan, kertas cadangan, kertas kerja dan seumpamanya.
  • Komunikasi penulisan melibatkan penggunaan bahasa secara bertulis sama ada dalam situasi rasmi/formal atau tidak rasmi/tidak formal
  • Bentuk komunikasi bertulis secara formal ialah :
    • Surat kiriman rasmi 
    • Laporan 
    • Kertas kerja
    • Ucapan rasmi
    • Pidato 
    • Minit mesyuarat
  • Bentuk komunikasi bertulis secara tidak rasmi seperti penulisan surat kepada sahabat, ibu bapa dan lain-lain.
  • Dalam bentuk komunikasi bertulis, aspek-aspek yang perlu diberikan perhatian ialah seperti:
    • Penggunaan kata panggilan yang betul
    • Kata sapaan yang betul
    • Gaya bahasa yang tepat
    • Pemilihan kata dan ayat yang sesuai dengan konteks
    • Isi yang tidak sensitif






Contoh Kesantunan Berbahasa dan Bahasa Sapaan dalam Surat Rasmi & Memo

"Dengan hormatnya perkara di atas dirujuki.
Sehubungan itu sukacita dimaklumkan bahawa ..."

"Yang Berbahagia Dato’ diundang ...
Sayugia dimaklumkan bahawa Tuan Haji ........."

"Saya bersetuju untuk meluluskan ..." lebih sopan lagi dengan frasa "Saya tiada halangan meluluskan ..."

“Di sini saya kepilkan ...” lebih sopan lagi dengan frasa “Bersama-sama ini disertakan ...”