Tuesday, August 13, 2013

Kuliah 11 : Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia

Isu Teknologi Maklumat Dan Komunikasi

    Pada zaman moden ini, para remaja hidup dalam dunia yang penuh dengan kemudahan teknologi dan maklumat seperti komputer, televisyen, telefon bimbit, dan sebagainya. Kemajuan teknologi dan maklumat yang pesat ini telah membawa banyak manfaat kepada anak muda kita. Contohnya, mereka boleh mengetahui isu-isu semasa di seluruh dunia dengan mudah dan pantas. Walau bagaimanapun, kemajuan ini juga telah membawa pelbagai keburukan kepada anak remaja kita. Salah satu daripadanya adalah budaya barat yang terdedah kepada anak muda melalui teknologi yang canggih ini.
    Budaya barat banyak ditemui di laman web dan laman sosial seperti Facebook, Twitter, Google + dan sebagainya. Selain itu, budaya ini juga boleh diperoleh melalui tontonan wayang negara barat. Sebagai akibatnya, remaja terikut-ikut trend budaya Barat. Mereka akan meniru cara pergaulan, berpakaian, berkomunikasi atau cara berhibur yang ditonton di televisyen atau dilayari melalui internet.
    Kita sedia maklum bahawa budaya barat merupakan budaya kuning yang bertentangan dengan budaya timur. Budaya barat ini mempunyai banyak tingkah laku yang tidak senonoh seperti pergaulan bebas, homoseksual, black mental, merokok, cara pemakaian atau fesyen yang tidak bersesuaian dengan budaya timur dan sebagainya. Selain itu, unsur-unsur keganasan seperti buli, pembunuhan, pergaduhan  juga banyak terdapat dalam wayang serta laman web atau laman sosial. Perkara ini secara tidak langsung akan mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran remaja. Sebagai akibatnya, golongan muda yang tidak matang ini akan terikut-ikut aksi-aksi serta tingkah laku yang dilihat oleh mereka memandangkan media massa amat memberi pengaruh yang besar kepada para remaja.
    Bagi remaja yang terdedah kepada budaya pergaulan bebas atau homoseksual, mereka akan mengikut tingkah laku orang Barat dan mereka akan melakukan perbuatan ini dengan tidak mempunyai rasa malu. Hal ini kerana mereka telah dipengaruhi oleh budaya barat dan mereka menganggap bahawa perbuatan ini merupakan tingkah laku yang normal dan biasa sahaja.
    Bagi mereka yang selalu menonton filem aksi atau bermain permainan komputer yang penuh dengan keganasan, perangai mereka akan menjadi panas baran dan selalu menggunakan keganasan untuk menyelesaikan masalah. Mereka akan meniru aksi-aksi yang ditonton seperti menumbuk, memukul, menendang dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan mereka terlibat dalam kes buli dan seterusnya mereka berkemungkinan besar akan terlibat dalam gengsterisme.
    Selain itu, mereka yang dipengaruhi oleh cara pemakaian atau fesyen masyarakat barat, mereka akan terikut-ikut trendnya. Gadis-gadis yang sepatutnya memakai pakaian yang sopan akan mengikut cara pemakaian orang Barat. Mereka sanggup memakai pakaian yang menjolokkan mata untuk  menunjukkan tubuh badan mereka. Remaja juga terpengaruh dengan budaya seperi "punk", "gothik" dan budaya tidak sopan yang lain. Mereka ini telah kehilangan rasa malu dan sifat kesantunan  telah hapus dalam jiwa mereka. 
     Di samping itu, kebanyakan anak muda zaman sekarang meminati muzik ‘Black Metal’ dan meniru gaya pemuzik itu. Ada yang menjadikan pemain muzik, penyanyi atau pelakon itu sebagai idola mereka hingga meniru fesyen rambut dan gaya berpakaian yang menjolok mata. Malahan, mereka sanggup bertindak liar hingga tidak lagi mengamalkan budaya hormat-menghormati atau bersopan-santun. Sebaliknya, mereka kerap mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan perlakuan lucah.
    Sebagai akibatnya, budaya timur yang penuh dengan sopan santun telah diketepikan dan ia digantikan oleh budaya barat yang tidak sopan santun ini. Hal ini bertentangan dengan nilai-nilai dan norma budaya yang bertunjangkan kepada agama masyarakat setempat. Sebagai akibatnya, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja berlaku memandangkan budaya luar tidak mementingkan budaya budi bahasa dan tingkah laku budaya barat tidak sopan.
        Dengan tiadanya sifat kesantunan dan kesopanan, remaja akan terlibat dalam pelbagai masalah gejala sosial yang dipengaruhi oleh budaya barat. Masalah sosial seperti penagihan dadah, pembunuhan, pergaulan bebas, buli, bunuh diri, gengsterisme dan sebagainya pasti akan dilibat oleh para remaja yang pemikiran mereka dipengaruhi oleh budaya barat. Hal ini kerana mereka sudah kehilangan rasa malu dan tidak akan berasa malu untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
         Di bawah merupakan sebuah sajak yang ditulis oleh Wan Nazihah Wan Abdullah. Dalam sajak ini, penulis telah menyatakan kepiluannya disebabkan oleh perubahan adat tradisi akibat kemasukan budaya barat.
Adat Sezaman
Peradaban zaman semakin berlalu
Meninggalkan kesan yang mendalam
Terlalu indah apabila dipandang
Terlalu mulia apabila diselidik
Santun si dara jadi idaman
Warak si teruna jadi ikatan
Si tua tersenyum mesra
Memandang teruna dara
Sama cantik sama padan
Berganding bersama
Di singgahsana…

Masa itu telah berubah
Zaman sudah berlalu
Santun sang dara
Dan warak sang teruna telah lenyap
Si tua berduka lara
Memandang teruna dara
Berganding tanpa silu
Tanpa hormat
Tanpa batasan

Adat sezaman ditinggal jauh
Adat agama dipandang remeh
Adat kuning jadi ikutan.

Annyss Sophillea, 1997
Dewan Bahasa dan Pustaka

    Dalam sajak ini, penulis telah menggambarkan pemuda pemudi pada zaman dahulu bersifat sopan santun serta berpegang kepada ajaran agama. Tetapi malangnya, sifat kesantunan yang dimiliki oleh para remaja ini telah mulai lenyap ditelan oleh arus globalisasi. Budaya kuning iaitu budaya barat telah mempengaruhi para remaja dan hal ini menyebabkan budaya ini menggantikan budaya timur yang penuh dengan kesantunan itu.
   Dalam hal ini, setiap remaja perlulah mempunyai kesedaran bahawa budaya barat ini tidak seharusnya diikuti oleh mereka memandangkan budaya ini tidak mempunyai kesantunan serta budi bahasa. Mereka haruslah mempunyai iman yang kukuh serta harga diri yang tinggi agar tidak mudah terpengaruh oleh budaya ini.
 Selain itu, setiap remaja mestilah mengamalkan adab berlandaskan Islam, bersikap lemah lembut dan berbudi bahasa. Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Taala itu lemah lembut dan suka kepada lemah lembut. Dan Ia memberi hasil kerana lemah lembut itu apa yang tidak Ia berikan atas tindakan yang kasar atau tindakan lainnya”. Kelembutan dalam tindakan yang dimaksudkan adalah satu perkara yang sangat baik dan patut dilaksanakan, perkataan yang dituturkan dengan lemah lembut itu amat berkesan di lubuk hati.
  Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membendung masalah ini. Ibu bapa wajar memainkan peranan penting untuk memantau anak masing-masing agar tidak terpengaruh dengan trend yang kurang baik. Ibu bapa haruslah memantau anak-anak mereka agar tidak menonton filem yang mempunyai unsur budaya barat, melayari internet yang mempunyai unsur budaya barat atau bermain permainan komputer yang mempunyai budaya ini. Pemantauan ibu bapa dapat membantu anak-anak untuk memilih filem, permainan komputer atau laman web yang sesuai untuk mereka. Dengan cara demikian, mereka dapat mengelak daripada budaya barat ini. 
   Selain itu, ibu bapa perlulah memberi didikan agama dan didikan moral yang sempurna sejak anak masih kecil lagi. Bak patah pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Ajaran agama dan didikan moral dapat mengajar anak-anak tentang sifat-sifat kesantunan yang perlu ada dalam jiwa remaja. Hal ini dapat mengelakkan remaja daripada dipengaruhi oleh budaya barat yang tidak santun ini memandangkan sift kesantunan telah tertanam dalam jiw mereka. 
    Sebagai kesimpulannya, tanpa usaha membendung pengaruh negatif itu, dikhuatiri suatu hari nanti masyarakat negara ini akan menganggap nilai-nilai yang negatif itu sebagai nilai-nilai yang baik untuk dijadikan contoh dan seterusnya diamalkan. Oleh yang demikian, semua pihak haruslah berganding bahu untuk membendung masalah dalam kalangan remaja yang ditimbulkan oleh teknologi dan maklumat yang canggih ini. 




Isu Pengaruh Politik

  • Isu pengaruh politik merupakan salah satu isu yang melibatkan kesantunan masyarakat Malaysia.
  • Di Malaysia, ahli Dewan Rakyat adalah dipilih oleh rakyat Malaysia melalui pilihan raya daripada wakil-wakil rakyat. Mereka memegang jawatan menjalankan pilihan raya selama 5 tahun dan selepas 5 tahun, pilihan raya yang baru diadakan semula.
  • Pilihan raya umum Malaysia diadakan secara berkala bagi melantik wakil-wakil rakyat ini. Dan sekiranya berlaku kekosongan di antara tempoh pilihan raya umum, pilihan raya kecil boleh diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut.
  • Dalam proses pilihan raya di Malaysia, kempen-kempen akan dijalankan oleh ahli-ahli politik ini sebelum hari mengundi. 
  • Kempen
    • Kempen poster
      • Poster-poster akan dikeluarkan oleh parti-parti politik. Dalam poster-poster ini, parti-parti politik akan mengeluarkan janji-janji mereka bahawa mereka akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negara. Mereka berjanji mereka akan menunaikan janji mereka selepas mereka menang dalam pilihan raya. Walau bagaimanapun, mereka tidak menunaikan janji yang diberikan kepada rakyat selepas mereka menang dalam pilihan raya. Perbuatan ini sebenarnya tidak santun kerana mereka membohong rakyat. Mereka sepatutnya menunaikan janji mereka untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
      • Selain itu, dalam poster-poster parti politik ini, terdapat juga parti politik yang mengutuk dan mengkritik parti-parti politik yang lain. Mereka memburukkan parti-parti politik yang lain dengan sebarangan tanpa apa-apa bukti. Perbuatan ini adalah untuk mendapat sokongan rakyat serta memburukkan imej parti politik yang lain dalam hati rakyat. Sebenarnya, mereka haruslah bersikap sopan santun supaya tidak memburuk-burukkan orang lain dengan sebarangan.
    • Ceramah-ceramah pilihan raya / Kempen-Kempen pilihan raya
      • Dalam ceramah atau kempen pilihan raya, terdapat ahli politik yang tidak bersantun gemar memburuk-burukkan ahli politik yang lain dengan sebarangan. Mereka berbuat sedemikian untuk mempengaruhi rakyat supaya membenci ahli politik yang lain dan mendapat sokongan daripada rakyat. Hakikatnya, mereka tidak boleh memburuk-burukkan ahli politik yang lain dengan sebarangan. Mereka haruslah mempunyai kesantunan berbahasa.
      • Selain itu, mereka juga mengeluarkan janji untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, mereka tidak menunaikan janji mereka selepas mereka menang dalam pilihan raya malah terdapat ahli politik yang tidak menjaga kebajikan rakyat selepas menang dalam pilihan raya. Sebenarnya, mereka haruslah menepati janji mereka dengan penuh santun.

No comments:

Post a Comment