Friday, October 4, 2013

ISL: Isu Pengambilan Dadah Dalam Kalangan Remaja


    Pada era globalisasi ini, masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja di negara kita menjadi semakin serius dan ketara dari semasa ke semasa. Mengikut Laporan Dadah(2012) yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan Kementerian Dalam Negeri, Perak merupakan negeri yang mempunyai bilangan penagih paling tinggi bagi tahun 2012, iaitu 1,362 orang (15.11%). Masalah sosial ini telah membimbangkan pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan memandangkan gejala sosial ini boleh meruntuhkan sifat kesantunan dalam kalangan remaja. Hal ini kerana remaja yang menagih dadah tidak pandai menjaga maruah diri serta tidak mempunyai harga diri. Dalam hal ini, bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menggesa dan menyeru agar seluruh anggota masyarakat bekerjasama dalam usaha mencegah gejala sosial ini. Gesaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini haruslah diberi perhatian oleh seluruh rakyat Malaysia dan kita sepatutnya memberi kerjasama kepada pihak kerajaan untuk membanteras gejala sosial ini.
    Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan remaja menyalahgunakan dadah. Antara punca-puncanya adalah pengaruh rakan sebaya. Prof. Dr Fatimah Yusoff, Ketua Program Psikologi, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia UKM pernah menjelaskan bahawa sikap remaja yang mudah mempercayai orang lain terutamanya rakan yang rapat akan memudahkan remaja terjebak dalam gejala sosial termasuklah penagihan dadah. Mereka mudah mengikut sebarang perkara yang dilakukan oleh rakan-rakan tanpa memikirkan akibat yang akan dialami. Oleh itu, apabila terdapat rakan-rakan mengajak mereka untuk menagih dadah, mereka yang berfikiran kurang matang ini akan mengikut perbuatan dan tingkah laku rakan-rakan mereka. Natijahnya, golongan remaja ini terjerumus ke dalam kancah dadah. Terdapat juga golongan remaja yang mengalami tekanan daripada rakan sebaya. Mereka terpaksa mengambil dadah seperti yang dilakukan oleh rakan-rakan supaya mereka diterima oleh rakan-rakan serta tidak disisih atau dipulaukan oleh rakan-rakan.
    Selain itu, sifat naluri seseorang yang ingin mencuba juga menyebabkan remaja mengambil dadah. Sebagai remaja, mereka sememangnya terikat dengan naluri ingin mencuba sesuatu yang baru. Mereka ingin menunjukkan sifat kelelakian serta kematangan mereka. Oleh itu, dengan hanya mengambil sebiji pil yang menjadi punca utama kepada penagihan dadah, mereka berasa sudah matang dan cukup dewasa. Mantan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein pernah berkata bahawa perlakuan orang dewasa itu akan dicontohi oleh golongan remaja yang mempunyai naluri ingin mencuba yang tinggi. Semua jenis dadah mengandungi bahan kimia yang mengkhayalkan dan berbahaya. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan,rakyat Malaysia yang terjerumus ke dalam kancah penyalahgunaan dadah kerana perasaan ingin tahu adalah 28.49 peratus. Berfikir sebelum buat adalah satu kebijaksanaan, berfikir selepas buat adalah satu kebodohan dan berbuat tanpa fikir adalah seribu kejahilan. Penagih dadah sememangnya tidak berfikir panjang untuk mengambil dadah. Mereka hanya mahukan kepuasan sehingga sanggup mencuri,membunuh serta melakukan segala perkara yang boleh membantu mereka mendapatkan dadah.
     Di samping itu, kekurangan perhatian daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan anak remaja terjebak ke dalam lembah dadah. Hal ini memang tidak dapat dinafikan terutamanya dalam era mengejar kesenangan hidup pada hari ini. Para ibu bapa sentiasa sibuk mencari nafkah bagi menampung kehidupan serta menyediakan keperluan asas yang bertaraf tinggi untuk keluarga. Secara tidak langsung, masa yang sepatutnya diluangkan bersama anak-anak menjadi terhad. Hal ini akan mengakibatkan remaja menikmati kebebasan yang keterlauan kerana kegiatan mereka tidak lagi diambil tahu oleh ibu bapa. Lama-kelamaan, kebebasan yang dikecapi akan membawa mereka ke lembah penagihan najis dadah.
     Selanjutnya, remaja yang kurang mendapat didikan agama juga mudah mengambil dadah. Pada masa sekarang, kebanyakkan remaja yang terlibat dengan dadah adalah disebabkan oleh kurangnya pendidikan agama. Hal ini berlaku kerana ibu bapa tidak memberi perhatian kepada anak mereka. Tambahan lagi,  dalam dunia moden ini remaja sangat terdedah dengan gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan akal fikiran mereka. Kurangnya pendidikan agama menyebabkan remaja sesuka hati melakukan perkara yang telah dilarang oleh agama. Oleh itu, pendidikan agama amatlah penting bagi menghalang atau menghindari dari perbuatan yang dianggap hina.
     Memandangkan gejala sosial ini boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif, kita haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung masalah ini daripada terus berleluasa. Antara langkah-langkah yang paling berkesan bagi mengatasi masalah ini adalah pihak kerajaan haruslah memperketatkan undang-undang dan mengenakan hukuman berat terhadap pengedar dadah. Hal ini kerana tanpa pengedar dadah sudah tentu penagih tidak dapat memperolehi bekalan dadah. Selain pengedar dadah, penagih dadah juga wajib dikena hukuman berat. Contohnya,mengikut undang-undang dadah Malaysia, Akta Dadah Berbahaya 1952, individu yang disabit dengan kesalahaan memiliki dadah jenis ganja seberat 200 gram atau lebih boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Dengan cara mengenakan hukuman berat, remaja akan berasa takut dan tidak berani untuk melanggar undang-undang negara. Mereka tidak berani terlibat dalam penagihan dadah kerana takut dikenakan hukuman berat. Sebagai hasilnya, masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja pasti dapat dikurangkan serta dibendung.
     Di samping itu, pendidikan untuk mencegah penyalahgunaan dadah juga harus diberikan kepada anak muda kita. Pihak yang berkenanaan sama ada kerajaan mahupun swasta dalam usaha untuk membanteras isu penyalahgunaan dadah perlu mengadakan pendidikan untuk mencegah. Sebagai contoh, mengadakan aktiviti-aktiviti seperti ceramah, seminar, pameran dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk memberi informasi, pengetahuan serta kefahaman kepada masyarakat terutama golongan remaja tentang bahaya dadah dan kesedaran mereka. Selain itu, pihak yang berkenaan boleh mengadakan aktiviti ko-kurikulum seperti perkhemahan motivasi dan sebagainya. 
     Akhirnya, ibu bapa juga berperanan penting dalam membantu remaja untuk megelakkan diri daripada masalah gejala sosial ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapalah individu yang dapat membentuk peribadi anak-anak. Sabda Rasulullah SAW, “Anak-anak umpama sehelai kain putih, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya sama ada Yahudi, Majusi atau Nasrani”. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting dalam membantu usaha pencegahan penagihan dadah. Langkah ini perlu dilakukan sejak anak-anak masih kecil lagi persis pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pernah berkata, “Teruskanlah pengukuhan peranan keluarga sebagai institusi masyarakat yang lalu mengimpikan satu generasi bebas dadah”. Menurut kata-kata beliau, institusi kekeluargaan perlulah diperkukuh dan program keluarga sakinah perlulah dilaksanakan pada setiap keluarga. Hal ini adalah demikian kerana keluarga yang berpecah belah merupakan punca anak-anak mudah terjerumus ke dalam gejala negatif seperti menghisap dadah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah mewujudkan satu suasana harmoni dalam institusi kekeluargaan dan mengambil tahu hal-hal peribadi anak-anak bagi membantu kerajaan mencegah masalah penagihan dadah.
      Kesimpulannya, semua pihak mempunyai tanggungjawab serta peranan masing-masing dalam usaha untuk mewujudkan negara Malaysia yang bebas daripada ancaman gejala dadah menjelang tahun 2015. Semua pihak tidak kira pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan(NGO) haruslah sehati sejiwa senada seirama untuk membanteras gejala sosial dalam kalangan remaja ini bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat serta mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional.

2 comments:

  1. Maaf, Sejak bila Prof Madya Dr. Fatimah Yusoff jadi jadi Prof & Ketua Program...Jgn bg fakta yg tidak betul

    ReplyDelete