Friday, October 4, 2013

ISL: Isu Perlumbaan Haram Dalam Kalangan Remaja

Dalam meniti arus kemodenan ini, gejala perlumbaan haram merupakan gejala yang kian meruncing di negara kita kini. Gejala ini berlaku di mana-mana tempat sahaja sama ada di kawasan bandar, di luar bandar mahupun di kawasan perindustrian pada waktu malam. Gejala ini dikatakan semakin kritikal memandangkan anak-anak remaja juga terlibat dalam aktiviti tidak santun ini. Remaja yang terlibat dalam aktiviti ini bersikap mementingkan diri sendiri kerana mereka tidak mempedulikan keselamatan orang lain di jalan raya. Mereka juga tidak menghargai nyawa sendiri. Menurut seorang pegawai polis Perak, Inspektor Wan Abdullah dalam sebuah temu bual pada tahun 2008, gejala perlumbaan haram kini telah menjadi masalah terbesar bagi polis trafik di seluruh Malaysia. Hal ini menunjukkan bahawa betapa serius masalah perlumbaan haram yang berlaku di negara Malaysia.

Terdapat pelbagai punca berlakunya gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja di negara kita. Faktor utama yang menyebabkan remaja hari ini terjebak dalam kegiatan negatif ini adalah naluri remaja sendiri yang ingin mencari kepuasan diri daripada kegiatan perlumbaan haram. Naluri untuk menunjukkan kehebatan diri mendorongkan mereka membuat pelbagai aksi berbahaya seperti “wheely”,“wekang”,“superman” dan sebagainya. Mereka mendapat kepuasan daripada kejayaan mereka melakukan aksi-aksi tersebut kerana dapat membuktikan kepada rakan-rakan bahawa mereka handal dan berani. Di samping itu, mereka ingin menjadi perhatian dan tumpuan  rakan-rakan rempit yang lain atau perempuan. Mereka tidak akan berasa malu dengan tingkah laku mereka yang tidak bersantun itu. Sebaliknya, mereka berasa bangga dan seronok apabila digelar “Mat Rempit” seperti yang dikatakan oleh Encik Mohamad Hussain yang menerajui Jabatan Psikiatari Universiti Malaya. Beliau menjelaskan bahawa label “Mat Rempit” yang diberi kepada mereka akan menjadikan mereka lebih seronok dan menganggapnya sebagai pengiktirafan oleh masyarakat terhadap kegiatan mereka.

 Selain itu,media massa juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan remaja melibatkan diri dalam gejala sosial ini. Pada masa kini, kebanyakan saluran media elektronik dan media cetak seperti televisyen, internet, majalah dan sebagainya memaparkan rancangan atau filem yang bertemakan lumba haram seperti Remp-It, Evolusi KL Drift, Adnan Sempit dan banyak lagi.  Filem-filem tersebut memaparkan "mat rempit" melakukan aksi-aksi berbahaya di atas jalan raya serta gejala sosial yang berlaku dalam dunia "mat rempit" seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.  Keadaan ini menyebabkan remaja mudah meniru aksi-aksi  berbahaya yang dipaparkan dalam filem-filem tersebut dan seterusnya mengaplikasikan aksi-aksi itu ketika mereka menunggang motosikal di jalan raya.  Hal ini demikian kerana pihak-pihak yang terlibat dengan industri perfileman tidak peka dengan keadaan sekeliling dan isu semasa yang melibatkan aktiviti tidak bermoral yang dilakukan oleh remaja, malah semakin rancak memaparkan isu lumba haram dengan menerbitkan banyak filem berkaitan dengan isu tersebut.  Keadaan ini boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.  Di samping itu, penerbit filem memberi alasan bahawa mereka menerbitkan filem bertemakan lumba haram supaya dapat memberi kesedaran kepada remaja agar tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram. Pada hakikatnya, filem-filem ini tidak memberi kesedaran kepada remaja malah merangsang mereka untuk terlibat dalam aktiviti ini.

Di samping itu, kesibukan ibu bapa dengan kerjaya masing-masing dan mencari rezeki juga merupakan punca remaja terlibat dalam perlumbaan haram. Ibu bapa ini tidak dapat  meluangkan masa bersama anak-anak serta mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.  Situasi ini akan menyebabkan anak-anak berasa kesunyian dan seterusnya memberontak untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka.  Apabila ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak, mereka akan mencari kawan untuk meluahkan perasaan serta tekanan yang dihadapi.  Mereka berpendapat bahawa  rakan-rakan lebih memahami perasan dan juga masalah mereka berbanding dengan ibu bapa kerana ibu bapa lebih mementingkan wang dan kerjaya masing-masing daripada mengambil berat terhadap anak-anak.  Namun demikian, sekiranya tersalah memilih kawan, mereka akan mudah terlibat dengan aktiviti sosial.  Oleh itu, kegagalan  ibu bapa  dalam mengawal dan kurang memberi perhatian  untuk mengikuti perkembangan anak-anak menyebabkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang boleh merosakkan masa depan mereka.  Di samping itu, ibu bapa juga tidak menitikberatkan pendidikan agama kepada anak-anak yang perlu diserap dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi supaya mereka dapat membezakan yang baik dengan yang buruk.  Oleh hal yang demikian, kurangnya pendidikan agama menyebabkan remaja pada masa kini mudah terjebak dengan masalah sosial.

Memandangkan gejala perlumbaan haram ini semakin berleluasa, kita haruslah mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah ini. Pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia merupakan pihak yang mempunyai tanggungjawab yang terbesar dalam usaha mengatasi masalah ini. Pihak polis perlulah mengadakan rondaan, sekatan dan pemantauan di kawasan tumpuan mat rempit. Contohnya, pihak polis membuat serbuan mengejut pada waktu malam untuk mengheret pelumba haram dan penonton ke balai polis melalui Operasi Rhino. Langkah ini akan menyebabkan golongan remaja ini mengurangkan kegiatan perlumbaan haram akibat bimbang ditangkap oleh pihak polis. Selain itu, golongan remaja di bawah umur 18 tahun ini sepatutnya dihantar ke sekolah-sekolah juvana seperti yang pernah dicadangkan oleh Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof. Samseng jalanan yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 19 tahun perlu ditahan di sekolah juvana selama suatu tempoh ditetapkan. Mereka hendaklah dikenakan hukuman dengan membuat kerja-kerja amal sehingga 100 jam supaya mereka insaf dan sedar akan kesalahan mereka serta tidak terlibat dalam kegiatan perlumbaan haram lagi.
Selanjutnya, media massa juga perlu memainkan peranan dalam membendung kegiatan mat rempit. Keupayaan media massa dalam mempengaruhi hati dan minda manusia tidak dapat disangkal lagi. Media elektronik seperti televisyen pula boleh memainkan peranan dengan membuat iklan yang dapat memberikan kesedaran kepada remaja tentang keburukan gejala merempit dan lumba haram. Namun begitu, iklan-iklan dan kempen-kempen yang diadakan mestilah dipelbagaikan bentuk visualnya supaya dapat memberi kesedaran yang berpanjangan dan mendalam kepada mat rempit dan golongan remaja.

Akhirnya, ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab mereka dalam usaha untuk membantu remaja menghindari gejala sosial ini. lbu bapa adalah pihak yang patut memainkan peranan dalam menangani masalah mat rempit di kalangan anak-anak mereka. Kita sedia maklum bahawa banyak masa anak-anak berada di samping ibu bapa di rumah. Jika ibu bapa membelikan anak-anak motosikal, pastikan pergerakan mereka dipantau pada setiap masa. Oleh yang demikian, bagi ibu bapa yang selalu sibuk dengan pekerjaan, mereka sepatutlah meluangkan masa untuk menemani anak-anak serta memberi perhatian terhadap kelakuan anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa yang dapat memberi kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak pasti dapat menghindarkan anak mereka daripada terlibat dalam gejala mat rempit.

Kesimpulannya, kita haruslah sedar bahawa golongan remaja merupakan generasi yang akan menyambut tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Oleh yang demikian, semua pihak tidak sepatutnya mengabaikan masalah sosial ini yang mampu menjejaskan masa depan pemuda pemudi kita. Sebaliknya,semua rakyat jelata haruslah mengamalkan sikap “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” serta memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak kerajaan terutamanya pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi mengatasi masalah kebejatan sosial ini.

ISL: Isu Pengambilan Dadah Dalam Kalangan Remaja


    Pada era globalisasi ini, masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja di negara kita menjadi semakin serius dan ketara dari semasa ke semasa. Mengikut Laporan Dadah(2012) yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan Kementerian Dalam Negeri, Perak merupakan negeri yang mempunyai bilangan penagih paling tinggi bagi tahun 2012, iaitu 1,362 orang (15.11%). Masalah sosial ini telah membimbangkan pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan memandangkan gejala sosial ini boleh meruntuhkan sifat kesantunan dalam kalangan remaja. Hal ini kerana remaja yang menagih dadah tidak pandai menjaga maruah diri serta tidak mempunyai harga diri. Dalam hal ini, bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menggesa dan menyeru agar seluruh anggota masyarakat bekerjasama dalam usaha mencegah gejala sosial ini. Gesaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini haruslah diberi perhatian oleh seluruh rakyat Malaysia dan kita sepatutnya memberi kerjasama kepada pihak kerajaan untuk membanteras gejala sosial ini.
    Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan remaja menyalahgunakan dadah. Antara punca-puncanya adalah pengaruh rakan sebaya. Prof. Dr Fatimah Yusoff, Ketua Program Psikologi, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia UKM pernah menjelaskan bahawa sikap remaja yang mudah mempercayai orang lain terutamanya rakan yang rapat akan memudahkan remaja terjebak dalam gejala sosial termasuklah penagihan dadah. Mereka mudah mengikut sebarang perkara yang dilakukan oleh rakan-rakan tanpa memikirkan akibat yang akan dialami. Oleh itu, apabila terdapat rakan-rakan mengajak mereka untuk menagih dadah, mereka yang berfikiran kurang matang ini akan mengikut perbuatan dan tingkah laku rakan-rakan mereka. Natijahnya, golongan remaja ini terjerumus ke dalam kancah dadah. Terdapat juga golongan remaja yang mengalami tekanan daripada rakan sebaya. Mereka terpaksa mengambil dadah seperti yang dilakukan oleh rakan-rakan supaya mereka diterima oleh rakan-rakan serta tidak disisih atau dipulaukan oleh rakan-rakan.
    Selain itu, sifat naluri seseorang yang ingin mencuba juga menyebabkan remaja mengambil dadah. Sebagai remaja, mereka sememangnya terikat dengan naluri ingin mencuba sesuatu yang baru. Mereka ingin menunjukkan sifat kelelakian serta kematangan mereka. Oleh itu, dengan hanya mengambil sebiji pil yang menjadi punca utama kepada penagihan dadah, mereka berasa sudah matang dan cukup dewasa. Mantan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein pernah berkata bahawa perlakuan orang dewasa itu akan dicontohi oleh golongan remaja yang mempunyai naluri ingin mencuba yang tinggi. Semua jenis dadah mengandungi bahan kimia yang mengkhayalkan dan berbahaya. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan,rakyat Malaysia yang terjerumus ke dalam kancah penyalahgunaan dadah kerana perasaan ingin tahu adalah 28.49 peratus. Berfikir sebelum buat adalah satu kebijaksanaan, berfikir selepas buat adalah satu kebodohan dan berbuat tanpa fikir adalah seribu kejahilan. Penagih dadah sememangnya tidak berfikir panjang untuk mengambil dadah. Mereka hanya mahukan kepuasan sehingga sanggup mencuri,membunuh serta melakukan segala perkara yang boleh membantu mereka mendapatkan dadah.
     Di samping itu, kekurangan perhatian daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan anak remaja terjebak ke dalam lembah dadah. Hal ini memang tidak dapat dinafikan terutamanya dalam era mengejar kesenangan hidup pada hari ini. Para ibu bapa sentiasa sibuk mencari nafkah bagi menampung kehidupan serta menyediakan keperluan asas yang bertaraf tinggi untuk keluarga. Secara tidak langsung, masa yang sepatutnya diluangkan bersama anak-anak menjadi terhad. Hal ini akan mengakibatkan remaja menikmati kebebasan yang keterlauan kerana kegiatan mereka tidak lagi diambil tahu oleh ibu bapa. Lama-kelamaan, kebebasan yang dikecapi akan membawa mereka ke lembah penagihan najis dadah.
     Selanjutnya, remaja yang kurang mendapat didikan agama juga mudah mengambil dadah. Pada masa sekarang, kebanyakkan remaja yang terlibat dengan dadah adalah disebabkan oleh kurangnya pendidikan agama. Hal ini berlaku kerana ibu bapa tidak memberi perhatian kepada anak mereka. Tambahan lagi,  dalam dunia moden ini remaja sangat terdedah dengan gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan akal fikiran mereka. Kurangnya pendidikan agama menyebabkan remaja sesuka hati melakukan perkara yang telah dilarang oleh agama. Oleh itu, pendidikan agama amatlah penting bagi menghalang atau menghindari dari perbuatan yang dianggap hina.
     Memandangkan gejala sosial ini boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif, kita haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung masalah ini daripada terus berleluasa. Antara langkah-langkah yang paling berkesan bagi mengatasi masalah ini adalah pihak kerajaan haruslah memperketatkan undang-undang dan mengenakan hukuman berat terhadap pengedar dadah. Hal ini kerana tanpa pengedar dadah sudah tentu penagih tidak dapat memperolehi bekalan dadah. Selain pengedar dadah, penagih dadah juga wajib dikena hukuman berat. Contohnya,mengikut undang-undang dadah Malaysia, Akta Dadah Berbahaya 1952, individu yang disabit dengan kesalahaan memiliki dadah jenis ganja seberat 200 gram atau lebih boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Dengan cara mengenakan hukuman berat, remaja akan berasa takut dan tidak berani untuk melanggar undang-undang negara. Mereka tidak berani terlibat dalam penagihan dadah kerana takut dikenakan hukuman berat. Sebagai hasilnya, masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja pasti dapat dikurangkan serta dibendung.
     Di samping itu, pendidikan untuk mencegah penyalahgunaan dadah juga harus diberikan kepada anak muda kita. Pihak yang berkenanaan sama ada kerajaan mahupun swasta dalam usaha untuk membanteras isu penyalahgunaan dadah perlu mengadakan pendidikan untuk mencegah. Sebagai contoh, mengadakan aktiviti-aktiviti seperti ceramah, seminar, pameran dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk memberi informasi, pengetahuan serta kefahaman kepada masyarakat terutama golongan remaja tentang bahaya dadah dan kesedaran mereka. Selain itu, pihak yang berkenaan boleh mengadakan aktiviti ko-kurikulum seperti perkhemahan motivasi dan sebagainya. 
     Akhirnya, ibu bapa juga berperanan penting dalam membantu remaja untuk megelakkan diri daripada masalah gejala sosial ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapalah individu yang dapat membentuk peribadi anak-anak. Sabda Rasulullah SAW, “Anak-anak umpama sehelai kain putih, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya sama ada Yahudi, Majusi atau Nasrani”. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting dalam membantu usaha pencegahan penagihan dadah. Langkah ini perlu dilakukan sejak anak-anak masih kecil lagi persis pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pernah berkata, “Teruskanlah pengukuhan peranan keluarga sebagai institusi masyarakat yang lalu mengimpikan satu generasi bebas dadah”. Menurut kata-kata beliau, institusi kekeluargaan perlulah diperkukuh dan program keluarga sakinah perlulah dilaksanakan pada setiap keluarga. Hal ini adalah demikian kerana keluarga yang berpecah belah merupakan punca anak-anak mudah terjerumus ke dalam gejala negatif seperti menghisap dadah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah mewujudkan satu suasana harmoni dalam institusi kekeluargaan dan mengambil tahu hal-hal peribadi anak-anak bagi membantu kerajaan mencegah masalah penagihan dadah.
      Kesimpulannya, semua pihak mempunyai tanggungjawab serta peranan masing-masing dalam usaha untuk mewujudkan negara Malaysia yang bebas daripada ancaman gejala dadah menjelang tahun 2015. Semua pihak tidak kira pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan(NGO) haruslah sehati sejiwa senada seirama untuk membanteras gejala sosial dalam kalangan remaja ini bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat serta mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional.

ISL: Isu Gengsterisme Dalam Kalangan Remaja

    Isu gangsterisme bukan suatu isu baru di Malaysia, malah isu ini hangat dibincangkan oleh media massa. Menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, gangsterisme didefinisikan sebagai perkumpulan sulit dalam melakuan sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan jenayah. Dalam konteks gangsterisme di Malaysia, hal ini dapat diinterpretasikan sebagai individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah atau sosial yang membawa kepada penyelewengan tingkah laku dan kerosakan akhlak. Gejala ini kian semakin menular sekarang terutamanya dalam kalangan pelajar. Persoalannya sekarang ialah apakah yang mendorong individu terbabit dalam aktiviti jenayah tanpa rasa takut dan kesal? Adakah kerana pengaruh rakan-rakan, maka perbuatan ini semakin merebak? Namun begitu, pastinya ada faktor-faktor lain yang mendorong fenomena tersebut berlaku.

   Faktor utama yang menyebabkan seseorang remaja itu menyertai kegiatan gangsterisme adalah kerana pengaruh rakan sebaya. Memang tidak dinafikan bahawa pengaruh rakan sebaya sangat besar kesannya terhadap pembangunan mental remaja sehingga menyebabkan remaja sanggup melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang. Pengaruh rakan sebaya lebih kuat berbanding dengan ibu bapa kerana remaja lebih banyak meluangkan masa bersama rakan sebaya berbanding dengan ahli keluarga mereka. Lazimnya, kebanyakan kes gangsterisme yang melibatkan remaja berpunca daripada sifat suka menurut kerana takut dipulau oleh rakan-rakan. Aktiviti mereka bersifat memberontak seperti mengganggu pengajaran guru-guru, ponteng sekolah, merosakkan harta benda sekolah, ketagihan rokok, dadah dan alkohol disebabkan oleh terpengaruh dengan rakan mereka.

    Selain itu, kebanyakan ibu bapa hanya mementingkan kerjaya dan sibuk mengejar kebendaan sehingga mengabaikan anak mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapa bersikap materialistik untuk meningkatkan taraf hidup keluarga sehingga mengabaikan kepentingan mendidik anak mereka. Keadaan ini mengakibatkan anak mereka berasa kekurangan kasih sayang daripada keluarga. Justeru itu, ada remaja yang tidak takut untuk bergiat aktif dalam aktiviti gangsterisme kerana sikap ibu bapa sendiri yang mengabaikan tanggungjawab mereka ke atas anak-anak mereka.

    Selanjutnya, faktor yang menyebabkan remaja menyertai kegiatan gangsterisme adalah kerana kesan persekitaran. Tempat tinggal yang tidak selesa dengan ahli keluarga yang ramai di rumah yang kecil dan sempit seperti kawasan perumahan setinggan, rumah pangsa dan flat kos rendah serta pendapatan harian atau bulanan yang kecil boleh menyebabkan remaja ini lebih seronok meluangkan masa di luar rumah. Ada pula remja dolabel sebagai ahli sesebuah geng kerana kawasan tempat tinggal mereka yang dianggap aktif dengan jenayah kumpulan gangsterisme, ada pula yang sengaja menggunakan gelaran kawasan mereka untuk menimbulkan rasa takut di kalangan remaja di sekolah mereka.



    Masalah gangsterisme akan membawa pelbagai kesan terhadap masyarakat. Masalah gangsterisme membawa kesan negatif kepada sekolah. Kewujudan kumpulan-kumpulan gangster di sekolah memberi impak dan pengaruh negatif kepada para pelajar. Sebagai contoh, ahli-ahli kumpulan gangster sering melakukan kegiatan-kegiatan ganas di sekolah. Sekiranya ahli geng dapat menubuhkan satu jaringan aktiviti yang amat kuat di sekolah. Sekiranya ahli geng dapat menubuhkan satu jaringan aktiviti yang amat kuat di sekolah ia boleh mengganggu dan melemahkan seluruh perjalanan sekolah. Justeru itu, ini akan memberi kesan negatif kepada pelajar-pelajar,pihak pengurusan, keselamatan sekolah dan juga proses penyampaian pendidikan amnya.

   Selain itu, kegiatan gangsterisme akan membawa kesan buruk terhadap institusi keluarga. Apabila ibu bapa memberi nasihat kepada mereka, mereka tidak akan mendengar dan ada juga akan menggunakan keganasan dan memarahi balik ibu bapa mereka. Kegiatan gangsterisme juga akan memburukkan imej keluarga.
 Tambahan pula, kes gangsterisme juga akan mempengaruhi nama baik negara kita. Jika kes gangsterisme terus meningkat ia akan mempengaruhi perkembangan pembangunan dan kemajuan negara. Hal ini demikian kerana remaja merupakan harapan negara dan kini  mereka telah terjebak dalam kes jenayah dan ia akan memberi kesan buruk terhadap masa depan mereka.
  Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk membendung masalah gangsterisme. Dalam masalah ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting di dalam konteks pembangunan sahsiah anak mereka. Walaupun ibu bapa masing-masing sibuk dengan pekerjaan mereka serta mengejar kekayaan, kepentingan anak juga mesti diberi tumpuan. Ibu bapa mesti belajar mengetahui aktiviti yang dianggotai oleh anak mereka dan pada waktu yang sama, mengenali individu yang menjadi rakan  kepada anak remaja mereka.
 Memang tidak dapat dinafikan sekolah juga bertanggungjawab untuk mengatasi kemelut gangsterisme dengan melentur masalah yang timbul dari peringkat awal lagi supaya dapat menyekat dari mempengaruhi pelajar yang lain. Sekolah boleh mengadakan hubungan langsung dengan ibu bapa terutama pelajar yang dikesan bermasalah atau disyaki terlibat dengan kumpulan gangsterisme. Sekolah boleh menganjurkan kem atau program tertentu yang berterusan untuk memerhati atau memantau kegiatan pelajar berisiko ini. Korikulum di sekolah juga mampu memainkan peranan penting di dalam mengadun sahsiah seseorang pelajar. Aktiviti persatuan, kelab dan organisasi beruniform perlu sentiasa diperbaharui supaya ia memenuhi citarasa pelajar yang mahu aktif dan mencuba sesuatu yang baru dan pada waktu yang sama mempertahankan pencapaian akademiknya.
   Di samping itu, pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam menangani masalah gangsterisme ini. Langkah yang radikal boleh diambil oleh kerajaan dengan secara perlahan-lahan mengurangkan penyiaran filem berunsur ganas dan jenayah. Malahan undang-undang yang ketat menerusi tindakan kerajaan akan mampu menyedarkan pelajar bahaya dengan pembabitan dalam aktiviti gangsterisme.

    Kesimpulannya, pelbagai gejala negatif berleluasa dalam kalangan remaja hari ini. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama membanteras fenomena ini agar tidak timbul masalah sosioekonomi  yang lebih serius. 

ISL: Isu Vandalisme Dalam Kalangan Remaja


    Isu vandalisme juga merupakan salah satu isu gejala sosial yang sering dilakukan oleh para remaja yang tidak mempunyai sifat kesantunan. Mereka ini bersikap mementingkan diri sendiri sahaja kerana mereka merosakkan kemudahan awam tanpa memikirkan akibatnya terhadap orang awam. Mereka ini juga tidak menyayangi dan menghargai harta benda awam. Memandangkan gejala sosial ini semakin berleluasa di negara kita, kita haruslah berusaha membendung masalah ini. Dalam hal ini, kita perlulah mengkaji apakah yang menyebabkan remaja melakukan perbuatan yang tidak kesantunan ini serta cara untuk mengatasinya. 
Mengapa berlakunya vandalisme??
Motif utama berlakunya gejala ini adalah disebabkan emosi. Vandalisme biasanya dianggap sebagai satu cara untuk melepaskan rasa geram, ataupun satu cara untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun motif mereka dianggap ringan, tetapi masyarakat awam terpaksa menanggung kerugian yang besar untuk memenuhi nafsu mereka yang hina ini.


Faktor-faktor berlakunya vandalisme
Antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya gejala vandalisme ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah:-

i) Pengaruh Rakan Sebaya
Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan berlakunya vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah terikut dan senang terpengaruh dengan rakan mereka. Rakan sebaya merupakan individu yang paling rapat selepas ibu bapa. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga.

ii) Ibu Bapa dan Keluarga
Ibu bapa merupakan pendorong kepada sifat vandalisme di kalangan remaja. Mengapa? Sebagai contoh, ketika bersiar-siar atau berjalan bersama keluarga, didapati, ada sesetengah ibu bapa membuang sampah atau sisa makanan di merata-rata di depan anak-anak mereka, maka berkemungkinan besar anak mereka juga akan berkelakuan seperti itu. Selain itu, sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme ini berasal daripada keluarga yang bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Menurut kajian yang dijalankan, vandalisme dendam dilakukan oleh remaja yang inginkan kebebasan dan berlatar belakangkan keluarga yang bermasalah. Selain itu, kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak di dalam gejala negatif ini.

iii) Pengaruh Media Massa
Media massa mempunyai pengaruh yang sangat kuat dan akan meninggalkan kesan yang sangat kuat dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah untuk meniru dan mengikut apa yang dilihat di sekeliling termasuklah media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya.

iv) Sikap tidak peduli, Individualistik dan Materialistik Masyarakat
Remaja merupakan produk sistem sesebuah masyarakat. Sikap sesetengah masyarakat kini yang hanya mementingkan soal kebendaan dan tidak mengambil berat terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia ada. Menurut kajian, masalah vandalisme banyak berlaku di bandar-bandar. Golongan remaja amat gemar menconteng dan merosakkan harta benda awam yang ada. Mereka bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar agak sukar untuk dikawal. Di kawasan bandar, sesetengah penduduknya tidak mengambil berat terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu, golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk melakukan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.

Jenis-jenis vandalisme
Pelbagai jenis vandalisme yang dapat kita lihat saban hari di negara ini. Jenis vandalisme yang paling umum adalah menukar tulisan yang sedia ada dengan perkataan lain yang boleh mengubah maksud asal perkataan tersebut dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat. Hal ini makin berleluasa di sana-sini. Kita dapat melihat papan tanda dilebuh raya misalnya selalu menjadi mangsa kerana tulisan asal telah ditukar atau dipadam sesuka hati oleh mereka yang tidak mempuyai akal yang waras ini.


Bagi yang gemar mengumpul barangan plastik, aluminium, besi keluli dan tembaga pula mereka mampu manghasilkan pendapatan yang sangat lumayan. Ada diantara mereka sanggup melakukan jenayah ini semata-mata untuk memenuhi dan mancapai cita-cita dengan menambahkan lagi koleksi yang sedia ada. Mereka tidar sedar bahawa kelakuan mereka ini merupakan satu kesalahan dan tergolong dalam kegiatan vandalisme. Sebagai contoh, kejadian mencuri klip besi bagi mengikat landasan kereta api di sepanjang laluan Keretapi Tanah Melayu dari utara hingga selatan. Hal ini amat merunsingkan pengguna perkhidmatan ini kerana sejak dahulu lagi mereka telah memanfaatkan kereta api sebagai salah satu pengankutan awam yang selamat.

Selain itu, bagi industri barang lusuh dan kitar semula pula, semenjak ia berkembang pesat, secara tidak langsung dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada pengumpul barang-barang dengan harga pasaran bagi besi dan keluli yang semakin tinggi, ia kini sudah mencapai tahap membahayakan keselamatan awam kerana setiap kali terjumpa sahaja logam sama ada yang terbiar atau tidak, nescaya akan ada orang yang berminat dan sanggup mendapatkannya dengan cara yang tidak halal.

Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada projek pengindahan persekitaran yang menggunakan arca-arca keluli, lampu-lampu jalan berkerawang, penutup longkang, papan tanda dan pelbagai lagi yang diilhamkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini bakal menguntungkan pengumpul barangan dalam industri ini selagi lesen terus dikeluarkan dan tidak dipantau dengan rapi oleh pihak berkuasa.

Hukuman kepada pesalah vandalisme!!
Kepada mereka yang terlibat dengan gejala vandalism ini, hukuman yang lebih berat perlu dikenakan sebagai satu cara pencegahan yang paling baik. Pelbagai hukuman yang boleh dikenakan kepada mereka yang melakukan vandalisme ini. Ada cadangan daripada pihak masyarakat mencadangkan dimana mereka mahu supaya para pesalah didenda dengan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan awam seperti membersihkan tandas dan sebagainya. Denda ini adalah sebagai pengajaran kepada individu lain agar menjauhkan diri daripada perbuatan vandalisme. Mereka juga perlu dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada setimpal dengan apa yang mereka lakukan.

Hukuman yang setimpal dengan perbuatan itu juga perlu diambilkira kerana kebanyakan perkataan yang digunakan mempunyai unsur lucah dan memalukan kaum wanita. Setiap kali terbaca perkataan lucah di dinding jambatan, bangunan dan tempat awam hati seorang wanita akan merasa kecewa dengan sikap segelintir mereka yang tidak matang ini. Mereka sanggup mengeluarkan perkataan sebegitu tanpa rasa segan silu. Perkara ini amat memalukan dan terfikir mengapa perkara seperti ini harus berlaku? Dan apa sebenarnya yang telah berlaku kepada mereka? Hal ini dapat menimbulkan perasaan bimbang dan takut kepada masyarakat sekeliling kerana takut ia akan menular kepada kanak-kanak dewasa ini.

Selain itu, kita juga boleh mengambil contoh dari negara Singapura yang menjatuhkan hukuman berat kepada pesalah vandalisme. Justeru itu, langkah bersama yang boleh diambil adalah mengadakan program tindakan bersama seperti menganjurkan pameran yang melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Langkah-langkah mengatasi vandalisme
i) Peranan Ibu Bapa dan Keluarga
Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang kepentingan menjaga harta benda awam. Ibu bapa seharusnya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung, sekiranya anak sudah diingatkan dengan perkara ini maka sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran juga perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

ii) Penguatkuasaan Undang-undang
Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak yang berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak melebihi setahun jika sabit kesalahan. Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalism perlu menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. (kerja ini dilakukan di tempat awam seperti pusat membeli-belah). Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah vandalisme agar menjadi tauladan kepada rakan-rakan atau individu lain.

iii) Peranan Media Massa
Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa perlu memainkan peranan yang sangat penting dan mempunyai pengaruh yang kuat dari segi menanam kesedaran untuk memperoleh kerjasama dan menyampaikan maklumat mengenai vandalisme dalam apa jua bentuk rancangan yang tersiar atau yang terdapat di dalam media massa. Media massa juga berperanan membantu pihak kerajaan dengan mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati mesej yang disampaikan dalam kempen tersebut. Contoh kempen yang boleh dianjurkan seperti “Cintailah Harta Awam”.

iv) Peranan Masyarakat dan Pihak Sekolah
Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan memberi perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting dengan memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah perlu memberi nasihat dan bimbingan yang secukupnya kepada pelajar mengenai kepentingan harta benda awam. Mereka perlu diterangkan dengan lebih mendalam tentang tanggungjawab terhadap harta benda awam kerana sedikit sebanyak ia akan memberi gambaran kepada mereka betapa pentingnya sikap dan tanggungjawab terhadap harta benda awam.

Kesimpulan
Gejala vandalisme yang berlaku ini berpunca daripada kewujudan mereka yang suka melepak tanpa sebarang haluan sehingga menjadikan kemudahan awam seperti pondok menunggu bas, papan tanda dan telefon awam dijadikan sasaran. Perbuatan ini bukan sahaja menyusahkan orang ramai tetapi secara tidak langsung menggambarkan masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran sivik.

Tidak semua vandalisme dilakukan dengan kasar. Sebaliknya tidak semua perubahan besar dan kontroversial merupakan vandalisme. Hal ini memerlukan ketelitian untuk menentukan apakah satu data atau informasi baru itu benar atau ia merupakan vandalisme. Sehubungan itu, orang ramai juga diharap dapat memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab mengenai sebarang perbuatan vandalisme.

Walaupun perbuatan vandalisme tidak memudaratkan dan membawa kerosakan yang kekal, perbuatan ini mencemarkan tempat tumpuan orang ramai. Bagaimana kalau lakaran lucah dan perkataan yang memberahikan dibaca oleh golongan muda? Ini sudah tentu akan menimbulkan imaginasi dan khayalan seks yang boleh mendorong seseorang melakukan perbuatan jenayah seperti mencabul kehormatan, rogol dan melakukan hubungan seks bebas. Selain itu, perbelanjaan yang tinggi diperlukan untuk membersihkan tempat atau kawasan yang telah diconteng. Semua usaha pembersihan dan pemulihan ini memerlukan tenaga yang banyak.

Perbuatan vandalisme tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Sesetengah pihak tidak mempedulikan perbuatan ini kerana menganggapnya sebagai fenomena sementara yang akan terhenti dengan sendiri. Sejauh manakah kebenaran ini? Vandalisme dilakukan secara berterusan daripada satu generasi kepada generasi lain. Jika perbuatan ini didiamkan begitu sahaja, sudah tentu kita menggalakkan lagi perbuatan vandalisme ini.

Walaupun selama ini perbuatan vandalisme tidak dianggap sebagai jenayah dan tiada peruntukan undang-undang untuk mendenda atau menangkap para pelakunya, remaja yang didapati melakukan vandalisme seharusnya dikenakan hukuman kompaun. Kompaun ini dapat memberi pengajaran kepada mereka yang ingin melakukan vandalisme, setidak-tidaknya mereka akan berfikir dahulu sebelum berbuat demikian.

Di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya sikap memelihara harta benda awam ini dengan membentuk Jawatankuasa Antivandalisme yang turut dianggotai oleh jabatan lain dan agensi kerajaan. Apabila menyedari hakikat bahawa pelajar merupakan aset penting dan generasi wawasan yang akan menerajui negara pada masa hadapan, maka Jawatankuasa Antivandalisme ini telah melibatkan sekolah dan para remaja untuk turut sama menjayakan kempen ini. Jabatan Pendidikan sendiri telah menganjurkan satu kempen yang diberi tajuk “ Harta Benda Awam Milikku-Milikmu’’. Pertandingan seperti ini amat penting dan perlu dilakukan untuk menanamkan sifat lebih bertanggungjawab dan secara tidak langsung dapat menyemaikan perasaan sayang dan cinta terhadap harta benda awam.

Selain itu, masyarakat juga memainkan peranan yang penting dengan memberi kefahaman betapa buruknya akhlak mereka yang melakukan vandalisme. Contohnya, ibu bapa sebagai orang yang terdekat dengan remaja sepatutnya mendidik anak-anak mereka dengan contoh tauladan yang baik serta mengasihi dan meluangkan masa bersama anak-anak agar tidak menimbulkan fenomena kebosanan dan kekosongan di hati mereka. Pihak sekolah pula boleh menerapkan kesedaran untuk membentuk remaja yang berjiwa sihat dan berfikiran matang sebelum melangkah ke alam dewasa kelak.

ISL: Pantang Larang Dalam Kalangan Masyarakat Malaysia Yang Berbilang Kaum

    Dalam kalangan masyarakat Malaysia, pelbagai kaum mempunyai pantang larang mereka yang tersendiri. Mereka perlu mengikuti pantang larang ini yang diwarisi oleh nenek moyang dan perbuatan ini merupakan perbuatan yang sopan santun. Jikalau seseorang tidak mengikuti pantang larang yang ditetapkan, seseorang itu akan dianggap sebagai tidak sopan.
   Pantang larang merupakan kepercayaan mayarakat Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Pantang larang adalah sesuatu perkara yang menyekat kita dari melakukan sesuatu kerana ada keburukkan disebaliknya. Ia selalunya diamalkan oleh orang-orang tua dikalangan masyarakat Melayu, Cina dan India. Kebanyakan pantang larang diturunkan secara lisan turun kemurun. Pentingnya pantang larang sebagai adat yang perlu dipatuhi jelas diungkapkan melalui pepatah “biar mati anak, jangan mati adat.”
    Pantang larang yang dikenakan oleh orang tua-tua bertujuan untuk mendidik masyarakat khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang boleh diamalkan di dalam kehidupan. Sebahagian Pantang larang sudah menjadi amalan atau prinsip dalam kehidupan hari ini.
    Segala pantang larang sebenarnya diperturunkan untuk kebaikan kaum itu sendiri seperti pantang larang semasa perkahwinan, perayaan dan juga semasa mengandung. Sebenarnya pantang larang yang diturunkan oleh nenek moyang mementingkan penjagaan kesihatan diri agar seseorang sentiasa sihat dan cergas.
    Walaupun kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India mempunyai pantang larang semasa perkahwinan, perayaan dan juga mengandung tetapi pantang larang yang diamalkan oleh kaum-kaum adalah berbeza. Inilah menunjukkan Malaysia terdiri daripada kaum majmuk.

Orang Melayu

Pantang Larang Perkahwinan Orang Melayu
    Apabila telah ditetapkan hari perkahwinan, bermakna bermulalah pantang larang buat bakal mempelai itu. Apa yang ditetapkan harus diikuti untuk kebaikan diri mereka. Ia bukanlah menjadi kewajipan tetapi sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat melayu. Walaupun bakal pengantin zaman sekarang jarang disebutkan perkara ini kepada mereka, tidak rugi jika apa-apa pantang larang yang difikirkan sesuai masih boleh diikuti.
    Pantang larang bermula dengan jangan keluar dengan pasangan selama 40 hari sebelum diijab kabul untuk mengelakkan tohmahan masyarakat. Ia juga untuk menimbulkan perasaan rindu. Perasaan yang timbul akan membuatkan wajah pengantin lebih berseri.
    Selain itu, pasangan dilarang bebas keluar ke mana-mana kerana takut disantau oleh mereka yang mempunyai niat tidak baik. Jangan makan nasi dengan gulai berkuah beberapa bulan sebelum naik pelbagai mengelakkan perut buncit. Pengantin juga dilarang bercermin terutama selepas maghrib ke atas bagi mengelakkan diri dari perkara sihir. Akhirnya, pasangan perlu elakkan diri daripada terkena cahaya matahari kerana dikhuatiri hitam dan tidak berseri pada hari perkahwinan.
    Orang-orang tua Melayu dahulu selalu mengingatkan anak cucunya supaya tidak melanggar pantang larang. Pantang larang perlu dipatuhi untuk mengelakkan berlaku sesuatu kejadian yang tidak baik.

Pantang Larang Perayaan
Pantang Larang Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha

Hari Raya Aidilfitri.
  1. Dilarang membazir dan berbelanja lebih-lebihan untuk menyambutnya. Selaras dengan tuntutan agama Islam itu sendiri.
  2. Memakai pakaian bersih, cantik dan juga wangi-wangian.
  3. Umat Islam yang kehilangan saudara mara akan menziarahi pusara mereka dan menghadiahkan surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yasin.
  4. Berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka bermaaf-maafan dan melupakan kisah silam yang lampau.
  5. Memasang pelita di waktu malam untuk menyambut malam tujuh likur.
  6. Pemberian wang kepada kanak-kanak oleh orang dewasa.
  7. Mengadakan rumah terbuka ataupun berkunjung ke rumah terbuka yang diadakan.
  8. Membuat dan menghidangkan juadah wajib seperti ketupat, lemang, rendang dan berbagai-bagai lagi.


Hari Raya Aidiladha
  1. Melakukan ibadah korban sebelum dibahagi-bahagikan kepada kafir miskin dan juga orang ramai.
  2. Memakai pakaian bersih, cantik dan memakai wangi-wangian.
  3. Melawati kubur-kubur sanak saudara dan sahabat handai yang telah pergi.
  4. Disambut dengan adab kunjung mengunjung dan rumah terbuka.


Pantang Larang Mengandung Orang Melayu
   Masyarakat Melayu terkenal dengan pelbagai pantang larangnya. Begitu juga untuk mereka yang mengandung. Antara pantang larangnya ialah mereka yang mengandung di larang untuk mencaci atau mengumpat. Dilarang untuk memaku atau memahat dan menggali lubang serta memukul binatang. Mereka juga dilarang untuk keluar rumah pada waktu petang atau senja serta dilarang untuk duduk di anak tangga dan juga di larang melihat gerhana bulan ataupun matahari.Terdapat juga pantang larang untuk suami ibu yang mengandung. Antaranya ialah suami di larang meniup sebarang bunyi bunyian, menyembelih, memburu dan memukul binatang. Semua pantang larang ini adalah untuk keselamatan anak yang dikandung.


Orang Cina

Pantang Perkahwinan Orang Cina

  1. Bakal pengantin  tidak digalakkan untuk menghadiri majlis kebumian selama 3 bulan sebelum dan selepas majlis perkhawinan. 
  2. Hiasan dalam majlis perkhawinan tidak digalak untuk menggunakan warna putih, biru tua, hitam dan hijau.
  3. Dalam bilik tidur bakal pengantin baru, katil, meja dan almari perlu diletakkan dalam kedudukan yang biasa dan bukannya sudut bilik. 
  4. Nombor genap sering digunakan dalam majlis perkhawinan. Menurut keparcayaan orang cina, majlis perkhawinan yang tidak mengikut protokol yang ditetapkan adalah perkhawinan yang tidak sah.

 Pantang Larang Tahun Baru Cina

  1. Walaupun kehidupan kini yang serba moden, adat resam ini masih dikekalkan dan tetap diamalkan sehingga kini.Malah, kebanyakan remaja Cina masih mempercayai dan mengamalkan adat berkenaan supaya ia dapat dipertahankan sepanjang zaman.Seperti dengan kaum-kaum lain,bangsa cina mempunyai beberapa pantang larang sempena perayaan Tahun Baru Cina.
  2. Pantang larang yang amat diutamakan bagi kaum cina ialah orang Cina mempercayai bahawa mereka tidak boleh menyapu rumah pada hari  raya pertama kerana menganggap ia boleh membuang segala keuntungan atau “ong” yang ada.
  3. Selain itu, masyarakat Cina turut percaya bahawa mereka akan ditimpa malang jika pinggan mangkuk yang digunakan pada hari sambutan itu telah pecah.Oleh itu, mereka akan pastikan sentiasa berhati-hati ketika melakukan kerjarumah.
  4. Acara makan beramai-ramai pada waktu malam sehari sebelum hari Tahun Baru Cina  paling dinantikan kerana ia dapat memperlihatkan perpaduan dan keakraban sesebuah keluarga yang dapat bersama-sama berkumpul bagi merayakannya.Biasanya baga orang tua,mereka rasa bahawa  walau sesibuk manapun individu terbabit dengan pelajaran, kerjaya, perniagaan ataupun urusan seharian mereka, sambutan acara ini tidak boleh dilepaskan.
  5. Perkataan yang tidak sopan dan bermakna buruk tidak digalak sempena perayaan Tahun Baru Cina.Antaranya ialah seperti perkataan mati,hantu ataupun cakap kotor amat dielakkan pada masa raya.Kaum cina mempercayai bahawa ini akan membawa buruk sepanjang tahun tersebut.
  6. Sungguhpun kini kebanyakan remaja tidak lagi memakai pakaian tradisional seperti dulu, ini tidak bermakna segala tradisi turut dilupakan.Kami masih mengenakan pakaian berwarna merah dan mengelakkan pemakaian baju warna hitam kerana beranggapan ketika menyambut sesuatu perayaan, kita perlu kelihatan ceria.Warna hitam akan membawa buruk bagi orang cina.
  7. Selain itu, pemberian angpau masih tetap   diamalkan iaitu bagi pasangan  yang sudah berkahwin mereka perlu memberikan angpau kepada kanak-kanak dan mereka yang belum berkahwin.Malah, sekiranya individu berkenaan sudah lanjut usia, tetapi masih belum berkahwin, dia tetap akan mendapat pemberian angpau. Sama ada dia menerimanya ataupun tidak, bergantung kepada individu-individu.
  8. Kewujudan pantang-larang boleh dikatakan adalah untuk membimbing perlakuan supaya tidak termasuk dalam kategori masyarakat tidak beradab.Baginya saya, walaupun zaman semakin moden berbanding dengan dahulu,perayaan, adat resam dan pantang-larang yang diperturunkan tidak boleh dipandang rendah.Adat resam yang diperturunkan patut mengekalkan dan memberi tahu kepada generasi yang akan datang.

Pantang Larang ibu Cina Semasa mengandung
  • Dilarang makan daging arnab.
    • Jika memakani, bayi yang dilahirkan akan mempunyai bibir  arnab.
  • Dilarang makan daging anjing.
    • Jika memakani, bayi yang dilahirkan akan suka mengigit orang, terutamanya masa menyusui bayi.
  • Dilarang makan daging ayam jantan.
    • Barulah bayi tidak menangis pada tengah malam.
  • Dilarang makan ketam.
    • Barulah bayi tidak asyik mengeluarkan air liuh.
  • Dilarang makan makanan yang bersifat sejuk. seperti ais-krim,tembikai.
    • Kemungkinan membawa kepada masalah keguguran bayi.
  • Dilarang mengambil gunting atau penyepit kuku.
    • Bayi yang dilahirkan akan mengalami kecacatan.
  • Dilarang mengangkat tangan melebihi paras bahu.
    • Ibu tidak mudah mengimbangi diri .
  • Dilarang tepuk bahu ibu.
    • Ibu mudah terkejut dan mengakibatkan keguguran bayi.
  • Dilarang menyidai baju.
    • Kononnya akan mengakibatkan keguguran bayi.

Orang India
Pantang Larang Semasa Pekahwinan Orang India
  • Perkahwinan kaum india di malaysia diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu tamil tirumanam, eliyat tirumanam dan vaitiikat tirumanam . Terdapat banyak adat dan pantang larang perlu diikut oleh kaum india semasa perkahwinan .
  • Pantang larang semasa merisik adalah bakal pasangan akan saling membalas kunjungan ketika merisik. Tetapi ketika rombongan bakal pengantin perempuan, bakal pengantin perempuan dilarang ikutserta kerana dianggap tidak sopan.
  • Selain itu, sebelum majlis perkahwinan berlangsung, kad jemputan perlu disediakan dan dibuat berdasarkan almanak hindu tanpa kesilapan, jika terdapat kesilapan bermakna perkahwinan tersebut  akan tidak dapat dijalankan dengan lancar.
  • Jika jamuan perkahwinan dilakukan di kuil ,maka hanya sayur-sayuran boleh dihidangkan kepada para tetamu dan makanan lain tidak boleh dihidangkan terutamanya daging lembu,kerana agama hindu melarang makan daging lembu.
  • Kesimpulannya ,pada zaman modem sekarang ramai kaum india juga terus mematuhi adat dan pantang larang yang diwarisi oleh nenek moyang  kerana keadaan ini membuktikan tradisional budaya dan unik terhadap kaum india .